MENANGANI KRISIS KEFAHAMAN JAMAAH TERHADAP PERJUANGAN GERAKAN ISLAM


Kekeliruan dan kecelaruan fikrah yang dialami oleh pemimpin dan anggota sebuah gerakan Islam adalah suatu penyakit yang parah mengakibatkan berlakunya salah faham terhadap perjuangan dan matlamatnya. Seringkali tindakan yang tidak berasaskan kefahaman yang jelas dan tepat, menghasilkan natijah yang yang salah dan tersasar dari matlamat yang murni.
Lebih malang kiranya salah faham itu membentuk satu manhaj perjuangan yang salah sedang mereka merasakan itu adalah suatu yang benar. Akhirnya mereka berjuang di atas landasan yang salah untuk tujuan yang salah pula.

Apa yang saya ingin tegaskan di sini ialah perlunya kita merungkai krisis kefahaman ini agar kekeliruan dan kecelaruan dapat di atasi dan kembali meletakkan mereka di atas landasan perjuangan yang benar bersama misi dan visi yang tepat. Seterusnya mendapat redha daripada Allah Taala. Saidina Umar al Khattab pernah menegaskan, "Fahamilah oleh-mu (akan perkara agama dan urusan perjuangan) sebelum kamu dipilih menjadi pemimpin."

Dan sabda RasuliLlah S.A.W yang jelas bermaksud, "Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah Taala kebaikan nescaya dia diberi kefahaman tentang agama..." - Riwayat Imam Bukhari dan Muslim

Pertama : Memahami Ghayah (Matlamat)

Ghayah adalah matlamat akhir yang ingin kita capai dalam perjuangan ini. Justeru itu, ghayah atau matlamat akhir kita adalah Allah Jalla wa A’la. Segala yang kita lakukan dalam perjuangan ini tidak boleh bermatlamatkan selain dari Allah kerana kelak ia menjadikan kita menyeleweng dari petunjuk Ilahi.

"Dan sesungguhnya inilah jalanku yang lurus, maka hendaklah kamu mengikutinya dan jangan kamu mengikut jalan-jalan yang lain kerana kelak akan menyelewengkan kamu dari jalan Allah Taala. Begitulah kami mewasiatkan kepada kamu mudah-mudahan kamu bertaqwa" - Surah Al Ana'am:153

Apabila kita benar-benar memahami bahawa matlamat akhir kita ialah Allah Taala, maka kita akan memiliki jiwa yang optimis terhadap kemenangan Islam yang kita perjuangkan dan hati yang tenang sekalipun berhadapan dengan cabaran yang getir lantaran tawakkal yang kukuh berpaut kepada Allah Taala.

Allah sebagai matlamat akhir perjuangan ini meletakkan kita ikhlas dan tajarrud dalam perjuangan demi mencapai nilai dan standard tawajjuh kepada Allah Taala. Saat itu, tidak akan berlaku lagi pergelutan dingin merebut jawatan kerana "hubb ar riyaasah" atau gila jawatan, atau berasa resah dan penat sehingga mahu menarik diri dari medan perjuangan yang serba mencabar ini.

Sebaliknya bangga dan puas dengan apa yang dilakukan untuk Islam ini, sekalipun hanya sebagai penampal poster dan pengedar handbill justeru matlamat akhirnya ialah Allah Tala. Yang pasti ia memberikan ganjaran bernilai terhadap usaha untuk menegakkan agamanya.

