Bahaya Aids Al-Haraki Dalam Gerakan Islam
Bahaya Aids Al-Haraki
Dalam Gerakan Islam
SUATU PERINGATAN
DARI USTAZ FATHI YAKAN
(Virus Merbahaya
Yang Menyerang Harakah Dakwah Masa Kini)
Disediakan oleh:
Akhukum fiLlah,
Ahmad Akhyari bin Ismail Az-Zahawiee UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta
Muqaddimah
Seorang mujahid dakwah, Ustaz Fathi Yakan, yang pernah
berkunjung ke negara kita, dalam rangka menghadiri Muktamar Agung PAS tahun
1997, telah memperingatkan kita semua tentang bahaya AIDS Haraki, iaitu istilah
yang menggambarkan fenomena yang telah dan sedang terjadi di sebahagian harakah
Islamiah di seluruh dunia.
Ini adalah peringatan penting beliau kepada para aktivis
dakwah, sejak enam belas tahun yang lalu di dalam buku beliau: Ihzaruu AIDS
Al-Haraki (Berjaga-jagalah AIDS Haraki). Wa Zakkir Fa inna az-Zikra
tanfa’ul mu’minin.
Penyakit AIDS adalah merujuk keadaan seseorang yang
mengalami kehilangan daya tahan penyakit di dalam tubuh, sehingga menjadi mudah
dijangkiti penyakit dengan keadaan yang parah. Sehingga kini, penyakit yang
disebabkan oleh virus HIV ini, masih belum ditemui ubat yang dapat menyembuhkan
penyakit merbahaya ini. Para penghidap HIV/AIDS ini akan berhadapan dengan
risiko kematian.
Dalam buku Ihdzaruu Al-Aids Al-Harakiy (1989), Al-Ustaz
Fathi Yakan secara khusus mengingatkan kes kehancuran harakah dan tanzim dakwah
di Lubnan. Hal yang sama juga berlaku di beberapa negara muslim yang terdapat
harakah Islamiah di situ. Beliau berpendapat, kes-kes kehancuran tanzim dakwah
bermula dari kelemahan daya tahan dalaman jama’ah, yang seringkali terjadi di
saat mereka berada di atas paksi Mihwar Siyasi (Orbit Politik).
Hal ini sering terjadi ketika harakah Islamiah memasuki
wilayah amal siyasi (kerja politik) untuk menyempurnakan wilayah ‘amal dakwah
dan meningkatkan sasaran dakwah yang lainnya.
Mengapa terjadi seperti ini? Apakah penglibatan harakah
Islamiah dalam wilayah politik adalah suatu kekeliruan dan kesilapan? Tentu
saja tidak!! Bahkan ini adalah suatu kewajipan kita semua.
Konsep Syumuliatul Islam yang diperkenalkan Imam Asy-Syahid
Hasan al-Banna di dalam usul pertama dari Usul ‘Isyrin, telah memberikan
gambaran pentingnya kita bergerak di paksi politik demi tertegaknya Ad-Din wa
Ad-Daulah. Sesungguhnya saat ini, Syumuliayatud Dakwah menuntut kita memasuki
dan menguasai wilayah politik.
Mengenal Virus Merbahaya
Persoalan yang timbul ialah bagaimana virus ini boleh
berjangkit dan menjadi penyebab kehancuran kepada harakah? Dalam analisa dan
tajribah Ustaz Fathi Yakan, terdapat 7 faktor utama yang menyebabkan hal ini
terjadi :
1. Hilangnya Manna’ah I’tiqodiyah (imuniti
keyakinan) dan tidak terbinanya bangunan dakwah di atas dasar fikrah dan mabda’
yang benar dan jitu. Akibat yang timbul dari faktor ini, tanzim dakwah tidak tertegak
di atas fikrah yang benar dan utuh.
Adakalanya sebuah tanzim hanya wujud sebagai Tanzim
Ziyami, iaitu tanzim yang berdiri atas landasan wala’ kepada seorang pemimpin
yang diagungkan. Ada juga yang bergerak sebagai Tanzim Syakhshi, iaitu tanzim
yang tertegak atas bayangan keperibadian (figure) seorang pemimpin. Terdapat
juga yang berbentuk Tanzim Mashlahi Naf’i yang berorientasi mewujudkan tujuan
perlaksanaan pengisian semata-mata.
Kerana itu, binaan tanzim menjadi begitu rapuh, tidak
mampu menghadapi kesulitan dan cabaran. Akhirnya bergoncanglah binaan dan
bercerai-berai saffnya sehingga terjadilah berbagai peristiwa dan tragedi.
