Suam Isteri
Assalamualakum wa rahmatullahi wa barakatuh. Selawat dan salam ke atas
Junjungan Mulia Rasulullah ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam, ahli keluarga dan sahabat handai Baginda.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kerana dengan izin dan limpah
kurniaNya, dapatlah saya kembali bertinta sebagai hambaNya. Ya Allah, cepat
sungguh masa itu berlalu. Denyutan jiwa berulangkali bergetar menanti kekuatan
untuk sentiasa berada dalam lingkungan untuk lebih mencintai Mu dan bersedia
untuk berhadapan dengan Mu Ya Allah, Tuhan Yang Esa. Ya Allah, ampunkanlah
segala kekhilafan hambaMu ini :(
Untuk entri kali ini, bertajuk "Kata Lelaki
Wanita Itu Lemah." Entri ini bukanlah bermaksud untuk
merendah-rendahkan kedudukan si adam apabila menjadi pendamping kepada si
hawa... Tetapi sebenarnya penulis teringin benar jika masalah yang pernah
terjadi di sekeliling kehidupan penulis yang berkaitan dengan ketidakseimbangan
dalam rumah tangga diluahkan menerusi bait-bait sajak/syair. Tidak ada niat
untuk menyakiti hati mana-mana pihak tetapi sekadar berkongsi pandangan bagi
menjawab persoalan yang pernah ditimbulkan dari kaum adam sendiri yang
mengatakan kaum hawa ini adalah kaum yang lemah.
Penulis tahu lelaki dan wanita itu sendiri mempunyai
peranannya sesudah melayari bahtera perkahwinan. Keputusan terletak di tangan
kalian, sama ada ingin terus melengkapi bahtera itu dengan ketaqwaan dan
kesabaran agar bahtera itu selamat belayar ataupun sekadar membiarkan bahtera
tersadai di lautan hingga akhirnya karam. Terimalah..
***********************************
Ujar lelaki, wanita itu lemah
Ujar wanita, mereka adalah lembut
Antara lemah Dan lembut.....
Besar perbezaannya
Namun Ada yang tidak rela mengakuinya
Telah ditakdirkan...
Kerana lembut, wanita
Tidak gemar perbalahan..
Kecuali jika terpaksa
Lalu wanita pun diam
Diam seolah-olah menerima...
Dalam diam, wanita gigih melaksanakan kewajipan
Dalam diam, wanita terus terusan bekerja
Di pejabat sebagai kerani... di rumah sebagai suri
Dari sebelum tercalit garis putih di subuh hari
Hingga jarum jam tegak bertindih jari
Lelaki yang mengaku kuat, celik mata sarapan sudah terhidang
Apabila pulang dari pejabat... di kerusi malas longlai terlentang
Isteri dikatakan lemah...bergelut di dapur memasak
Suami yang mengaku gagah...bersantai di hadapan TV tidak bergerak
Selesai memasak wanita menguruskan anak-anak
Menyapu sampah,mengemas rumah yang berselerak
Lelaki keletihan kerana memandu di jalan sesak
Berehat,menonton TV sambil tergelak
Dalam diam wanita dianggap lemah...terus berlumba dengan masa
Memandikan anak, melipat pakaian dan membasuh baju
Kakitangan semua digerakkan dengan laju
Menyiram pohon-pohon bunga yang mulai layu
Sebelum solat Magrib untuk sujud...
Menyembah yang Satu
Makanan dihidang selepas solat
Selesai kerja rumah,anak-anak diajar mengaji
Sedang suami tersandar semula seperti tadi
Sebagai isteri kesetiaan wanita sentiasa diuji
Dalam diam semua tugas rumah segera dibereskan
Lelaki terpelajar celik hati... Ingin menghapuskan diskriminasi
Lantang membela nasib wanita....
Memberi kesedaran supaya segera bangkit
Meminta lelaki jangan lagi memperlakukan wanita mengikut adab tradisi
Hukum agama telah terpapar
Tugas suami mengemas rumah,menjaga anak
Membasuh pakaian,menyediakan makanan
Jika suami tidak terdaya melakukannya
Seorang pembantu wajar disediakan
Lelaki yang hanyut dalam keasyikan
Tidak mampu menerima perubahan
Rela bertahan bagaimana jua
Asalkan cara hidup tradisi terus dinikmati
Alangkah indah hidup bersuami isteri
Jika kalian saling lengkap melengkapi
Tidak mudah berkecil hati apabila ditegur, dinasihati mahupun sehingga
didustai
Kerana jiwa dan hati sentiasa berusaha untuk tetap redha
dengan segala ketentuan Ilahi
Lantas sesuatu yang akan kau miliki selepas kekecewaan itu adalah
ketenangan yang sentiasa mengisi kesedihan yang menjangkiti sanubari
Engkau tidak akan membiarkan ia terus membengkak menutup hati
tetapi kau akan berusaha untuk bangkit taat sebagai hambaNya
*Nota cinta Ilahi ini akan tetap berpena selagi diri ini
hidup sebagai hambaNya. Allah... Tuntunlah hamba yang lemah ini*
Ummu Raudah

Ulasan
Catat Ulasan