Menulis, Kemahiran Yang Tidak Dapat


Menulis, Kemahiran Yang Tidak Dapat Tidak

Mungkin pada sesetengah daripada kita, belajar menulis itu sesuatu yang boleh dipilih samada mahu atau tidak, minat atau tidak dan berpeluang atau sebaliknya. Penulisan juga menjadi bidang yang kecil-kecil. Ibarat sebuah pokok, penulisan sering dianggap hanya sebagai ranting yang paling hujung, bersifat rapuh dan mudah terselindung di balik daun.

Itulah jenayah dalam kehidupan yang sering menjadikan manusia tetap tidak boleh berganjak dari zon selesa kehidupannya. Manusia sering inginkan kehidupan berdasarkan fikirnya sahaja. Apabila datang perkara-perkara yang asing daripada lapangan fikiran manusia, manusia paling suka untuk menidakkan dan menyahkannya daripada menerimanya. Malah manusia akan menghukum ia sebagai hukuman yang sungguh beremosi dan tidak masuk akal.

Semasa para sahabat membuat keputusan untuk membukukan Al-Quran di zaman Khalifah Sayyidina Uthman Al-Affan Radhiyallahu 'Anhu, begitu ramai sahabat-sahabat lain yang menikai dan menyatakan bahawa mereka tidak setuju atas cadangan yang pada mereka dianggap asing atau bid’ah dan menyanggah kemuliaan al-Quran itu sendiri.

Percayalah! Jika Al-Quran tidak ditulis semula dan kemudiannya dibukukan, kita yang hidup di era ini kemungkinan besar tidak berpeluang menatap al-Quran versi asal yang asli bahasanya dan susn atur hurufnya.

Sejak dahulu hingga kini, dunia dihujani ratusan mazhab yang pelbagai. Namun sehingga hari ini, hanya empat mazhab yang popular diaplikasikan oleh umat manusia. Sebabnya mudah sahaja, kerana empat mazhab itu ditulis dan disambung tulisannya oleh generasi demi generasi.

Sekali lagi, penulisan merupakan kepentingan yang sungguh tiada taranya.

Bukan Pilihan, Samada Kemahuan Atau Keperluan

Buat aktivis yang mencintai dunia dakwah, mereka perlu menganggap dunia penulisan sebagai suatu kemahiran yang tidak dapat tidak mesti dikuasai. Ini kerana penulisan menjadi salah satu cabang wasilah dakwah yang sangat efektif dan dominan. Maka penulisan ialah satu keperluan.

Namun bagaimana mereka bertindak atas anggapan bahawa penulisan itu suatu keperluan? Mereka tetap tidak mahu memulakan penulisan dengan baik bahkan mereka mungkin ada yang menghancurkan kesucian penulisan itu sendiri. Aktivis dakwah barangkali bukan tidak menulis, tetapi menulis dengan penulisan yang sangat tidak matang dan merosakkan budaya. Sebagai contoh, lihatlah penulisan-penulisan para aktivis dakwah di laman-laman sosial seperti Facebook, ianya jelas menunjukkan ketidakseriusan mereka terhadap penulisan dengan kegagalan mengawal bahasa yang dieja penuh perkataannya, disusun baik atur hurufnya dan dibentuk murni gaya bahasanya.

Mereka terkadang-kadang terikut dengan budaya remaja ‘abnormal’ yang mengubah bahasa yang sememangnya elok, menjadi cukup parah dengan penambahan imbuhan pelik seperti ‘eww’, ‘terrr’ dan sebagainya. Dengan alasan bahawa mereka ingin menjadi mesra dengan mad’u, tetapi pada satu sudut pandang yang lebih luas dan utama, mereka gagal menjaga sikap profesionalisme di dalam menutur dan menulis.

Al-Quran sendiri ditulis dengan ejaan yang penuh. Nabi Muhammad ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam sendiri bertutur dengan alunan bahasa yang penuh dan indah. Sedangkan kita bertutur dan menulis dalam bahasa yang langsung tidak endah, malah tidak berperaturan pula. Itu belum lagi kita bercakap tentang bahasa yang baik seperti seruan hikmah wal mauizah hasanah di dalam dunia dakwah.

Kelengkapan dakwah dan agama itu sendiri tidak tercapai penyampaiannya sekiranya kegagalan besar ini kita ulangkan. Penulisan perlu ditukang dengan baik. Bukan pilihan, bukan cabang, tetapi suatu segenap ilmu yang mesti dihadami seperti mana kita menganggap Fiqh tanpa Usul Fiqh tiada guna, begitulah dakwah tanpa penulisan apa ertinya.

Mulakan Di Mana Sahaja

Mudah sahaja untuk kita memulakan arena penulisan untuk melengkapkan dunia dakwah. Mulakan di mana sahaja kita punya dan ada. Formula yang paling mudah ialah mulakan dengan Facebook. Kita perlu mulakan dengan mengeja perkataan dengan huruf yang penuh. Kita mula dengan susunan huruf dan perkataan yang murni, mesra dan mengikuti peraturan Bahasa Melayu Tinggi.

Apa yang kita tulis dengan berperaturan dan tersusun, ia bakal menjadi buku pada masa hadapan. Mana mungkin kita membukukan tulisan yang singkat, tidak tersusun dan tidak berperaturan.

Menulis dengan harapan supaya ia dibaca. Setelah dibaca, dengan harapan supaya pembaca menjadi dekat dengan Allah 'Azza Wa Jalla dan mula tertambah iman mereka. Ingat, satu saja matlamat umum penulisan iaitu menjadikan manusia dekat dengan Tuhan mereka.

Mulakan dengan menulis artikel ringkas yang cuma berjumlah tidak lebih 500 patah perkataan dan memakan sehelai sahaja mukasurat. Mulakan dengan pengenalan tajuk berdasarkan mesej yang kita ingin sampaikan. Jadikan subjek penulisan itu satu sahaja. Jangan lebih. Kalau mahu menulis tentang dakwah, ia terlalu umum. Kecilkan skopnya dengan menulis tentang ‘Dakwah Dengan Media Internet’, ‘Dakwah Dengan Mesej Telefon Bimbit’ atau sebagainya. Ini penting supaya kita tidak melencong jauh dari tajuk dan isi asal.

Itulah serba sedikit perkongsian dari saya untuk mereka yang menganggap penulisan sangat penting. Tiada istilah dan alasan lagi. Mulakan saat ini. Buka Facebook dan mula menulis sesuatu yang baik tetapi pada bahasa yang berperaturan.

Kekalkan usaha dakwah kita dengan menulis.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sekularisme dan Umat Islam

TINGGALKAN PERKARA YANG TIDAK BERFAEDAH

Black Zetsu : Umpama iblis yang menyesatkan