2. Perkaderan dan pembinaan anggota berdasarkan
kuantiti, dengan mengutamakan bilangan dan jumlah keahlian menjadi keutamaan
qiyadah. Seringkali dianggap, bahawa jumlah yang banyak itu akan menjadi
penentu kemenangan dan kejayaan. Keadaan ini mungkin ada kebenarannya ketika
sebuah harakah dakwah tampil secara rasmi sebagai parti politik dan terlibat
dalam pilihanraya.
Akan tetapi hal ini perlu diawasi kerana, orientasi ini
akan memudahkan pihak-pihak tertentu cuba mewujudkan qaidah sya’biyah atau
dasar dokongan sosial untuk kepentingan mealisasikan tujuan-tujuannya.
Dalam situasi tertentu akan muncul keperibadian atau
tokoh-tokoh tertentu dalam harakah yang memperjuangkan kepentingan peribadi
dengan memanfaatkan qaidah sya’biyah yang dibinanya. Pada saat ini, qa’idah
sya’biyah ini akan bertindak sebagai musuh dalaman kepada harakah Islamiah.
3. Isti’jal (tergesa-gesa) untuk meraih
kemengan, meskipun tidak seimbang dengan persediaan yang mencukupi, walaupun
ditahap minimum. Kemenangan politik bererti memperolehi kekuasaan. Setiap
aktivis politik akan dikuasai semangat mencari dan mengejar kekuasaan sehingga
tidak ada penghujungnya.
Menurut Ustaz Fathi Yakan, kekuasaan yang diperolehi di
manapun akan menuntut pembahagian ghanimah (harta rampasan perang) kepada
penjaga sesuai dengan perbandingan tugasan yang ditanggung seseorang. Ghanimah
yang telah diperoleh itu kadangkala melahirkan cubaan, fitnah dan bencana
kerosakan dalam harakah.
Permasalahan dasarnya adalah penipuan dalam pembahagian,
antara perseorangan, pemimpin serta penguasa yang bercita-cita mendapatkan
bahagian kekuasaan yang banyak. Akhirnya prinsip perjuangan tergadai dan agenda
maddiyah (kebendaan) dengan mengejar kepentingan hawa nafsu akan menjadi
tuntutan perjuangan mereka.
Ketika ini hilanglah roh aqidah dalam perjuangan, tumpuan
hanya diberikan kepada percaturan strategi menghadapi musuh dalam pilihanraya
dengan meninggalkan agenda pembinaan ruhiyah di kalangan jundiyah dan qiyadah.
Akhirnya “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.”
4. Binaan tanzim dipengaruhi unsur luaran.
Samada dipengaruhi oleh latar belakang kekuatan yang berada di sekelilingnya
dari aspek politik, ekonomi dan lain-lain aspek. Akibatnya, tanzim akan kehilangan
potensi keaslian perjuangan, kehilangan orientasi dan arah tujuan politik. Kerana
hilangnya asholah dakwah (keaslian), tanzim menjadi alat kepentingan pihak lain,
dan segala keputusan dan tindakan dipengaruhi kelompok tertentu.
5. Munculnya berbagai aliran dan kelompok dalam
harakah. Hal ini sering terjadi kepada harakah yang telah mengalami perpecahan
lantaran hilangnya wahdatul fikr dan wahdatul ‘amal. Kesan dari permasalahan
ini akan timbulnya ta’addudul wala’, justeru akan timbul pertikaian,
perebutan pengaruh dan kekuasaan untuk meraih hasrat dan cita-cita peribadi
atau kelompok tertentu.
6. Campur tangan pihak luar dengan pengaruh
dominan politik, ideologi, perisikan, inteligen dengan berbagai cara
penyamaran untuk menyerang musuh dalam harakah dengan tujuan menghancurkan
kekuatan dan kesatuan di dalam tanzim. Ruang yang terbuka untuk campur tangan
atau penyusupan amat luas, terutama melalui ruang politik, iaitu dengan
menawarkan pelbagai maslahah siasah.
Kekuatan luaran dan campur tangan ke dalam tanzim harakah
berlaku ketika jamaah mengalami kelemahan, miskinnya roh ‘aqidah di kalangan jundiyah
dan qiyadah, kuatnya kecenderungan mengejar maddiyyah dan jawatan.