Saya berharap semua pemimpin dan anggota jamaah kembali menghayati slogan perjuangan kita yang saya lihat sedikit sebanyak makin diabaikan :
  • Allah Matlamat Kita
  • Ar Rasul Ikutan Kita
  • Al Quran Perlembagaan Kita
  • Al Jihad Jalan Perjuangan Kita
  • Mati Syahid Di Jalan Allah, Cita-Cita Kita
Kedua : Memahami Hadaf (Objektif)

Hadaf ialah matlamat semasa atau objektif yang ingin dicapai bersama perjuangan ini. Gagal memahami hadaf atau objektif memungkinkan kita berjuang tanpa sebarang pencapaian atau paling tidak menjadikan kita sukar dan semakin jauh dari destinasi. Sebagai contoh, antara hadaf yang ingin kita capai ialah tertegaknya Daulah Islamiyyah di atas tanahair kita. Mereka yang memahami hadaf atau objektif perjuangan ini akan memastikan dirinya berjuang gigih tanpa lengah dan membazirkan waktu dengan perkara yang tidak mendatang faedah buat diri dan perjuangannya.

Apa yang lebih penting untuk tahqiqul hadaf (merealisasikan objektif), kita terlebih dahulu diwajibkan menghayati objektif yang ingin dicapai. Sebagai contoh tadi, Daulah Islamiyyah menjadi salah satu hadaf kita yang ingin dicapai, maka kita dituntut supaya memahami dan menghayati terlebih dahulu nilai dan ruh Daulah Islamiyyah di dalam jiwa dan kehidupan kita.
Al Imam Hasan Hudhaibi pernah menyebut (maksudnya), "Tegakkan Negara Islam dalam diri kamu nescaya ia akan tertegak di atas tanahair kamu."

Malang, andainya kita meletakkan Daulah Islamiyyah sebagai objektif perjuangan ini sedang kita bukan sahaja tidak memahami prinsip dan ciri-ciri Daulah Islamiyyah bahkan tidak menunjukkan sakhsiyyah sebagai seorang pejuang yang berjuang untuk menegakkan syariat Islamiyyah. Manakan tidak, semangat berkobar-kobar untuk menegakkan Negara Islam tetapi ibadat kita "hancur", tawakkal kita lemah dan fikrah kita hambar. Tentu sahaja semangat tidak memadai untuk mencapai objektif yang telah kita gariskan.

Begitulah apabila kita turut meletakkan Dakwah Islamiyyah antara objektif kita. Kita mestilah terlebih dahulu menghayati kriteria ad daaei atau pendakwah yang berkesan. Bahkan kita sewajibnya menguasai methodologi dakwah yang efektif berasaskan maudhu' (topik) dakwah yang tepat dan bersesuaian dengan tahap madu'u (audiens).

Bertindak melulu dalam usaha dakwah tanpa memahami dan menghayatinya inilah yang melahirkan pelbagai polemik dan kontroversi. Ada yang menggunakan perkataan kesat dan kasar dalam ucapan atau ceramah, akhirnya menjauhkan madu'u dari perjuangan kita. Demikian juga sebuah penampilan yang tidak sesuai dengan masyarakat atau audiens sehingga menimbulkan rasa jengkel di hati madu'u. Firman Allah Taala :


"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya." - Surah Aali Imran:159

Sebagai pemimpin biarpun di mana jua peringkat kepimpinan kita dan sebagai anggota sekalipun kita hanya ahli biasa, berilah perhatian terhadap persoalan ini. Fahami objektif atau hadaf ini sedalam-dalamnya.

Kita bukan berdakwah dan berceramah untuk mencari publisiti, apalagi laba duniawi. Kita berdakwah untuk membawa mesej perjuangan kita kepada masyarakat agar mereka menerima Islam.
Bertolak dari keinsafan ini, sampaikan Islam dengan penuh penghayatan terhadap kandungan Islam itu sendiri dan jiwailah ia dalam penyampaian kita agar dakwah kita menembusi jiwa madu’u.

