Analisis: Perkembangan Siasah Syariiah dan Aplikasi Maqasid Syariiah

Perkembangan Siasah Syariiah dan aplikasi Maqasid Syariiah

Perkembangan politik demokrasi yang agak pesat mutakhir ini menggoda aktivis-aktivis Politik Islami melakukan tajribah ilmu siasah yang agak luas pada sesetengah fikiran seseorang. Namun apakah benar kita telah menjadikan asas Politik Islami di atas sandaran yang kukuh? Berlakunya arus baru politik yang mementingkan nilai kemanusiaan, universal, kesamaan telah menyebabkan beberapa kekeliruan dalam mengadaptasikan siyasah syariiah dalam perjuangan politik semasa.

Apa lagi kalau ia melibatkan politik yang berkongsi medan demokrasinya dengan pelbagai bangsa, ideologi dan taraf sosial. Maka bertambah campur aduk penjelasan Siasah Syariiah sama ada wujud yang benar-benar berdasarkan Syariat atau Aqliah semata-mata. Kenapa ini terjadi? Antara sebab yang terjadi ialah salah penafsiran terhadap Mafsadah Syariiah dan Maslahah Syariiah. Seringkali dalam perbahasan ini, ramai pengkaji mencampur adukkan antara Syariiah dan Aqliah. Mungkin ini terjadi kerana gagal memahami penulisan maksud asal Ulama-Ulama yang menulis buku Maqasid Syariiah yang berpunca dari gagal memahami penulis dan gagal memahami susunan ayat yang ditulis oleh Ulama.

Sebagai contoh, seringkali apabila merujuk kepada Maqasid Syariiah dalam kerangka maslahah dan mafsadah, definisi yang terkenal diambil dipetik dari Imam 'Izzuddin Abd Salam dalam Qawaedul Ahkam fi Masalehi Anam dan definisi yang dipetik dari Imam Ibn Qayyim dalam Islam Muwaqiein.

Kalam 'Izzuddin Abd Salam: الشريعة كلها مصالح، إما تدرأ مفاسد، أو تجلب مصالح yang bermaksud: "Syariat itu, seluruhnya adalah kebaikan, sama ada ia menolak mafasid atau mengambil maslahah (manfaat)."

Adapun ungkapan Imam Ibn Qayyim pula: الشريعة مبناها وأساسها على الحِكَم، ومصالح العباد في المعاش والمعاد، وهي عدلٌ كلها، ورحمة كلها، ومصالح كلها، وحكمة كلها yang bermaksud: "Syariat itu, pembinaannya dan asasnya disandarkan kepada hikmah, Maslahah hamba dalam kehidupann dunia dan akhirat, ia Adil seluruhnya, rahmat seluruhnya, bermanfaat seluruhnya dan penuh hikmah seluruhnya."

Dalam kedua-dua matan yang disebut ini, kedua-dua Imam memulakan ayat dengan Jumlatul Ismiah. dan isimnya pula isim Ma'rifah iaitu As-Syariah (Syariat itu). Silap terjemah dan tafsir sahaja perkataan ini, menyebabkan ramai di kalangan pengguna Maqasid Syariiah terbabas dari maksud asal, lantas boleh menyebabkan orang lain tersesat dalam aplikasi politik semasa.

AS-SYARIAH yang dimaksudkan dalam kedua-dua matan ini adalah Syariat ISLAM yang ditunjukkan oleh ALLAH. Maka seluruh Syariat yang telah dinuzulkan kepada Nabi dan umatnya, semuanya adalam menjaga maslahah hamba-hambanya. Kesemua Syariatnya mengandungi keadilan, rahmat kepada semua hamba-hambanya.

Sebab itu dalam penjelasan yang panjang dalam kitab masing-masing, dijelaskan secara terperinci bagi mengenalpasti Maslahah dan Mafsadah melalui perkhabaran ALLAH Subhanahu wa Ta'ala dalam Al-Quran mahupun As-Sunnah.

Namun, perkataan AS-SYARIAH ini, seringkali disalah ertikan dengan mencari mafsadah dan maslahah yang sesuai dengan akal yang selari dengan kesejagatan kepentingan umat bersama tanpa dinilai dengan natijah ukhrawi ataupun ukhrawi-duniawi yang wujud serentak. Inilah yang sering berlaku yang menyebab kekeliruan dalam mengenalpasti mafsadah dan maslahah.

-- cebisan pandangan dan pemerhatian apabila memerhati segelintir pemimpin yang cepat berasa betul dengan ilmu Siyasah Syariiah tetapi asas bahasa Arab pun gagal difahami.

Ahmad Hakimi Othman,
Kuala Selangor.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sekularisme dan Umat Islam

Leader Is Reader

Black Zetsu : Umpama iblis yang menyesatkan