Konsep Penentuan Awal Bulan Islam dan Hari Kebesaran Islam Di Malaysia
1. PENDAHULUAN
Penentuan awal
bulan Hijriah yang digunakan oleh umat Islam khasnya dalam menentukan awal
bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah adalah berdasarkan kepada pergerakan bulan
dan bumi mengelilingi matahari.
Ia menjadi asas
perhitungan awal bulan dan tahun yang mempunyai hubungkait yang rapat dengan
ibadah puasa, hari raya dan hari raya korban.
Berdasarkan
pedoman yang terdapat di dalam Al-Quran dan Hadis dan juga pendapat ulama
daripada kitab-kitab muktabar, lahir tiga amalan yang berbeza dalam menentukan
awal bulan ramadhan, Syawal, dan Zulhijjah dengan kaedah berikut:-
a) Rukyah (melihat anak bulan) semata-mata.
b) Hisab Falak
semata-mata.
c) Rukyah dan
Hisab dengan menggunakan criteria imkanur-rukyah iaitu menggunakan hisab
dalam menentukan kebolehnampakan anak bulan (Hilal).
Wujudnya
perbezaan amalan dan cara di atas, adalah daripada perbezaan dalam memahami dan
mentafsir maksud ayat-ayat Al-Quran dan Hadis yang berkaitan. Malaysia adalah
sebuah negara yang mengamalkan cara penentuan awal Ramadhan, Syawal dan
Zulhijjah dengan rukyah dan hisab berdasarkan kepada kriteria imkanur rukyah.
Tujuan penulisan
ini adalah untuk menjelaskan kepada masyarakat mengenai cara penentuan awal
Ramadan, Syawal dan Zulhijjah yang diamalkan di Malaysia dan asas-asas yang
digunakan dalam melaksanakan kaedah tersebut.
2. DALIL-DALIL
SYARAK MENGENAI PENENTUAN AWAL BULAN RAMADHAN, SYAWAL DAN ZULHIJJAH
Nas Al-Quran dan
Hadis banyak menerangkan panduan menentukan awal bulan atau waktu-waktu
terutama dalam melaksanakan ibadat.
a) Firman Allah
Suhanahu wa Ta'ala dalam Surah Al-Baqarah ayat 189:
Maksudnya:
"Mereka
bertanya kepadamu tentang bulan sabit.Katakanlah bulan sabit itu adalah
tanda-tanda waktu bagi manusia dan bagi ibadah haji..."
Hadis Rasulullah
ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim:
Maksudnya:
"Berpuasalah
kamu kerana melihat Hilal dan berbukalah kamu kerana kamu melihat Hilal. Bila
Hilal tertutup atasmu, maka sempurnakanlah bilangan bulan Syaaban tiga
puluh."
Pendapat Ulama' daripada kitab-kitab Muktabar.
Daripada kitab
Bidayatul Mujtahid dari juzuk pertama (muka surat 242-243):
Maksudnya:
"Bila Hilal
ditutupi awan, maka ia kembali kepada Hisab yang berdasarkan bulan dan
matahari, itulah mazhabnya Muttarraf Bin Suhair, beliau termasuk ulama' besar
tabi'in dan Ibnu Suraj bercerita daripada Imam Syafie bahawa Imam Syafie
berkata; orang yang mazhabnya itu mengambil pedoman dengan bintang-bintang dan
kedudukan bulan kemudian jelas baginya menurut dalil tersebut, bahawa bulan
telah boleh dilihat tetapi tertutup oleh awan, maka orang tersebut boleh
melaksanakan puasa dan cukuplah baginya."
Berdasarkan
dalil-dalil Al-Quran, Hadis dan pendapat ulama' serta kajian astronomi moden, penyelesaian
jalan tengah dengan cara rukyah dan hisab adalah menjadi pilihan untuk
diamalkan di Malaysia kerana ia lebih hampir kepada kehendak syarak.
3. FAKTOR
PERSELISIHAN
3.1) Punca-punca
perselisihan berlaku dari segelintir rakyat Malaysia yang dikenali dengan
kumpulan Islah. Golongan tersebut tidak menerima pengisytiharan rasmi Hari Raya
Korban Kerajaan Malaysia yang telah diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar
Raja-Raja Malaysia pada tahun 2000 dan 2001 Miladiah yang lalu. Golongan
tersebut menyambut Hari Raya Korban berdasarkan pengisytiharan Wukuf di Padang
Arafah oleh Kerajaan Arab Saudi.
3.2) Perselisihan
juga berlaku kerana terdapat kekeliruan pendapat pada 9 Zulhijjah (Hari Wukuf),
sunat berpuasa pada hari tersebut dan ganjaran pahalanya sama dengan setahun
beribadah.
Kebanyakan rakyat
malaysia terkeliru dan tidak mengetahui kaedah dan syarat-syarat penetapan awal
bulan Zulhijjah yang digunakan oleh Kerajaan Arab Saudi.
4. RASIONAL DARI
SUDUT MATLAK (TEMPAT TERBIT) DI MALAYSIA
4.1) Kerajaan
Arab Saudi menggunakan matlak dengan kaedah rukyah semata-mata, terbuka kepada
semua rakyatnya. Sesiapa yang melihat Hilal Zulhijjah boleh melaporkan kepada
pihak yang bertanggungjawab atau berkuasa dengan saksi.