Firman Allah Taala :

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." - Surah An Nahl:125

Ketiga : Memahami Manhaj 

Landasan dan hala tuju perjuangan Islam sewajarnya difahami secara jelas sebagaimana jelasnya Islam itu sendiri sebagai cara hidup yang diwahyukan Ilahi. Al Quran dan Sunnah mendasari manhaj perjuangan kita . Kita bergerak dan membentuk polisi perjuangan berasaskan wahyu dan sunnah bukan nafsu dan aqal yang terpisah dari wahyu Allah. Firman Allah Taala :
"Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar)." - Surah Al Jaathiyah:18

Secara organisasinya, jamaah kita berperlembagaan dan dipimpin melalui konsep syura. Kita telah menggariskan polisi dan manhaj perjuangan ini serta menurunkannya kepada setiap peringkat jamaah. Ia mesti difahami dan dihayati. Pengamatan saya mendapati masih ramai yang kabur mengenainya biarpun mereka telah lama menyertai jamaah. Fenomena ini berlaku kerana mereka menyertai jamaah tanpa memahami dan mendalami manhaj perjuangan.

Sebagai contoh, Jamaah kita mengambil pendekatan "muwaajahah bissilmi" sebagai polisi perjuangan kita di Malaysia. Pendekatan ini merumuskan satu jawapan yang akhirnya membawa penyertaan kita dalam persada politik tanahair sekaligus menyertai pilihanraya.

Pihak yang tidak memahami manhaj kita sering menuduh bahawa kita salah dan bercanggah dengan syara' kerana menyertai pilihanraya dan demokrasi. Malangnya ada dikalangan ahli jamaah terpedaya dengan tuduhan tersebut. Ini adalah kerana mereka tidak memahami manhaj perjuangan sendiri. Ada pemimpin yang turut keliru terhadap manhaj perjuangan mereka sendiri. Ini suatu yang sangat malang, namun ianya satu realiti.

Realiti ini berlaku kerana sebahagian mereka tidak menyertai usrah atau liqa' fikri anjuran jamaah sebagai medan untuk memahami dasar dan manhaj perjuangan. Saya sifatkan mereka yang menyertai jamaah tetapi tidak menyertai usrah sama seperti mereka masuk sekolah tetapi tidak masuk kelasnya. Biarpun sekolah itu adalah sekolah yang ternama dan tersohor dengan kegemilangannya, tetapi keengganan memasuki kelas hanyak mengekalkan kebodohan dan kejahilan mereka. Tiada apa yang dapat mereka pelajari tanpa memasuki kelas.

Ketidakfahaman terhadap manhaj perjuangan inilah menyaksikan pelbagai aliran yang bercanggah cuba disogok kepada ahli jamaah. Ada yang cenderung membawa aliran Syiah semata-mata kerana tersilau dengan kehebatan Iran, sedang Iran bukan hebat kerana mereka Syiah dan kita lemah bukan kerana kita Ahli Sunnah wal Jamaah. Mereka (Iran) menjadi kuat kerana kesediaan pemimpin dan rakyat mereka menolak ideologi Barat dan menggerakkan kebangkitan rakyat mereka di atas nama jihad untuk menentang kuasa besar dunia yang digelar mereka sebagai "syaithanul akbar".
Sementara masyarakat kita yang mendakwa diri mereka dengan label Ahli Sunnah wal Jamaah tetapi menganut faham dan ideologi Barat serta mengikis semangat jihad daripada diri mereka. Ini menjadikan diri mereka lemah dibawah pengaruh Barat.

Lantaran itu, membawa masuk fahaman atau aliran syiah ke dalam jamaah ini (PAS) untuk menjadikannya kuat adalah suatu langkah yang salah dan tidak membawa sebarang faedah.

Sebaliknya apa yang penting ialah menyalakan semangat jihad dikalangan ummah dan mendidik mereka agar menolak fahaman dan ideologi asing dari terus menguasai minda dan jiwa ummah.

Begitu juga ada pihak yang cuba menyeludup aliran liberal memasuki jamaah untuk mengelirukan ahli dan terdapat juga yang anti ulama' dengan tanggapan serong bahawa ulama' tidak pandai dan mampu memimpin serta jahil berorganisasi. Semuanya adalah terhasil daripada kekeliruan terhadap manhaj perjuangan sendiri.

