Kisah Tak Kenang Budi
Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Ramai yang terkejut dengan sikap tidak mengenang budi
sesetengah pihak, walhal perkara ini ada disebut di dalam al-Quran:
“Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah
ia ditimpa Kami (dalam segala keadaan), sama ada ia sedang berbaring atau duduk
ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus
membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon
hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya (sebagaimana ia memandang eloknya
bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau
apa yang mereka lakukan.” (Surah Yunus : ayat 12)
Ketika beramal, usahlah mengharapkan orang yang dibantu kita
akan mengenang budi atau berterima kasih kepada kita.
Semasa beramal, buangkan harapan bahawa orang yang menerima
bantuan tersebut akan mengingati kita dan mengenang budi, mengingati sejarah bahawa
kita pernah membantunya.
Jangan sesekali mengharapkan balasan daripada orang yang
dibantu, dalam apa jua keadaan - terutamanya dalam keadaan kita memerlukan
pertolongan semula.
Ingatlah beramal dan berbuat baik adalah untuk mendapat
keredhaan Allah. Asalkan kita sentiasa beringat bahawa beramal adalah untuk
mendapat keredhaan Allah, orang yang tidak mengenang budi, tidak membalas atau
membalas dengan nilai jahat tidak akan dapat melukai hati kita.
Dalam al-Quran juga disebutkan bahawa jangan mengharapkan
apa-apa balasan daripada orang yang dibantu.
“(Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati):
"Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata;
kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih." (Surah al-Insan: ayat 9)
Ingatlah juga, yang memberi adalah lebih baik daripada yang
menerima.
Jika anda memahami bahawa semua makhluk adalah ciptaan
Allah, maka anda akan faham bahawa Allah yang akan menilai perbuatan kita dalam
membantu makhluk ciptaannya dan bukan orang yang kita bantu.
Jangan berasa susah hati sekiranya tongkat yang diberi sebagai
bantuan kepada seseorang akhirnya digunakan untuk memukul kita.
Apa yang nak disedihkan, sedangkan manusia sendiri ramai
yang tidak tahu bersyukur terhadap Allah, jadi apakah layanan balasan yang kita
nak harapkan? Sekadar renungan.
SENYUM.
Ulasan
Catat Ulasan