Muhasabah: Pecutan Terakhir Ramadhan 1437H


Bismillahirrahmanirrahim... Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad...

Segala pujia hanyasanya layak dipanjatkan untuk Allah Yang Maha Esa. Sudah lama tidak meninta di laman ini yang semakin lama semakin berhabuk nampaknya. Di sebalik kesibukan rutin seharian, menyebabkan masa untuk menghadap dan meninta sesuatu di laman ini menjadi terhad. 

Alhamdulillah, saat ketika ini telah masuk malam ke-24 bulan Ramadhan. Kini telah pun berada dalam fasa ketiga dan terakhir di dalam bulan Ramadhan iaitu fasa 'Pembebasan Daripada Api Neraka' sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Nabi ShaLlahu 'Alaihi wa Sallam. Maka, sayugianya adalah sangat digalakkan kepada kita untuk sentiasa bermuhasabah berkenaan amalan seharian kita sepanjang kita melalui madrasah tarbiyah Ramadhan ini. Meminjam kata-kata Amirul Mukminin Saidina Umar al-Khattab Radhiyallahu Ta'ala 'Anhu: 'Hisablah diri kamu (ketika di dunia ini) sebelum kamu dihisab di hari Penghisaban (iaitu di Akhirat) kelak."

Ramadhan Bulan Al-Quran

Di dalam surah Al-Baqarah, Allah Subahanahu wa Ta'ala berfirman (yang bermaksud):
"Pada bulan Ramadhan itu diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk kepada sekalian manusia dan menjadi pembeza antara haq dan batil." 

Apabila disebutkan bulan Ramadhan, selain daripada ibadah Puasa itu sendiri sebagai 'core-bussiness' kita, kita juga jangan melupakan tentang Al-Quranul Kareem yang telah diturunkan Allah Subhanahu wa Ta'ala ke Baitul 'Izzah pada malam Al-Qadr. Kemudian Al-Quran diturunkan ke langit dunia kepada Baginda Nabi Muhammad ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam melalui perantaraan malaikat Saidina Jibril 'Alaihissalam secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun. Perlu untuk kita renungkan dan menginsafi peranan Al-Quran yang diturunkan kepada ummat Nabi Muhammad ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam.

Di dalam Al-Quranul Kareem, Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan berkenaan sifat Al-Quran itu sendiri yang diutuskan kepada umaat manusia yang berperanan sebagai 'Petunjuk untuk sekalian ummat manusia' dan sebagai 'Pembeza antara haq dan batil'. Maka, bila berada di dalam bulan Ramadhan ini yang turun digelar Syahrul Quran (Bulan Al-Quran), sejauh mana kita mendampingi Al-Quran itu sendiri dalam rutin seharian kita. Sejauh mana kita membaca dan mentadabburnya kalau bukan di dalam bulan Ramadhan ini.

Maka, suka untuk saya menyeru diri saya dan teman-teman semua agar kita bermuhasabah kembali diri kita bagaimana hubungan kita dengan Al-Quran. Takut-takut, apabila habisnya Ramadhan, maka Al-Quran yang indah dan mahal harganya yang berada di dalam rumah kita, kembali menjadi perhiasan dan terbiar di rak-rak buku kita serta dibiarkan berhabuk tanpa diusik.

Melaksanakan Isi Kandungan Al-Quran

Di dalam kita menempuh bulan Ramadhan ini juga, perlu juga sama-sama kita bermuhasabah sejauh mana Al-Quran yang menjadi mukjizat agung Nabi Muhammad ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam telah kita praktikalkan di dalam kehidupan kita. Sejauh mana Al-Quran telah dipraktikkan di dalam sistem perundangan negara kita. Ini semua adalah sesuatu yang jauh menyimpang daripada tujuan Al-Quran itu sendiri diutuskan. Sayugianya, bulan Ramadhan yang mulia ini dijadikan oleh ummat Islam sebagai 'catalyst' unutk menanam keyakinan akan sistem-sistem perundangan serta hukum-hakam yang terdapat di dalam Al-Quran agar dapat dikanunkan dan digazetkan di dalam sistem perundangan negara kita. Setidak-tidaknya, di peringkat Mahkamah Syariah yang khusus untuk orang Islam sahaja. 

Yakinlah dengan Al-Quran kerana ia menjadi petunjuk dan pedoman dalam kehidupan seharian kita yang beriman. Ibarat seseorang yang sedang bermusafir pada waktu malam, maka ia menjadikan bintang-bintang ciptaan Allah Subhanahu wa Ta'ala yang terbentang indah di langit sebagai petunjuk untuk mencari arah tujuan. Maka, begitulah jua kita yang diumpamakan sebagai seorang yang sedang bermusafir di dunia ini, maka jadikanlah Al-Quran sebagai pedoman petunjuk yang memandu perjalanan kehidupan kita di dunia ini dalam menuju sebuah perjalanan yang abadi di Akhirat kelak nanti.

Penutup

Menutup ruang kolum kali ini, suka untuk saya menyeru diri saya sendiri dan rakan-rakan serta ummat Islam yang ada, agar kita berlumba-lumba mengejar tawaran 'mega sale' yang ditawarkan Allah Subhanahu wa Ta'ala di dalam saki-baki umur kita di dalam Ramadhan kali ini. Kejarlah peluang yang ada sebagaimana kita berpusu-pusu menuju ke pusat membeli-belah yang menawarkan harga diskaun sehingga 50% dan sebagainya agar ia menjadi bekalan untuk kita menempuh cabaran di 11 bulan yang akan datang. Hidupkanlah malam-malam Ramadhan dengan amal ibadat agar menjadi bekalan yang utuh buat diri kita. 

Saki-baki yang ada ini juga, bersungguh-sungguhlah kita sebagaimana yang ditunjukkan oleh Baginda Nabi Muhammad ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam apabila memasuki fasa malam 10 terakhir bulan Ramadhan, Nabi mengikat ketat kainnya. Hal ini ingin menggambarkan bahawa Baginda Nabi bersungguh-sungguh beribadat pada waktu malam 10 terakhir Ramadhan. Bukan sekadar itu, bahkan Baginda Nabi menunujukkan contoh dengan mengejutkan ahli keluarganya agar menghidupkan malam-malam akhir Ramadhan dengan beribadat kepada Allah. 

Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad ShallaLlahu 'Alaihi wa Sallam bersabda (yang bermaksud): "Barangsiapa yang mendirikan (malam-malam) Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan (mengharapkan pahala daripada Allah), maka akan diampunkan dosa-dosanya setahun yang lalu."

Moga-moga kita tetap terus beristiqamah beribadat kepada-Nya bukan hanya sekadar di dalam bulan Ramadhan bahkan sehingga kita dipanggil menghadap-Nya serta dimasukkan ke dalam Syurga-Nya... Ameen...

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala (yang bermaksud): 
"Barangsiapa yang dihindarkan daripada api Neraka, dan dimasukkan ke dalam Syurga, maka itulah kejayaan yang sebenar-benarnya."

Sekian, wassalam.

Abu Sa'id Ramadhan,
24 Ramadhan 1437H,
Kg Medan, Batu 9, TPG.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sekularisme dan Umat Islam

TINGGALKAN PERKARA YANG TIDAK BERFAEDAH

Duduk dalam majlis zikir