Analisis: Ikhwan Muslimin, Ikhwan Alami dan IRC Part 2

Analisis: Ikhwan Muslimin, Ikhwan Alami dan IRC Part 2

Menyambung tulisan yang lepas yang menggambarkan secara kasar pergolakan dalam Ikhwan Muslimin (IM) yang menyebabkan wujudnya Ikhwan Alami dan seterusnya kesannya kepada landskap jemaah di Malaysia. Apa yang belum disebut ialah jaringan Ikhwan Alami yang ada di seluruh dunia. Selepas kematian Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna, IM melalui fasa-fasa yang sukar selepas dipimpin oleh Hassan Al-Hudaibi. Di zaman Hassan Al-Hudaibi, ulama-ulama besar yang berdamping dengan IM, kebanyakannya terpinggir seperti Muhammad Al-Ghazali, Muhammad Qutb, Syiekh Yusuf Al-Qardawi (Dr) dan lain-lain. Namun, mereka yang dipinggir ini tidak mengkhianati IM sebaliknya menyumbang kepada umat melalui cara-cara mereka seperti penulisan kitab dan makalah.

Kemelut ini berterusan sehingga kepada zaman Mursyidul Am yang ketiga, Syeikh Umar At-Tilmisani. Ketika Syeikh Umar At-Tilmisani menjadi Mursyidul AM IM, Tuan Guru Haji Abdul Hadi (TGHH) belajar di Mesir bersama sahabat-sahabat beliau seperti Tuan Guru Ustaz Harun Taib (almarhum), Ustaz Yahya Othman (almarhum), Ustaz Muhd Zain (Ketua Dewan Ulamak PAS Selangor sekarang) dan lain-lain. Menurut TGHH, selepas beliau meninggalkan Mesir pada tahun 1976, kesan perpecahan dalam IM merebak dengan besar sehingga menyebabkan banyak fraksi. Antara peristiwa besar ketika itu ialah Perjanjian Camp David 1979 selepas Perang Mesir-Israel, sehingga kemelut Pembunuhan Anwar Sadat.

Peristiwa-peristiwa ini menunjukkan juga, dalam IM sendiri telah terdapat perpecahan yang tak dapat dibendung. Malah Syeikh Umar At-Tilmisani sendiri ditahan selepas 1981. Menyebabkan IM juga dalam keadaan yang tidak menentu. Waktu ketika inilah, pelajar pelajar Malaysia yang dulunya mengikuti manhaj IM turut berpecah. Perpecahan ini menyebabkan dalam IM juga tertubuh perkaderan yang dikenali sebagai Ikhwan Alami. Ia bertujuan untuk IM mempunyai jaringan di peringkat luar Mesir dan antarabangsa. Perkembangan ini tidak dipesetujui oleh banyak pemimpin besar IM di luar Mesir termasuk Syeikh Said Hawwa.

Maka, atas nasihat dan galakan Syeikh Said Hawwa, TGHH memberanikan diri bertemu Mursyidul Am ketika itu, Muhammad Hamid Abd Nasr untuk menasihati isu berkenaan Ikhwan Alami. Maka, semenjak dari situlah keberanian yang ditunjukkan oleh TGHH untuk menasihati IM telah mendapat perhatian bakal-bakal Mursyidul AM selepas itu seperti Syeikh Mustafa Masyhur dan Syeikh Mehdi Akif yang turut berada dalam pertemuan tersebut. Namun, sejak peristiwa itu, TGHH telah dihalang memasuki Mesir. Malah, Seorang ustaz dengan nama yang sama berasal dari Kedah, Ustaz Abdul Hadi Awang, yang sekarang ini sebagai penerbit buku dan pemilik kedai buku Pustaka Darussalam di Alor Setar, turut menjadi tempias kerana punyai nama yang sama. Walaupun nasihat TGHH tidak diambil peduli, peristiwa itu telah menyebabkan TGHH dikenali dengan sebagai pimpinan masa depan yang punyai ketegasan dan prinsip yang kukuh.

