Menyambut Maulidur Rasul
بسم الله الرّحمن الرّحيم
اللهمّ صلّى على سيّدنا محمّد
Segala puji hanya layak bagi Allah Ta'ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia Sayyidul Kaunin ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam. Sempena Maulidun Nabawi, tanggal 12 Rabi'ul Anwar 1434 Hijriyah, sedikit perkongsian yang ingin al-faqir sampaikan hasil catatan kalam-kalam Guru Mulia Tuan Guru Baba Khairul Anuar Syafi'e Hafizohullahu Ta'ala di Himpunan Cinta Rasul di MATIN.
1) Majlis Maulidur Rasul yang diadakan sempena memperingati kelahiran Junjungan Mulia Habibil Musthofa ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam, disebut para Ulama'-ulama' kita sebagai مِنْ أَعْظَمِ قُرُبَتْ. Kita memperingati Maulidun Nabi adalah sebesar-besar taat yang boleh mendekatkan serta menyampaikan kita kepada Allah Ta'ala.
2) Menyambut Maulidun Nabi adalah satu perkara terpenting di dalam agama. Dalam Hadis, Sayyiduna Rasulillah ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam bersabda (yang bermaksud):
"Sesiapa antara kamu yang membesarkan maulid aku (hari kelahiran Nabi), maka akulah yang berhak memberi Syafa'at kepadanya di Akhirat kelak. Sesiapa yang mengeluarkan satu dirham menyambut Maulidku seolah-olah ia membelanjakan sebukit emas di jalan fi Sabilillah."
Perkataan empat orang Sahabat berkenaan menyambut Maulid Nabi
Dalam hadis yang panjang, Baginda Nabi berpesan kepada ummat agar mengikuti Sunnah Khulafa' Ar-Rasyidin yang empat. Mari kita perhatikan apa kata Khalifah Agung yang empat yang diiktiraf oleh Baginda Nabi ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam.
1) Kata Saidina Abu Bakar As-Siddiq Radhiyallahu 'Anhu:
"Sesiapa yang membelanjakan satu dirham untuk menyambut Maulid Nabi, maka ia akan menjadi rakan karib (rapat) Baginda Nabi ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam di dalam Syurga."
Orang yang membelanjakan hartanya untuk menyambut Maulid Nabi maka ia akan menjadi pendamping di sisi Nabi ketika di dalam Syurga kelak.
2) Kata Amirul Mukminin Saidina Umar Al-Khattab Radhiyallahu 'Anhu:
"Sesiapa yang memuliakan/membesarkan Maulid Nabi maka ia telah menghidupkan Islam."
Merayakan Maulid Nabi bermakna kita telah memartabatkan Islam.
3) Kata Saidina Usman bin Affan Radhiyallahu 'Anhu:
"Sesiapa yang membelanjakan wang satu dirham untuk merayakan Maulid Nabi seolah-olah pahala ia menghadiri peperangan Hunain dan Badar."
4) Kata Saidina Ali Karamallahu Wajhah Radhiyallahu 'Anhu 'Alaihis Salam:
"Sesiapa yang memuliakan Maulid Nabi, tidak akan mati melainkan mati dalam Iman."
Iman adalah tiket atau syarat untuk kita masuk ke Syurga.
Pendapat Ulama' mengenai Maulid Nabi
Berkata Imam Asy-Syafi'e Radhiyallahu 'Anhu:
"Sesiapa yang mengumpulkan manusia untuk menyambut Maulid Nabi, menyediakan makanan dan berbuat ihsan di dalam majlis Maulid Nabi, Allah Ta'ala akan mengumpulkan di Mahsyar kelak dengan para Siddiqin, para Syuhada' dan para Solihin dan akan berada di dalam Syurga An-Na'im."
Berkata Imam tasawwuf, Imam Sirri As-Sakhati Radhiyallahu 'Anhu:
"Sesiapa memasang niat untuk menuju ke suatu tempat yang dibaca padanya Maulid Nabi itu, Allah Ta'ala akan berikan kepadanya satu Taman-taman Syurga."
Berkata Abuya As-Sayyid Prof Dr Muhammad 'Alawi Al-Maliki Al-Hasani Rahimahullah di dalam kitabnya:
"Kerohanian Nabi kita Muhammad ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam hadir di dalam semua majlis ilmu/kebaikan/zikir."
Roh Baginda Nabi ini adalah yang disebut oleh para Ulama' sebagai 'Rahsia yang berjalan di dalam dunia.' Apabila kita menyambut Maulid Nabi, Allah akan memenuhkan hati kita untuk membesarkan Nabi Muhammad ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam.
Berkata Ulama', "Dengan mengagungkan Nabi Muhammad ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam akan menjadi wasilah kita mengagungkan syariat Allah. Membesarkan syariat Nabi Muhammad akan menjadi wasilah kita beramal dengan syariat Nabi. Beramal dengan syariat Nabi akan mendapat keuntungan dan kebahagiaan selama-lamanya."
Berkata Saidina Umar Al-Khattab yang digelar "Bayang-bayang Nabi" kerana senantiasa berada di sisi Nabi ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam di hadapan Baginda Nabi:
"Demi Allah wahai Rasulullah, engkau tidak makan, tidak minum, tidak berkahwin melainkan kerana kami kerana hendak mensyariatkan kami."
Tidaklah segala apa yang dilakukan Baginda Nabi Muhammad melainkan semuanya adalah kerana hendak menunjukkan syariat yang dibawa Baginda Nabi kepada ummatnya.
Berkata Guru Kami Hafizohullah:
"Sewaktu saya mengaji sementara di Selatan Thailand (Pattani), majlis Maulid Nabi bukan setakat diadakan pada bulan Rabi'ul Anwar bahkan diadakan tiap-tiap hari di setiap rumah yang ada sehingga ke akhir bulan Rabi'ul Akhir."
Demikianlah sedikit catatan al-faqir. Moga mampu memberi manfaat kepada diri ini khususnya dan juga umat Islam amnya.
"Bukti kecintaan kepada Baginda Nabi ialah dengan bersama perjuangan Nabi dan menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar dan jangan tinggal shalawat. Orang yang pernah mimpi berjumpa Nabi maka ia telah mendapat mursyid (pembimbing di jalan yang lurus) yang sebenar."
[Ustaz Shahrizan Hazime, Naib Mudir Darul Hadis]
"Bukti kecintaan kepada Baginda Nabi ialah dengan bersama perjuangan Nabi dan menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar dan jangan tinggal shalawat. Orang yang pernah mimpi berjumpa Nabi maka ia telah mendapat mursyid (pembimbing di jalan yang lurus) yang sebenar."
[Ustaz Shahrizan Hazime, Naib Mudir Darul Hadis]
Salam Maulidur Rasul ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam 1434 Hijriyah.
al-faqir ilaLlah,
Ibnu Selanjuuri,
Khadim al-'Ilm wal Ulama'.
Ma'had Tahfiz Al-Quran Al-Imam An-Nawawi (MATIN).
12 Rabiu'l Anwar 1434 Hijriyah bersamaan 24 Januari 2013.


Ulasan
Catat Ulasan