Leader Is Reader
Membaca adalah awal suruhan yang diperintahkan kepada
junjungan agung Rasulullah ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam ketika Baginda mula-mula mendapat wahyu dari
Allah Subhanahu wa Ta'ala di Gua Hira'. Firman Allah Taala:
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ خَلَقَ الْإِنْسَانَ
مِنْ عَلَقٍ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ الَّذِي عَلَّمَ
بِالْقَلَمِعَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ.
Maksudnya: “Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama
Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), ia menciptakan manusia dari sebuku
darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia
melalui pena dan tulisan, ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Al-`Alaq
: 1-5)
Kecemerlangan dan kegemilangan umat Islam terdahulu adalah
kerana kehendak dan kesedaran mereka akan peri pentingnya membaca dalam
kehidupan. Marilah bersama kita soroti beberapa kisah menarik yang boleh
dijadikan suri teladan dan keinsafan kepada kita semua.
Kisah Ibnu Taimiyyah rahimahullah dan kesungguhan
pembacaannya
Al-Imam Ibnu Qayyim rahimahullah menceritakan,
“Satu hari guruku Ibnu Taimiyyah ditimpa sakit yang menyebabkan beliau
terlantar. Berkata tabib yang mengubatinya, “Sesungguhnya sikap tuan syeikh
yang suka membaca hingga tidak menghiraukan yang lain akan menambahkan
sakitnya.” Maka jawab Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah, “Aku
tidak mampu bersabar apabila melihat kitab, pasti aku ingin membacanya! Saya
ada satu pertanyaan kepada tuan tabib, adakah benar sekiranya apabila hati itu
berasa gembira dan riang akan membantu memulihkan kesihatan?” Jawab tabib itu,
“Benar sekali wahai tuan syeikh.” Berkata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah, “Maka
aku berasa senang dan gembira ketika aku membaca.”
Berkata juga Al-Imam Ibnu Qayyim rahimahullah, “Aku
mengingati saat ketika guruku Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah ditimpa
sakit kepala, kitab pasti akan ada disebelah kepalanya. Apabila terjaga, beliau
akan mengambil kitab tersebut dan membacanya dan apabila sudah tidak berdaya
beliau akan meletakkannya semula di sisi.”
Al-`Allamah Ibnu `Aqil dan pengorbanannya demi membaca
Didalam kitab Al-Funun karangan Al-`Allamah Ibnu `Aqil,
beliau menceritakan perihal dirinya sendiri, katanya, “Aku akan berusaha
sedaya upaya yang aku mampu didalam memendekkan masa makanku. Sehinggakan aku
hanya memakan roti kering sahaja dan aku sengaja melembutkan roti itu dengan
air supaya memendekkan masa kunyahanku. Sehinggalah aku berasa senang dapat
memanfaatkan masa yang panjang untuk pembacaanku.”
Kehebatan Al-`Allamah Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-`Asqolani
membaca kitab-kitab hadis
Al-Hafiz Al-Imam As-Sakhawi rahimahullah menceritakan
di dalam kitabnya Al-Jawahir wa Ad-Durar: “Sesungguhnya Al-Hafiz Al-Imam Ibnu
Hajar Al-`Asqolani membacakan kitab hadis Sahih Bukhari kepada
muridnya di dalam 10 kali majlis ilmu, setiap majlis berlangsung selama 4
jam.”
Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-`Asqolani berkata, “Aku telah
membaca kitab hadis Sahih Muslim kepada guruku Al-Imam Muhammad bin
Muhammad bin Abdul Latif Al-Kuwaik dalam tempoh 5 majlis sahaja."
Al-Hafiz Al-Imam Ibnu Hajar Al-`Asqolani menceritakan
di dalam kitabnya Al-Majma’ Al-Muassis Li Al-Mu’jam Al-Mufahris, “Aku telah
menyempurnakan pembacaan hadis kitab Al-Musnad dengan mengambil masa
sebanyak 53 majlis dan aku berjaya menghabiskan bacaan kitab Al-Mu’jam
As-Saghir oleh Imam Thabrani dalam masa satu majlis sahaja.”
