Sekularisme dan Umat Islam
Menurut Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas di dalam Risalah Untuk Kaum Muslimin, perkataan sekular itu berasal dari perkataan Latin iaitu saeculum yang bermaksud time (masa) dan location (tempat atau kedudukan) di mana masa itu berlaku iaitu bermaksud masakini, kenyataan masa sekarang di dunia ini. Jadi, faham sekular menurut al-Attas merujuk dan bermaksud ‘kedisinikinian’. Justeru, menurut Ugi Suharto (2002) perkataan yang paling tepat jika sekularisme ingin diterjemahkan dalam bahasa Arab, terjemahan harfiah yang paling tepat ialah hunalaniyyah berasaskan dua patah perkataan; huna yang bermaksud di sini dan al-An yang bermaksud kini. Hunalaniyyah adalah faham ‘kedisinikinian’ yang tergambar di dalam perkataan secularism.
Dapat difahami daripada definisi yang didatangkan al-Attas bahawa fahaman sekular sudah mempunyai bibit kefahaman iaitu perubahan dan keduniaan; perubahan yang sentiasa berlaku kepada dunia dan dalam dunia. Ini membayangkan bahawa perubahan yang dimaksudkan itu merujuk kepada perubahan dalam pemikiran manusia mengikut perubahan-perubahan yang berlaku di alam sekeliling. Perubahan nilai serta kepercayaan dan ilmu, akan berterusan berlaku yang disebut sebagai evolusi.
Adapun perkataan sekularisme menurut al-Attas membawa maksud keadaan sekular, atau gerak-daya yang berlaku yang mengisbatkan yang sekular. Menurut al-Attas terdapat tiga ciri utama pensekularan yang saling berkait rapat iaitu:
i) Pengosongan alam tabii dan akal insani dari semua makna ruhani.
ii) Penafian tentang pengesahan kepimpinan manusia yang dikuatkuasakan oleh kepercayaan yang berdasarkan pada perkara ruhani.
iii) Penafian tentang kesucian serta kekebalan nilai-nilai hidup.
Ini menunjukkan bahawa walaupun al-Attas memberi penekanan sekularisme sebagai sebuah philosiphical program yang pada peringkat asalnya berjalan berjalan dalam fikiran dan jiwa individu, kesannya sangat jelas dalam masyarakat. Sekularisme dan sekularisasi akan melahirkan masyarakat bebas nilai, termasuk nilai-nilai sekularisme itu sendiri.
Menurut al-Attas penghapusan segala faham dalam bahasa manusia yang merujuk kepada alam ghaib dan kepada gama sehingga bahasa itu dan seterusnya akal manusia yang menggunakannya akan terbebas dari kefahaman yang dianggap membelenggu manusia kepada kepercayaan tahyul.
Menangani Sekularisme
Al-Attas cuba menyedarkan umat Islam tentang faham akal dan peranannya serta gabungjalinan antara keupayaan akal dengan penghayatan naqal (wahyu). Al-Attas menganggap akal bukanlah suatu fakulti yang boleh diremeh-temehkan dan bukan juga satu fakulti yang boleh diagung-agungkan sehingga melampaui had upayanya. Seyogianya, akal dilihat sebagai suatu anugerah Tuhan nan Maha Bijaksana yang memberi keupayaan yang hebat namun terhad supaya manusia sedar akan kelemahan dan kekerdilannya di hadapan Yang Maha Perkasa lagi Bijaksana. Dalam peradaban barat, akal dilihat sebagai sebuah entiti yang bersifat ratio (rasional) yang akhirnya menyuburkan sekularisasi. Ini berbeza dengan peradaban Islam yang meletakkan akal sebagai entiti integrasi bersifat ratio dan intellectus, yang mana akal ini; ratio dalam hal-hal jasmaniah dan intellectus dalam hal-hal rohaniah.
Kesan Sekularisme Terhadap Umat Islam
Menurut Wan Mohd Nor Wan Daud (2019) al-Attas menyatakan bahawa sekularisme perlu dilawan dan ditangani dengan cara dan kaedah yang tepat iaitu ditangani melalui penyebaran ilmu yang komprehensif. Menurut beliau lagi, masalah ini bukan bersifat zahir seperti politik, bahkan kesilapan dalam memberikan makna ilmu. Hakikatnya ilmu adalah makna dalam diri dan semua ilmu perlu membawa kita mengenal Tuhan. Setiap pandangan alam (worldview), ada tafsiran berlainan mengenai ilmu.
Masalah besar umat Islam juga disebabkan masalah dalaman yang berbentuk kekeliruan makna ilmu dan hierarki ilmu pengetahuan sebenar. Selain itu, masalah dalaman juga disebabkan keruntuhan adab dalam pemikiran dan alam perbuatan. Masalah asas umat Islam bersumber daripada masalah dalaman dan luaran juga menjadi semakin meruncing.
Kesan sekularisme menjadikan berlakunya gejala keruntuhan adab, iaitu kehilangan disiplin akliah, rohaniah dan jasadiah yang menghilangkan upaya meletakkan suatu perkara di tempat wajar hingga menimbulkan kekeliruan dan kezaliman dalam semua lapangan kehidupan. Faktor luaran pula adalah akibat pertentangan antara kebudayaan dan tamadun barat terhadap Islam.
Ulasan
Catat Ulasan