Perkahwinan HANZALAH BIN AMIR ♥ JAMILAH BINTI UBAY
HANZALAH BIN AMIR ♥
JAMILAH BINTI UBAY
Perkahwinan Saidina Hanzalah bin Abu Amir dengan sepupunya, Jamilah binti Ubay sudah
siap diatur. Kebetulan pula, hari berlangsungnya perkahwinan Hanzalah
bertembung dengan hari peperangan tentera Islam menentang musuh di Bukit Uhud.
Hanzalah bin Abu Amir mendekati Rasulullah ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam, “Saya bercadang menangguhkan
sahaja perkahwinan saya malam nanti”. Pada masa itu, Nabi Muhammad ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam dan
tentera-tentera Islam di kota Madinah sibuk membuat persiapan akhir untuk
berperang. “Tidak mengapa, teruskan sahaja perkahwinan ini”, balas Rasulullah
ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam. “Tetapi saya sungguh berhajat untuk menyertainya”, Hanzalah bertegas.
Rasulullah saw berkeras supaya Hanzalah meneruskan perkahwinannya dan memberi
cadangan supaya Hanzalah menyusuli tentera Islam di Bukit Uhud pada keesokan
hari, setelah selesai upacara perkahwinan.
Hanzalah mendiamkan diri. Ada benarnya saranan Nabi Muhammad itu, perkahwinan
ini bukan sahaja melibatkan dirinya bahkan bakal isterinya juga. Pada malam
Jumaat yang hening, perkahwinan antara Hanzalah bin Abu Amir dan Jamilah binti
Ubay dilangsungkan secara sederhana. Suasana yang hening dan sunyi itu tidak
tenang hingga ke pagi. Kota Madinah tiba-tiba dikejutkan dengan paluan gendang
yang bertubi-tubi. Paluan gendang mengejutkan para pejuang bersama laungan
menyebarkan berita.
“Bersegeralah! Kita bersegera perangi musuh Allah.”
“Berkumpul segera! Keluarlah! Rebutlah syurga Allah!”
“Perang akan bermula!”
Pukulan gendang dan laungan jihad itu mengejutkan pasangan pengantin yang baru
sahaja dinikahkan. Hanzalah bingkas bangun dari tempat tidurnya, “Saya harus
menyertai mereka”. “Bukankah malam ini malam perkahwinan kita dan Nabi Muhammad
mengizinkan kanda berangkat esok?” Soal isterinya. Hanzalah menjawab tegas,
“Saya bukanlah orang yang suka memberi alasan bagi merebut syurga Allah”.
Jamilah terdiam dan hanya mampu memerhatikan suaminya bersiap memakai pakaian
perang dan menyelitkan pedang ke pinggangnya. Hanzalah menoleh ke arah
isterinya, “Janganlah bersedih, doakan pemergian saya, semoga saya beroleh
kemenangan”. Suami isteri itu berpelukan dan bersalaman. Berat hati Jamilah
melepaskan lelaki yang baru sahaja menjadi suaminya ke medan perang. Namun,
Jamilah menguatkan hatinya dan melepaskannya dengan penuh redha. “Saya
mendoakan kanda beroleh kemenangan.”
Hanzalah melompat ke atas kudanya dan terus memecut tanpa
menoleh ke belakang. Akhirnya, dia berjaya bergabung dengan tentera Islam yang
tiba lebih awal daripadanya.
Di medan perang, jumlah tentera musuh adalah seramai tiga ribu orang yang
lengkap bersenjata manakala jumlah tentera Islam hanyalah seramai seribu orang.
Perbezaan itu tidak menggugat kewibawaan tentera Islam termasuklah Hanzalah.
Dia menghayun pedangnya menebas leher-leher musuh yang menghampiri dan apabila
dia terpandang Abu Sufyan, panglima tentera Quraisy, Hanzalah menerkam Abu
Sufyan umpama singa lapar. Mereka berlawan pedang dan bergelut. Akhirnya Abu
Sufyan tersungkur ke tanah. Tatkala Hanzalah mengangkat pedang mahu menebas
leher Abu Sufyan, dengan kuat panglima tentera Quraisy itu menjerit menarik
perhatian tentera Quraisy. Tentera-tentera Quraisy menyerbu Hanzalah dan
Hanzalah tewas, rebah ke bumi.
Sebaik sahaja perang tamat, tentera Islam yang tercedera diberikan rawatan.
Mayat-mayat yang bergelimpangan dikenalpasti dan nama-nama mereka, tujuh puluh
orang kesemuanya dicatat. Sedang Nabi Muhammad yang tercedera dan patah
beberapa batang giginya diberi rawatan, beliau mengatakan sesuatu yang menyentak
kalbu, “Saya terlihat antara langit dan bumi, para malaikat memandikan mayat
Hanzalah dengan air daripada awan yang diisikan ke dalam bekas perak”. Abu Said
Saidi, antara tentera yang berada dekat dengan Nabi Muhammad bingkas mencari
jenazah Hanzalah. “Benar kata-kata Nabi Muhammad. Rambutnya masih basah bekas
dimandikan!” Abu Said Saidi menyaksikan ketenangan wajah Hanzalah walaupun
beliau cedera parah di seluruh badannya. Rambutnya basah dan titisan air
mengalir di hujung rambutnya sedang ketika itu matahari terik memancar.
---------------------------------------------------------------------
Ikatan cinta kalian semakin menjadi sebutan. Ramai yang mengikuti jejak langkah
kalian.
Dua hari lepas, seorang adik bertanya kepada saya. "Akak, saya ada soalan
untuk akak. saya mahu akak jawab dengan jujur. Sekiranya akak baru kahwin dalam
satu setengah tahun dan punya seorang anak yang masih kecil, apakah akak akan
benarkan suami akak pergi berjihad di medan apabila dipanggil untuk
berjihad".
Saya sebak. Tidak tertahan rasa hati. Saya diam dan mengumpul kekuatan untuk
menjawab. "Dik, sudah lama akak tunggu orang tanya akak soalan nie. Hatta
ketika itu akak sedang mengandung atau punya 4 orang anak, akak akan benarkan
suami akak pergi. Jika akak punya anak yang mampu mengangkat senjata, akak akan
turut minta dia pergi."
Wahai muslimat. Usahlah asyik dengan mainan rasa hati, "wahai bakal
imamku, wahai bakal suamiku". Persiapkanlah diri kalian semampunya kerana
dirimu mampu melahirkan tentera-tentera Islam untuk ummah.
Fikir dan bertindak, biar tembus untuk 20 tahun akan datang.
copy paste dr FB Generasi Muda Berdakwah

Ulasan
Catat Ulasan