Maka, perpecahan yang berlaku dalam IM tetap berlaku. Di luar negara, ketika Awal 1980-an, Prof Ismail Faruqi, seorang rakyat Palestin telah menubuhkan IIIT di Amerika Syarikat (USA) bersama Syeikh Taha Jabel Al-Wani. Turut membantu penubuhan itu ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI), yang ketika itu adalah Pengerusi Pertubuhan WAMY selepas Ustaz Yahya Othman (almarhum). Di sini juga, kita boleh melihat titik temu pergerakan Ikhwan Alami dan hubungannya dengan gerakan di Malaysia yang dipelopori Oleh IRC. Menurut sahabat-sahabat di Mesir, Ikhwan Alami turut merekrut kader di Mesir dari pelbagai negara walaupun ditentang oleh sebahagian ikhwah IM yang lain. Maka, di sinilah kita melihat Dr Mujahid Rawa (YB) direkrut oleh Ikhwan Alami di Mesir bersama sahabat-sahabat yang lain, termasuk tokoh-tokoh lepasan Mesir yang berada dalam JIM/ISMA atau yang terbaharu di dalam IKRAM. Turut juga terlibat dalam perkaderan ini, tokoh-tokoh dari ABIM. Dalam masa yang sama, mereka juga bersama wakil dari negara-negara lain termasuk Indonesia, Patani-siam, Singapura dan lain-lain. Kemunasabahan pimpinan IM merekrut Ikhwan Alami mungkin untuk mereka mendapatkan talian hayat yang lebih apabila berlaku tekanan kepada IM di Mesir.

Menurut sumber pelajar yang turut belajar di UK dan di USA, yang pernah melihat sendiri perkembangan IRC dan MISG. Abu Urwah (Sa'ari Sungip) dan Abu Iman (Dr Dzulkefly Ahmad) adalah tokoh besar IRC di sana. Dalam masa yang sama, Dr Rahim Ghouse, ahli IRC UK, menyambung pelajaran di Illinois dan menjadi Presiden MISG di benua Amerika. Ketika era 1980-an, MISG menjadi platform pergerakan dan persatuan Pelajar di USA. Di sinilah, Dr Rahim Ghouse, Wan Hasni Wan Sulaiman menjalin hubungan dengan Ikhwan Alami di sana yang berpusat di IIIT. Menurut tulisan Dr Hafidzi Mohd Nor, Abu Urwah dan Abu Iman sering ke USA untuk pengisian program di sana. Di samping turut menjemput wakil-wakil Malaysia dari PAS untuk pengisian mukhayyam dan lain-lain. Kesan hubungan ini boleh dilihat apabila kita melihat kepada perkembangan Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Ketika Mana DSAI terlibat dengan UIA, beliau banyak mengambil pensyarah melalui hubungan dengan IIIT termasuk juga pernah melantik rektor dari IIIT dan orang-orang penting dari IIIT. Malah, IIIT pernah cuba membuka pejabat cawangan di Malaysia, di Petaling jaya sebelum berlakunya Reformasi 1998. Cawangan yang terdekat di Asia Tenggara terletak di Indonesia, melibatkan tokoh-tokoh yang bergiat dalam Partai Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia.

Di era pertengahan 1980-an sehingga akhir 1990-an, jaringan yang dibina DSAI dan kumpulan IRC ni terus bergerak. Dalam masa yang sama, kumpulan pelajar dalam MISG di USA turut berpecah kepada dua kumpulan. Akhirnya sebahagian yang lain membentuk kumpulan pelajar yang baru atas nama MISNA yang kelihatan Pro-PAS. Tokoh-tokoh yang terlibat dalam kancah konflik ini termasuk Dr Syed Azman (YB), Fuad Zarkashi (YB) (Dr), Shabery Cheek (YB) dan lain-lain. Melihat perkembangan semasa dalam PAS, tokoh-tokoh yang lewat MISNA era 1990-an juga muncul satu persatu seperti Jamzuri Ardani, Hasnol Dubai dan Nazri Abd Aziz. Tokoh-tokoh ini apabila bergiat dalam PAS, juga membentuk satu aliran baru, yang kalau dilihat, krisis yang berlaku dalam PAS akhir-akhir ini, juga melibatkan personel-personel yang pernah bergiat di MISNA dan MISG.

Ketika pembongkaran IRC dalam PAS di akhir 80-an dan juga penjelmaan IRC sebagai JIM sebagai wadah terus terang, pernah diadakan wacana debat antara Tuan Guru Harun Taib (almarhum) dan IRC yang diwakili Abu Urwah di dewan di UTM. Semua ini tersimpan dalam lipatan sejarah. Debat tersebut diadakan dalam tahun 1993. Ketika ini, IRC yang berwadahkan JIM lebih condong kepada DSAI dan membantu DSAI dalam imej yang berwajahkan islamik. Maka, tidak hairan apabila berlaku Reformasi 1998, ramai mereka ditahan ISA kerana berkomplot bersama DSAI dalam menjadi jentera Anwar Ibrahim di peringkat nasional. 

