Kehidupan Rumah Tangga
Bismillahirrahmanirrahim... Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Allahumma solli 'ala Sayyidina Muhammad..
Alhamdulillah dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kini kita masih lagi dapat menitip dan merasai nikmat Iman, Islam dan nikmat terbesar menjadi ummatnya Baginda Nabi Muhammad ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam. Alhamdulillah kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya, dapat untukku titipkan sedikit perkongsian sebagai tanda mensyukuri nikmat kurniaan Allah Subhanahu wa Ta'ala.
20 Muharam-20 Rejab 1435 Hijrah
Alhamdulillah, hari ini merupakan genap 6 bulan usia rumah tangga yang dibina bersama kekasih dan peneman suka dukaku, Puan Nor Sa'adah Binti Mokter. Alhamdulillah dengan izin-Nya, kami selamat diijab qobulkan pada tanggal 20 Muharam 1435 Hijrah bersamaan 24 November 2013. Sepanjang 6 bulan mengharungi kehidupan berumah tangga ini, walaupun berjauhan dengan isteri, banyak perkara baru yang senantiasa dapat dipelajari daripada isteriku. Setiap hari adalah hari baru dalam kehidupan kita.
Saat selepas selesai diijab qobulkan, tanganku bagaikan terkena renjatan elektrik apabila buat pertama kalinya, kami bersalaman dan isteriku mencium tanganku. Nikmatnya sebuah percintaan yang halal itu umpama nikmatnya kita meneguk air dan mencicip makanan di waktu berbuka puasa setelah seharian berpuasa menahan diri daripada makan dan minum dan segala perkara yang keji dan mungkar.
Pesan buat diriku dan juga sahabat semua, setiap orang itu berbeza keadaannya. Maka, yang akan menyatukan kita ialah sejauh mana ilmu yang ada dalam diri kita dapat memandu kehidupan kita. Cabaran ketika hidup bujang, pasti berlainan dengan kehidupan setelah berumah tangga. Maka letaklah ilmu dan kefahaman di hadapan sebagai memandu kehidupan berumah tangga kita kelak.
Buat isteri tercinta, terima kasih atas kesabaran yang Allah Ta'ala kurniakan dalam dirimu kerana dapat bersabar dengan perangai dan kerenah diriku yang pelbagai ragam. Pesanku kepada rakan-rakan yang bakal mendirikan rumah tangga, dalam kehidupan berumah tangga perlunya sifat SABAR diaplikasikan dalam mengharungi bahtera kehidupan berumah tangga. Sabar dengan pelbagai kerenah dan kehendak isteri. Sifat seorang perempuan pasti sangat berbeza dengan sifat yang ada pada diri lelaki.
Cintai Baginda Nabi
Dalam kehidupan berumah tangga, kita tidak dapat tidak diperintahkan agar menanamkan rasa cinta kepada Baginda Nabi ke dalam diri, isteri dan anak-anak kita.
Imam Ibnu Baththal (wafat 144 Hijrah) dan Imam Qadhi 'Iyadh (wafat 544 Hijrah) mengatakan cinta itu ada tiga:
1. Cinta kerana memuliakan dan menghormati. Contohnya, cinta kepada kedua-dua ibu bapa.
2. Cinta kasih sayang dalam erti kata belas kasihan. Contohnya, cinta kepada anak-anak.
3. Cinta mengharapkan kebaikan. Contohnya, mencintai orang lain secara umum kerana mengharapkan kebaikan.
Cinta Nabi ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam merangkumi ketiga-tiga cinta di atas.
Bukti cinta Nabi juga, kita menjadikan rumah tangga yang dibina sebagai tempat untuk masyarakat mendapatkan khidmat. Itulah yang ditauladankan oleh Baginda Nabi dan juga seluruh ahli keluarga dan keturunan Baginda Nabi Muhammad yang berkhidmat kepada ummat Islam. Maka, kita ini terlebih-lebih lagi memerlukan diri kita berkhidmat kepada ummat Baginda Nabi dan juga menyambung mata rantai dakwah dan perjuangan yang diwarisi oleh para Anbiya wal Mursalin.
Tiada makna kita sendiri menganggap rumah tangga yang dibina itu dipanggil 'Baitul Dakwah' mahupun 'Baitul Haraki' tetapi kehidupan rumah tangga kita sendiri tidak menampakkan maksud yang kita inginkan. Apabila intima' kita kepada Gerakan Islam yang diikat dengan dasar Aqidah Islamiyah, maka itulah tapak asas dan kukuh kepada pembinaan rumah tangga Muslim sebagaimana yang disebut dalam maratibul amal oleh Asy-Syahid Imam Hasan al-Banna Rahimahullah.
Setiap manusia tidak akan dikatakan berjuang melainkan setelah dia melalui fasa 3 kunci iaitu kunci pejabat, kunci rumah dan kunci kereta. Ketiga-tiga kunci ini adalah KPI melihat sejauh mana kita dapat istiqamah dalam Gerakan Islam yang kita dibai'ahkan sehingga ke akhir hayat.
Akhir kata, tiada yang istimewa inginku titipkan melainkan mengharapkan doa daripada kedua ibu bapa dan mentuaku, guru-guru kami, sahabat-sahabat yang mengenali diri kami berdua serta kaum muslimin agar mendoakan kami agar terus istiqamah dengan iman, amal dan juga dakwah serta dikurniakan kejayaan di dunia dan juga di Akhirat.. Allahumma ameen.
Mohon ampun maaf atas segala kata-kata yang mengguris hati mana-mana pihak. Moga sedikit peringatan ini dapat menginsafkan diriku sendiri terutamanya.
Wallahu'alam.
al-Faqir IlaLlah,
Ashaari bin Selamat,
20 Rejab 1435 Hijrah,
Teratak MATIN, Perlis.

Ulasan
Catat Ulasan