Memenuhi hati dengan Cinta Rasul

بسم الله الرّحمن الرّحيم
اللهمّ صلّى على سيّدنا محمّد

Segala puji hanyasanya layak kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Mulia Sayyidul Kaunain ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam, Ahli keluarga Baginda, Sahabat Ridhwanullahum Ajma'in dan juga mereka yang terdahulu yang mendahului kami dengan Iman.. 

Apabila kita berbicara mengenai cinta, pelbagai definisi yang diberikan orang. Berkata Guru Mulia Al-Habib Umar Khaled Hasan Al-Madihij Hafizohullah, "Orang yang minum arak akan sedar ia daripada mabuk itu. Orang yang merasa mabuk CINTA kepada Nabi akan menyedari mabuknya apabila di alam Barzakh kelak." (mafhum kalam)

Tiada nikmat paling besar yang dikurniakan Allah Ta'ala melainkan dengan kelahiran Sayyidul Kaunain ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam. Kelahiran Baginda Nabi adalah merupakan hadiah yang terbesar diberikan kepada ummat manusia keseluruhannya. Baginda Nabi yang membimbing kita untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala. Mana mungkin kita yang dilahirkan serta dibesarkan oleh kedua ibu bapa kita, apabila tiba ulangtahun kelahiran mereka kita tidak menyambut meraikan ulangtahun kelahiran mereka. Kelahiran Sayyiduna Baginda terlebih-lebih lagi untuk kita raikan kerana Bagindalah yang mengajarkan kita segala hukum-hakam yang diturunkan oleh Allah Ta'ala.

Para Sahabat Ridhwanullahum Ajma'in itu adalah mereka yang mana hatinya telah dipenuhi rasa cinta terhadap Baginda Nabi ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam. Dalam hidup mereka sedikit pun tidak terdetik di dalam hatinya menginginkan kemewahan dan balasan keduniaan. Hal ini kerana di dalam hati mereka yang ada pada setiap hari yang ditempuhi mereka inginkan ialah agar mereka dapat duduk bersama-sama dengan Nabi Muhammad, melihat wajah Baginda Nabi dan mengikut ke mana sahaja Baginda Nabi pergi ingin mereka mengikuti untuk menemani Baginda Nabi ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam.

Diriwayatkan satu kisah seorang Sahabat bernama Saidina Amru bin Jahm Radhiyallahu 'Anhu, mempunyai empat orang anak lelaki yang senantiasa mendampingi Nabi ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam. Saidina Amru bin Jahm merupakan seorang yang cacat kedua-dua kakinya yang menyebabkan ia tidak dapat berjalan. Walaupun begitu dia tetap bercita-cita untuk bersama-sama dengan Nabi untuk bersama dengan Nabi walaupun di dalam peperangan. Katanya kepada anak-anaknya, "Aku merasakan jauh daripada Nabi. Hidupku ini tidak bermakna dan hampa kerana tidak dapat bersama dengan Nabi." 

Apabila ia menceritakan hajatnya kepada anaknya lantas berita itu disampaikan kepada Baginda Nabi Muhammad. Apabila tiba peperangan, maka Baginda pun menyeru para Sahabat keluar berperang. Apabila diizinkan Nabi, Saidian Amru bin Jahm membawa bersama isteri dan anak-anaknya berempat menuju ke medan Jihad. Diriwayatka setiap anak panah yang datang kepada Baginda Nabi, semuanya dihalang isterinya kerana dia lebih rela dirinya yang terkena anak panah itu berbanding terkena tubuh Baginda Nabi yang Mulia.

Dipendekkan cerita, dalam peperangan Uhud itu, tentera Islam mengalami kekalahan. Apabila mendapat berita kematian suami dan anak-anaknya, lalu si isteri meminta agar jasad suami dan anak-anaknya agar diletakkan di atas unta untuk dibawa pulang. Apabila dalam perjalanan menuju ke Madinah, unta yang mengangkat jasad keluarga si isteri tadi tidak boleh berjalan. Apabila berjalan sedikit, ia akan berhenti terduduk. Melihatkan hal demikian, si isteri pun menghalakan unta itu ke arah Bukit Uhud. 

Apabila unta menghadap ke arah Bukit Uhud, unta itu boleh berjalan seperti biasa. Lalu dikhabarkan kepada Baginda Nabi akan perihal yang menimpa unta yang membawa jasad Saidina Amru bin Jahm. Lalu Baginda bertanya kepada si isteri Saidina Amru bin Jahm, "Apakah sebelum suamimu meninggal ia ada berpesan apa-apa?"

Lalu jawab si isteri ada ya Rasulullah. Suamiku pernah berdoa, "Ya Allah, jangan hinakan daku sehingga aku pulang ke rumahku." Maksudnya ia berdoa agar ia dikurniakan kemuliaan dengan mati syahid.

Berkata Amirul Mukminin Saidina Umar Al-Khattab Radhiyallahu 'Anhu, "Di mana mereka yang bisa mengatakan cinta kepada Nabi Muhamamad ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam, mereka perlu merelakan nyawanya dikorbankan di Jalan Allah."

Mereka yang cintakan Nabi Muhammad, hatinya bergetar kerana ingin bertemu dengan Sayyidul Kaunain Atqol Atqiya' Sayyiduna Rasulillah ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam..

Allahumma solli 'ala Sayyidina Muhammad..

Khadim al-'Ilm wal Ulama',
Ibnu Selanjuuri.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sekularisme dan Umat Islam

TINGGALKAN PERKARA YANG TIDAK BERFAEDAH

Duduk dalam majlis zikir