Keempat : Memahami Bia’h (Situasi)

Kebenaran Islam mestilah disampaikan melalui kaedah dan cara yang benar, pula penampilan dan method yang tepat dan sesuai. Perkara ini memerlukan kita memahami bia’h atau realiti situasi yang dihadapi dengan ijtihad yang tepat supaya Islam dapat sampaikan dengan baik ke setiap hati sanubari masyarakat, sementara dalam masa yang sama kita mestilah memelihara prinsip Islam.

Kita mestilah terbuka tetapi jangan hanyut dalam arus massa sebagaimana kita mestilah berprinsip tetapi jangan jumud dalam berfikir dan bertindak. Tidak memahami bia’h menyebabkan kita bertindak salah dengan meletakkan suatu yang benar pada tempat yang salah dan masa yang salah pula.

Kajian terhadap tahap keupayaan minda masyarakat dan tuntutan ummah terhadap kehadiran perjuangan kita serta keperluan jamaah dalam mendepani cabaran masa kini menjadi syarat dan bukti kita memahami bia'h.

Kita tidak boleh syok sendiri dan mementingkan diri serta mencari kepuasan sendiri tanpa memikirkan apakah pendekatan kita sesuai dengan zaman dan method kita diterima masyarakat umum.

Kelima : Memahami Isti’dad (Persediaan)

Allah Taala berfirman :

"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya." - Surah Al Anfaal:60

Kita tidak boleh berjuang semberono tanpa persiapan. Sungguhpun perjuangan ini membawa Islam sebagai dasar perjuangannya, kita tidak diajar menyerah kepada taqdir tanpa usaha gigih untuk membawa Islam kembali ke orbitnya yang mengatasi segala ideology yang dicipta oleh manusia.

Persediaan dan persiapan yang akan dilakukan mestilah pula mengambil kira kekuatan yang ada pada musuh dengan tidak lupa untuk menangani kelemahan yang ada pada kita. Saidina Umar al Khattab menyatakan (maksudnya), "Akan terungkai tambatan Islam serungkai demi serungkai dari leher ummat Islam apabila berleluasa di dalam Islam mereka yang tidak mengetahui sepak terajang jahiliyyah (musuh)."

Persiapan kita mesti mantap terhadap 2 faktor kemenangan, iaitu :

Faktor Pertama | Faktor Penentu iaitu Allah Qadhi Rabbul Jalil

Hubungan kita dengan Allah mestilah akrab guna meraih taufiq dan nusrah (bantuan) buat perjuangan yang kita dokong ini justeru ia lah Tuhan yang akan menentukan kemenangan dan kejayaan kita. Jangan putuskan hubungan antara kita dengan Allah, malah jangan biarkan hubungan kita dengan Allah berlangsung dalam keadaan hambar.

"Wahai orang yang sedang berselimut!"
"Bangunlah pada malam hari kecuali sedikit."
"Iaitu separuh atau kurang sedikit dari itu."
"Atau lebih dari seperdua itu dan bacalah al quran dengan tartil."
"Sesungguhnya kami akan menurunkan perkataan yang berat kepadamu." - Surah al Muzammil:1-5

Faktor Kedua | Faktor-faktor selingan yang membantu

Kita tidak boleh memandang sebelah mata terhadap faktor-faktor ini sekalipun ia hanyalah faktor yang membantu. Faktor ini tergolong dalam ikhtiar yang diwajibkan oleh syara' kepada kita. Faktor ini dalam bentuk dana ekonomi yang kukuh, organisasi dan jentera penggerak yang mantap, anggota yang ramai, pengaruh atau populariti yang luas dan sebagainya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sekularisme dan Umat Islam

TINGGALKAN PERKARA YANG TIDAK BERFAEDAH

Duduk dalam majlis zikir