Analisis: Sinopsis Ringkas Gerakan Pelajar dan Politik
Sinopsis Ringkas Gerakan Pelajar dan Politik
Gerakan Pelajar era 70-an sehingga akhir abad ke-21, banyak tertumpu kepada instittusi pendidikan di Lembah Klang. Tokoh-tokoh gerakan pelajar ini akhirnya membentuk kepimpinan politik selepas dua abad tamatnya pengajian mereka.
Landskap ini dibantu pula dengan perkembangan gerakan kesedaran pelajar di Timur Tengah, Eropah dan Amerika. Graduan-graduan ini apabila bersepadu dalam arus perdana politik Tanah Melayu telah membentuk suasana-suasananya yang tersendiri. Memang tidak dinafikan, gerakan pembaharuan sosio-politik moden banyak digerakkan oleh golongan terpelajar dari lepasan Universiti dan Maktab Perguruan.
Jika zaman sebelum kemerdekaan, Tun Abdul Razak adalah ahli Kelab Fabian di UK. Begitu juga Tun Hussein Onn, Tunku Abdul Rahman yang mempunyai jaringan sosio-politik semenjak di bangku pengajian tinggi. Selepas merdeka, peluang-peluang pendidikan yang masih diteroka di seberang laut termasuk Indonesia menyebabkan pendedahan kesedaran suasana sosio-politik dunia yang agak pantas.
Malah, sekolah-sekolah berasaskan agama dengan sistem Moden seperti Al-Masriah, Al-Mashoor, Maahad Ihya El-Sharif, Al-Junied singapura juga membentuk jaringan kesedaran pembaharuan dalam anak-anak muda yang menerima pelbagai maklumat dari pelbagai sumber pengetahuan. Oleh itu, tidak hairan apabila tokoh-tokoh seperti Budhiman Radhi lepasan Al-Mashoor, Amaluddin Darus, Asri Muda menjadi tokoh-tokoh awal yang menggagaskan idea melalui penulisan-penulisan mereka di dada-dada sebaran awam.
Menjelang 1980-an, generasi kedua pula lahir yang membentuk kepimpinan yang ada sekarang. Maka kita melihat percaturan yang berlaku hari ini, adalah kesan percaturan tokoh-tokoh yang berada di awal 1980-an sehingga akhir 1980-an. Kita melihat tokoh-tokoh pelajar di UM, UKM, UiTM, UPM mewarnai landskap politik tanah air. Ada yang menyertai UMNO dan Barisan Nasional seperti Fuad Zarkashi (YB Dr), Shabery Cheek (YB), Saifuddin Nasution, Saifuddin Abdullah (Datuk), Ibrahim Ali (Datuk) dan lain-lain lagi. Ramai juga menyertai PAS dan komponen parti rakan selepas Reformasi 1998.
Namun, keadaan yang agak unik ialah apa yang berlaku di UM. Di Universiti Malaya ini, lahir satu jalur gerakan yang dikenali kumpulan republik Islam UM. Kumpulan inilah yang membentuk halatuju Persatuan Mahasiswa ISLAM UM (PMIUM) yang akhirnya membentuk satu pemikiran tersendiri. Kedudukan UM yang betul-betul berada di pusat bandaraya menyebabkan mereka mudah menjadi tumpuan. Pergerakan mereka pula kaya dengan sumber-sumber oleh kerana kemudahan yang mudah di capai di sekitar bandaraya Kuala Lumpur. Yang menjadi unik juga, tokoh-tokoh besar IRC juga turut berpusat di UM seperti Ustaz Alias Osman dan rakan-rakannya. UM juga turut menjadi pusat gerakan pelajar yang beraspirasikan falsafah kiri yang dicedok dari Karl Marx, Mao Tse Tung, Che Guevera dan lain-lain.
Malah, kalau dilihat sebahagian besar anggota PasMa, semuanya terbentuk dari jemaah republik ISLAM UM. Ketika akhir 1980-an, tokoh-tokoh PMIUM dan republik UM ini mewarnai kepimpinan Pemuda PAS Malaysia. Krisis-krisis pertembungan yang berlaku dalam kepimpinan pemuda era 1990-an juga turut disumbang oleh mereka-mereka yang punyai jaringan dari semenjak berada di kampus lagi. Tambahan pula apabila menjawat jawatan sebagai MP dan wakil parlimen, capaian jemaah republik ISLAM ini semakin meluas dan membina kelompok yang tersendiri dalam PAS.
Kesannya, apabila berlaku ura-ura angin kemenangan dalam Pakatan Rakyat, mereka inilah yang mula merancang dan menjalankan pelbagai gerak kerja termasuk saraf dan sebagainya untuk menjadikan PAS mengikut haluan pemikiran mereka. Maka tidak hairan apabila tulisan-tulisan di Harakah, The Malaysian Insider dan portal-portal lain tersusun rapi dalam menjayakan propaganda-propaganda persepsi mengikut yang diinginkan.
Belum lagi kita melihat pula aspirasi-aspirasi yang dibawa dari pelajar-pelajar yang pulang dari luar Negara. Pelajar-pelajar berpersatuan di Amerika dan UK dan juga yang datang dari Timur Tengah. Menjelang akhir 1990-an, lahir pula lepasan-lepasan dari Jordan yang menyaingi lepasan-lepasan dari Madinah dan Mesir.
Maka, kalau kita lihat sinopis ini secara ringkas, kita juga boleh merangka dan membaca siapa tokoh yang mewarnai 10 tahun akan datang dan terkemudian dari itu. Kita juga dapat mengenalpasti bagaimana harus menangani masalah-masalah seperti yang diwujudkan oleh aliran republik Islam ini yang semakin kuat dikaitkan dengan penubuhan PasMa di Pustaka Az-Zahra di Kota Bharu.
Saya tidaklah ingin mengupas dengan lebih lebar lagi. Namun, daripada perjalanan sejarah ini, kita boleh melihat punca dan kenapa masalah masih berlaku pada hari ini. Kita melihat yang menjadi kesan utama ialah sifat kekitaan yang agak tinggi mengikut kampus yang mereka terima tarbiyyah sehingga tidak dapat merungkaikan untuk disatukan atas dasar merujuk Al-Quran dan Hadis.
Belajarlah dari sinopsis ringkas ini.
Ahmad Hakimi Othman,
Kuala Selangor.
Kuala Selangor.
Ulasan
Catat Ulasan