Perlu diketahui juga, pelajar-pelajar yang belajar di Mesir yang dibimbing oleh IM turut membentuk dan mempengaruhi perkembangan di Malaysia. Presiden IKRAM sekarang, Dato' Parid Sheikh Ahmad adalah lepasan Mesir, Dr Mujahid Rawa (YB), lepasan American Open University, Cairo, Presiden ISMA, Abdullah Zaik, juga lepasan Al-Azhar. Mereka ini, membentuk lanskap yang tersendiri apabila pulang ke tanah air. Dr Mujahid Rawa tidak pernah terlibat dengan JIM, namun begitu aktif dengan fraksi IRC dan punyai hubungan akrab dengan seorang tokoh Dewan Ulama PAS melaka, Ustaz Muhammad Nur Umar. Banyak lagi nama yang tidak disebut yang mungkin kita boleh ceritakan di masa hadapan.

Maka, tidak hairan juga, Dalam perkembangan manhaj IM yang pesat dibawa oleh pelbagai individu yang mungkin mempunyai cita-cita dan harapan berbeza, menghasilkan cara kerja berbeza. Manhaj IM yang dibawa ke Malaysia tidak dapat menyatukan semua sekali Ikhwan Alami, IRC , HALUAN dan individu-individu yang lain. Maka pada tahun 1997, wujud lagi satu NGO iaitu ISMA (Ikatan Siswazah Islam Malaysia). ISMA dipimpin oleh Ustaz Abdullah Zaik dan dibantu ketika itu oleh Dr Dzulkefly Ahmad. Pada tahun 2005, ISMA adalah singkatan kepada Ikatan Muslimin Malaysia. Mungkin kerana penyertaan dalam Reformasi 1998, Abu Iman meninggalkan ISMA dan kelihatan bersama kawan-kawan dari IKRAM ketika berkempen PRU-13 di Kuala selangor. Telahan saya, hubungan Abu Iman dan Abdullah Zaik untuk membina ISMA mungkin terjalin ketika masing-masing berada di Kelantan yang mana Abu Iman ketika itu sedang berkhidmat di USM, Kubang kerian. Maka, tidak hairan juga bila kita melihat perkembangan ISMA di Kota Bharu agak pesat. ISMA masih meneruskan polisi tidak bertembung dengan kerajaan sepertimana JIM di zaman Anwar Ibrahim menjadi orang besar di Malaysia. Menurut maklumat sahabat di Mesir, anak Abu Iman mengikuti jejak ayahnya untuk bersama ISMA ketika ini.

Jika dilihat gambaran ini, dalam keadaan berhipotesis, kita boleh membina teori bahawa hubungan ISMA-IKRAM-IRC masih wujud di belakang tabir. Kebersamaan yang dibina berdasarkan hubungan Alami-IRC mungkin terus ada dalam mereka melakukan ekperimen politik di tanah air. Dalam PRU-13, ISMA melakukan eksperimen melalui logo BERJASA. Manakala, IKRAM/IRC menumpang dalam PAS dan PKR. Antara tokoh IKRAM dalam pakatan Rakyat Ialah Fuziah Salleh (MP Kuantan), Rodziah Salleh (ADUN Batu Tiga), Sa'ari Sungip (ADUN Hulu Kelang) dan wujud juga tokoh-tokoh mereka dalam kerajaan negeri kelantan.

Inilah sebahagian hubungan Ikwan Muslimin, Alami dan IRC yang boleh kita lihat dalam perkembangan politik dan gerakan tanah air. Dalam siri yang akan datang, kita boleh juga melihat apakah peranan yang dimainkan oleh Murabbi-Murabbi IRC untuk membina jaringan mereka di tanah air semenjak mereka pulang dalam tahun 1980-an. Untuk membaca salur galur permasalahan hari ini, perlu juga lihat konflik MISG-MISNA, PAS-IRC, kumpulan republik UM, republik Iran dan jaringan-jaringan yang mungkin boleh dilihat kesan daripada perkembangan-perkembangan tersebut.

Ahmad Hakimi Othman,
Kuala Selangor.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sekularisme dan Umat Islam

TINGGALKAN PERKARA YANG TIDAK BERFAEDAH

Duduk dalam majlis zikir