Sifat dan perjuangan Jamaah Islam
Jamaah Islam mestilah mempunyai sifat
takwa kepada Allah dan menggerakkan agenda dakwah dengan melaksanakan
amar makruf nahi munkar, demikian menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan
Guru Abdul Hadi Awang.
Jelas beliau, seruan kebajikan oleh
Jamaah Islam adalah melaksanakan seluruh ajaran Islam melibatkan
hubungan diri manusia, keluarga dan masyarakat, negara dan seluruh alam
dengan Allah SWT.
“Kalau ada kumpulan Islam yang bergerak
dalam satu bidang sahaja. Buat pendidikan, atau ekonomi ataupun politik
sahaja, dakwah sahaja, mengajak orang masuk Islam, lepas itu diam. Itu
tak memenuhi ciri kepada Jamaah Islam.
“Kena Islam kesemuanya, jangan
sebahagian. Jangan dikerat-kerat. Ambil semuanya yang diajar oleh
al-Quranul karim. Ditafsirkan secara praktikal oleh sirah nabawi,” terang
beliau pada Seminar Fiqh Jamaah di Kolej Universiti Islam Zulkifli
Muhammad (Kuizm), di sini baru- baru ini.
Usaha itu katanya, bermula daripada
mengajak manusia kepada Islam meliputi cara hidup Islam, makan minum,
pakaian, berkeluarga sehinggalah masyarakat, berpolitik, ekonomi dan
perhubungan antarabangsa.
Jelasnya, pemisahan atau mengambil
sebahagian ajaran hanyalah mengikuti jalan syaitan dan perbuatan ahli
kitab serta pengikut Yahudi dan Kristian.
“Dunia adalah jambatan menuju akhirat.
Semua teori-teori ekonomi sama ada sosialisma, kapitalisma, pragmatisma
bertuhankan kepada aqidah materialistik, kebendaan. Ekonomi menjadi
kiblat yang disembah lain daripada Allah SWT walaupun percaya pada
tuhan.
“Kalau dulu menyembah berhala, menyembah
syaitan, menyembah jin, menyembah raja, menyembah macam-macam. Hari ini
menyembah ekonomi sebab cakap ekonomi adalah nyawa kepada manusia,”
terang beliau.
Menurut Tuan Guru, kemuncak kepada usaha
manusia memperjuangkan Islam adalah menegakkan negara yang mendaulatkan
syariat Allah SWT dan menjadikan Islam itu tamkin.
Terang beliau, Allah menjanjikan kepada
kumpulan Islam yang beriman dan beramal soleh menjadikan mereka
khalifah-khalifah yang memerintah bumi.
Kumpulan itu juga katanya, menunjukkan
sifat-sifatnya bahawa Allah menyertai dan mengasihi mereka serta mereka
mengasihi Allah, merendahkan diri terhadap orang-orang beriman dan
menunjukkan kekuatan atau kekuasaan terhadap para penentang dan
kafir, mereka berjihad serta tidak takut celaan orang mencela.
Ulasan
Catat Ulasan