Sultan Al-Ulama’ Syeikh `Izzuddin bin Abd As-Salam
menghabiskan Nihayah Al-Matlab dalam 3 hari
Dinukilkan kisah ini didalam kitab Lahzu Al-Alhaz karangan
Ibnu Fahd menceritakan bahawa, “Telah berkata guru kami Al-Hafiz Burhanuddin
Al-Halabi bahawa beliau pernah diceritakan akan perihal Syeikh `Izzuddin bin
Abd As-Salam, pada suatu hari beliau menuju ke masjid pada hari Rabu dengan
membawa kitab Nihayah Al-Matlab wa Dirayah Al-Mazhab karangan Al-Imam
Al-Juwaini rahimahullah. Maka tuan syeikh beriktikaf dimasjid itu pada
hari Rabu, Khamis dan Jumaat dan telah selesai membacanya sebelum solat
Jumaat!!!”
PERINGATAN BERSAMA
Bukan semua jenis buku boleh hanya sekadar membaca. Ada buku
dan kitab yang memerlukan kepadamusyafahah bersama para ahlinya. Kita
perlulah mengenal saiz baju di badan sendiri. Kisah-kisah diatas dipaparkan
kerana saya hanya ingin menunjukkan semangat dan kesungguhan para alim ulama
Islam pada suatu ketika dahulu didalam sifat membaca mereka. Pada masa yang
sama, mereka sememangnya layak dan sudah cukup ‘senjata’ untuk bergelumang
dengan kitab-kitab tersebut.
Jadi, kitab-kitab yang perlu dipelajari secara talaqqi daripada
mulut-mulut masyaikh adalah seperti kitab-kitab feqh, hadis, tafsir, perbahasan
aqidah, nahu dan saraf serta beberapa lagi ilmu asas yang lain. Apabila
seseorang itu sudah mempunyai asas yang kukuh dalam setiap cabang ilmu
tersebut, maka bolehlah untuk melengkapkan ilmunya dengan pembacaan.
Kalaulah kita masih rapuh dari segi asas ilmu tersebut,
lantas hanya sekadar membaca, akan mengkibatkan muda bosan dan tidak beroleh
apa-apa dari pembacaannya kerana tidak faham. Lebih buruk lagi jika pemahaman
yang salah daripada maksud sebenar sesuatu ilmu yang dibacanya.
KITAB APA YANG KITA HENDAK BACA?
Justeru, saranan saya adalah kita membaca kitab-kitab yang
ditulis oleh ulama’ kontemporari yang agak ringan. Bukanlah saya menidakkan
kitab turathi, tetapi kitab turathi perlu musyafahah dengan ahlinya.
Itu juga turut dipertingkatkan. Kitab-kitab yang menyentuh permasalahan umat
dan membina fikrah amat baik untuk kita hadamkan. Carilah kitab-kitab karangan Syeikh
Abdullah Nasih Ulwan, Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, Syeikh Abdullah Khatib, Syeikh
Mustafa Masyhur, Syeikh Said Hawwa, Syeikh Fathi Yakan, Syeikh Said Ramadhan
Al-Buthi, Syeikh Mustafa Siba`ie dan lain-lain lagi. Kalaulah dihimpunkan
tulisan-tulisan mereka ini pun sudah tidak terhabiskan untuk kita membaca
kesemuanya.
Pengarang-pengarang yang saya sebutkan diatas kebanyakannya
mengarang dengan bahasa yang mudah dan tidak menggunakan bahasa yang sukar
untuk difahami. Disamping itu, penulisan mereka seolah-olah ‘hidup’ kerana
mereka menulis diatas paksi pengalaman dan tajribah mereka sendiri.
Reader Is
Leader!! Membaca Gaya Sebenar Umat Islam!!
http://azrulismail.blogspot.com/
Ulasan
Catat Ulasan