Kerajaan Malaysia
menetapkan awal bulan Zulhijjah dengan menggunakan kaedah rukyah dan hisab
berdasarkan kriteria imkanur rukyah dengan mengambil kira matlak negara-negara
MABIMS. Pada 29 Zulkaedah semua tempat cerapan rasmi sebanyak 26 tempat di
seluruh Malaysia akan dicerap oleh Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan dengan
menggunakan peralatan moden seperti teleskop digital dan teodolit.
4.2) Terdapat
perbezaan matlak yang jauh diantara Malaysia dan Arab Saudi. Perbezaan waktu
antara kedua-dua negara ialah lima jam. Oleh itu ketika Hilal dilihat di Arab
Saudi, kedudukan hilal tersebut berada pada kedudukan 1.25° lebih tinggi di
Matla' Malaysia.
4.3) Bagi rakyat
negara Malaysia yang bermazhab Syafie, mereka perlu memahami bahawa setiap
negara di dunia ini mempunyai matla' atau kawasan lingkungannya sendiri. Oleh
itu Malaysia tidak harus mengikut keputusan cerapan hilal yang dilaksanakan
oleh Arab Saudi.
5. HUKUM PUASA
DAN MAKLUMAT YANG BERKAITAN
Umumnya,
masyarakt Islam mengetahui adanya puasa sunat pada hari Arafah. Puasa ini sunat
dilakukan oleh mereka yang tidak mengerjakan haji. Pelakunya dijanjikan dengan
ganjaran yang besar sebagaimana sabda Rasulullah ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam:
Daripada Abi
Qatadah yang berbunyi (maksudnya):
"Daripada Abi
Qatadah bahawa Nabi ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam ditanya mengenai puasa pada hari Arafah. Banginda menjawab: 'Ia menghapuskan dosa yang dikerjakan pada tahun yang lalu dan tahun
yang akan datang."
[Riwayat Muslim]
Sekiranya
diteliti, hadis di atas dan dalil yang lain menerangkan kelebihan mereka yang
berpuasa pada hari Arafah. Namun demikian, kita perlu mengetahui pada waktu
bilakah umat Islam di Malaysia dan Arab Saudi dan juga perbezaan matla'. Kita
perlu memilih sama ada berpuasa pada hari Arafah sebenar di Arab Saudi atau
mengikut takwin sebenar kita di Malaysia. Hukum berpuasa pada salah satu hari
tersebut tetap sah.
Faktor kedudukan
geografi dan kesesuaian negara Malaysia menentukan setiap awal bulan Islam
dengan menggunakan kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kreteria Imkanur rukyah
adalah satu perkara yang perlu diambil perhatian. Konsep penentukan awal bulan
Islam adalah berdasarkan kaedah jangkaan kenampakan anak bulan atau Imkanur
rukyah yang mengikut syarat berikut :-
Ketika matahari
terbenam.
a) Ketinggian
(altitud) bulan tidak kurang daripada 2°
Dan
b) Jarak lengkok
matahari tidak kurang 3°
Atau
c) Ketika
matahari terbenam umur bulan tidak kurang daripada 8 jam.
6. ASAS
PERTIMBANGAN KEPUTUSAN PERLU DIKEKALKAN
6.1) Kaedah
penetapan Hari Raya Korban mengikut kaedah Hisab dan Rukyah berdasarkan
imkanurrukyah sama seperti penetapan awal bulan Ramadhan dan Syawal adalah
lebih sesuai untuk diamalkan di Malaysia.
6.2) Bedasarkan
keputusan Majlis Raja-Raja Malaysia dan persetujuan Mufti seluruh negeri-negeri
di Malaysia bagi penetapan awal Zulhijjah seperti penetapan awal Ramadhan dan
awal Syawal dengan melihat anak bulan di tempat rasmi seluruh Malaysia.
6.3) Perbezaan
zon masa di antara Malaysia dan Arab Saudi adalah jauh selama (5) lima jam
berdasarkan GMT Malaysia (8) lapan jam manakala Arab Saudi (3) tiga jam.
7. PENUTUP
Amalan Umat Islam
di Malaysia menetapkan awal Zulhijjah dikekalkan dengan rukyah dan Hisab
berdasarkan kriteria imkanur rukyah adalah bertujuan untuk di selaraskan dengan
keputusan negara jiran tetangga iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura
(MABIMS).
Keputusan ini
perlu dikelalkan untuk tujuan keharmonian bagi sesebuah negara dan tidak perlu
mengikut pengisytiharan wukuf Arafah oleh kerajaan Arab Saudi. Hukum ibadah
puasa yang dilakukan tiada terjejas dan ia melibatkan perkara sunat yang perlu
kepada pemahaman terhadap ibadat tersebut. Semoga dengan risalah kecil ini akan
memberi pendedahan kepada masyarakat agar tidak timbul kekeliruan tentang
amalan yang digunakan di Malaysia pada masa sekarang dan yang akan datang.
Wallahua'lam.
Disediakan oleh:
Bahagian Falak
Syarie,
Jabatan Mufti
Negeri Selangor.
Ulasan
Catat Ulasan