Kisah Tasmi' (bacaan Ruku')




Rasanya kita semua sudah sedia maklum akan kisah Sayyidina Umar Radhiyallahu 'Aanhu dengan asal muasal pensyariatan azan bagi sholat fardhu yang lima. Kali ini dinukilkan pula kisah hubungan pensyariatan ucapan tasmi' dengan seorang lagi tokoh sahabat yang paling utama, iaitu Sayyidina Abu Bakar Radhiyallahu 'Aanhu  Kisah ini dinukilkan dari karya ulama besar Syaikh 'Abdullah asy-Syarqawi Rahimahullah, ulama bermazhab Syafie yang dilahirkan pada tahun 1150H dan wafat sekitar tahun 1226H. Beliau adalah Syaikhul Azhar yang ke-12. Selain kealimannya, beliau juga terkenal dengan keberaniannya sebagai seorang mujahid yang memimpin jihad menentang penjajahan Perancis ke atas bumi Mesir. 

Syaikh asy-Syarqawi Rahimahullah dalam "Hasyiah asy-Syarqawi 'ala Tuhfatith Thullaab" pada halaman 205 karya tersebut, Syaikh Syarqawi Rahimahullah meriwayatkan sebagai berikut:-

Bahawa hikmah pada pensyariatan ucapan tasmi' ini (yakni ucapan sami 'aAllahu li man hamidah) adalah kerana Sayyidina Abu Bakar Radhiyallahu 'Aanhu yang tidak pernah sekali pun luput sholat berjemaah berimamkan Junjungan Nabi ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam telah terlewat pada satu hari, ketika waktu sholat Asar, untuk hadir ke masjid. Sayyidina Abu Bakar mengira bahawa dia akan terluput berjemaah dengan Rasulullah ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam  Maka gundahlah hatinya lalu dengan berlari-lari anak beliau bergegas menuju ke masjid. Peristiwa ini berlaku sebelum datang tegahan untuk berlari-lari anak untuk pergi ke masjid. Setiba di masjid, Sayyidina Abu Bakar mendapati bahawa Junjungan Rasulullah ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam sedang bertakbir untuk rukuk. Lalu Sayyidina Abu Bakar mengucapkan hamdalah: "Alhamdulillah", lalu bertakbir dan mengikut Junjungan ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam rukuk. 

Maka turunlah malaikat Jibril 'Alaihis Salam kepada Junjungan Nabi ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam yang sedang rukuk seraya berkata: "Wahai Muhammad, Allah telah mendengar orang yang memujiNya, maka ucapkanlah "Sami'a Allahu liman hamidah." Lalu Junjungan Nabi ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam ketika bangkit dari rukuk baginda mengucapkan ucapan tasmi` tersebut. Sebelum peristiwa ini, adalah Junjungan Nabi ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam bertakbir sebelum rukuk dan bertakbir juga ketika bangkit dari rukuk. Oleh itu, pertukaran daripada takbir kepada tasmi` ketika bangkit dari rukuk menjadi sunnah sejak peristiwa tersebut berkat perbuatan Sayyidina Abu Bakar Radhiyallahu 'Aanhu.

Jika kita telusuri sirah Junjungan Nabi ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam dan para sabahat baginda, nescaya kita dapati banyak lagi cerita di mana amalan atau perbuatan yang dilakukan oleh seseorang sahabat dipandang baik oleh Junjungan Nabi ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam  bahkan ianya menjadi sebab bagi melahirkan satu sunnah. Di antara kisah-kisah tersebut adalah seperti kisah sholat sunnat wudhu yang dilakukan oleh Sayyidina Bilal Radhiyallahu 'Aanhu  kisah sholat sunat sebelum dibunuh yang dilakukan oleh Sayyidina Khubaib Radhiyallahu 'Aanhu dan kisah kelakuan masbuk yang dilakukan oleh Sayyidina Mu'adz Radhiyallahu 'Aanhu  Sesungguhnya Junjungan Nabi ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam adalah makhluk Allah yang paling mulia dan bukanlah akhlak baginda untuk dengan sewenang-wenangnya menyesatkan setiap perbuatan yang baik yang dilakukan oleh seseorang. 

Dalam kisah-kisah tersebut tak dak pulak riwayat yang Junjungan Nabi ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam bersabda kepada mereka, terjemah dalam loghat Kedah: "Awat hangpa buat lagu tu? Hangpa nak buat bid'ah kaaa?"

Allahumma sholli wa sallim 'alaihi wa 'ala aalihi wa ash-habih.


http://bahrusshofa.blogspot.com/2013/06/kisah-tasmi.html

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sekularisme dan Umat Islam

TINGGALKAN PERKARA YANG TIDAK BERFAEDAH

Black Zetsu : Umpama iblis yang menyesatkan