7. Lemah atau hilangnya kesedaran politik (wa’yu
siyasi) dalam harakah. Sesebuah harakah yang tidak memiliki wa’yu siyasi
yang tinggi dan baik, tidak akan dapat mengimbangai peredaran zaman, gagal
mengambil istifadah dan pengajaran dari pengalaman lepas, tidak mengkaji
peranan harakah di masa depan dan tidak mampu membuat suatu keputusan politik
setempat berdasarkan situasi dan keadaan politik antarabangsa.
Apabila harakah mengalami kelemahan seperti ini, akan
berlaku sikap yang kontradiktif dan mudah terbawa arus. Keadaan ini memudah
unsur-unsur negatif dari luar mengawal keputusan politik dalam harakah dan
mengenepikan peranan majlis syura dalam jamaah.
Semua faktor keadaan yang dinyatakan oleh Ustaz Fathi
Yakan adalah berkesimpulan dari masalah mendasar harakah Islamiah masakini,
iaitu “politik mendominasi tarbiah”. Keadaan ini menyebabkan suasana atau
munakh harakah dikuasai oleh politik, bahkan sangat mempengaruhi pendirian dan
sikap para anggota dan pimpinan harakah.
Kewajipan Memelihara Asholatud Dakwah (Keaslian Dakwah)
Permasalahan dan penyakit yang berlaku di dalam harakah
dakwah, hanya dapat dikawal dan diubati dengan memelihara keaslian dakwah yang
kita warisi dari Baginda Rasulullah ShallaLlahu ‘Alaihi wa Sallam.
Syeikh Mustafa Masyur Rahimahullah, dalam sebuah
tulisannya, Qadhaya Asasiyyah ‘Ala Thoriqud Dakwah, menekankan
betapa pentingnya Muhafazhah ‘Ala al-Asholah (memelihara keaslian dakwah), agar
harakah terjamin berada di jalan yang benar menuju sasaran.
Sekecil-kecil penyelewengan dari asholah dakwah, pasti
akan melahirkan kegelinciran yang semakin hari semakin besar, serta menyeret
harakah jauh dari jalan yang benar dan gagal mencapai sasaran harakah. Imam
Asy-Syahid Hasan al-Banna selalu menekankan agar jamaah beriltizam dengan
Islam, Al-Quran dan As-Sunnah serta melangkah ke medan dakwah berpandukan Sirah
Rasulullah ShallaLlahu ‘Alaihi wa Sallam ketika beliau menegakkan Daulah
Islamiah pertama. (Mustafa Masyhur, Qadhaya Asasiyyah ‘Ala Thoriqud Dakwah).
Memelihara Asholah Dakwah bererti meletakkan kepentingan
kepada tarbiyah. Kerana itu, tarbiyah dalam jemaah tidak boleh
dikesampingkan atau diabaikan demi memenuhi tuntutan kegiatan politik,
publisiti bahkan jihad sekalipun. Perencanaan takhtit dan tanzim semata-mata
tidak mencukupi tanpa tarbiyah untuk membina izzah harakah di mata musuh Islam.
Usrah merupakan tulang belakang tarbiyah dalam jamaah,
yang berperanan sebagai wasilah yang mendidik ahli dan membentuk rijal. Semua
anggota di manapun peringkat jamaah, samada ahli hinggalah pimpinan tertinggi
wajib mengikuti peringkat-peringkat tarbiyah sehingga sampai ajalnya.
Kesimpulan
Ternyata, kewajipan itu lebih banyak dari batas waktu
yang kita miliki. Kerana itu, dakwah kita tidak dibina atas dasar rukhshah
(keringanan), tetapi dibangun atas dasar ‘azhimah dan tekad yang teguh. Jika
hal ini diperhatikan dengan sewajarnya, dari peringkat ahli sehinggalah
pimpinan jamaah, segala permasalahan yang sering melanda harakah dan dakwah,
nescaya virus bahaya yang menular dalam tanzim binaan jamaah dapat diatasi.
Semoga kita mengambil pelajaran dan manfaat dari
taushiyah yang disampaikan sejak enam belas tahun silam oleh seorang da’ie yang
menjadi qudwah kepada kita, demi kebaikan dan kejayaan harakah dakwah di negara
kita.
Kepada para pejuang yang merindukan kejayaan...
Kepada rakyat yang kebingungan di persimpangan jalan kepada
pewaris peradaban yang telah menggoreskan.
Sebuah catatan membanggakan di lembar sejarah manusia wahai
kalian yang rindu kemenangan.
Wahai kalian yang turun ke medan demi mempersembahkan
jiwa dan raga untuk Islam tercinta.

Ulasan
Catat Ulasan