Analisis: PAS, IRC, ABIM dan Sa'ari Sungip
PAS, IRC, ABIM dan Sa'ari Sungip
Timbul isu panas bila saudara YB Sa'ari Sungip mula bertindak balas terhadap tindakan sebahagian Muktamirin di Muktamar PAS dan juga penegasan Tuan Guru Presiden kepada dua orang yang khianat amanat dan Baiah atas Nama ALLAH Subhanahu wa Ta'ala (Wallahi, Wabillahi, Watallahi). Penting juga untuk kita melihat kaitan dan hubungan Sa'ari Sungip dan PAS dalam lapangan gerakan ISLAM. Tidak asing bagi yang berpengalaman dalam lapangan dakwah Islam di tanah Melayu bahawa terdapat pertembungan apabila berlakunya peristiwa 13 Mei 1969. Kesan 13 Mei, PAS mengambil keputusan bersama Perikatan dalam tahun 1972 membentuk BARISAN NASIONAL. Kesan penggabungan ini, beberapa tokoh merasakan perlu bergerak dari luar jalur kerajaan dan akhirnya membentuk NGO-NGO dan gerakan pelajar yang terlibat secara langsung menyuarakan pendapat dalam arus perdana sosial dan politik Tanah Melayu ketika itu.
Sa'ari Sungip, lulusan sekolah berasrama penuh Sekolah Tun Abdul Rahman (STAR) Ipoh yang akhirnya melanjutkan pelajaran di Birmingham, UK dan menyertai gerakan pelajar di sana yang lebih terkenal dengan Islamic Reprensentative Council (IRC). Dengan jaringan IRC inilah, akhirnya membentuk jalur asas kepada pertembungan yang berlaku selepasnya.
Sepanjang dekad 1980-1990 berlaku beberapa peristiwa yang boleh dikaitkan dengan penglibatan IRC. Antaranya keributan yang berlaku dalam ABIM dan gerakan pelajarnya yang dipimpin Oleh Muhammad Nur Manuty. Perpecahan dalam ABIM menyebabkan terdiri lagi satu kumpulan iaitu kumpulan Ustaz Dahlan (Kusda) yang dipimpin Ustaz Dahlan Mohd Zain (almarhum) yang mengetuai ABIM Perlis. Kumpulan ini akhirnya membentuk HALUAN pada tahun 1988. Terjadi juga krisis kepercayaan dalam PAS apabila saudara Mustafa Kader yang pernah menjawat jawatan tertinggi di peringkat Pemuda terlibat dalam jaringan rancangan IRC. Dalam organ parti seperti Harakah, Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok dijadikan payung mereka atas budi membantu Dr Daeng membangunkan Harakah sebagai organ parti ketika itu. Dalam krisis ketika itu, Dr Daeng sedikit terpalit dengan perancangan perancangan mereka dari IRC.
Akhirnya, kemuncak bila tidak dapat menembusi secara total dalam ABIM dan PAS, mereka membina jemaah frontline yang dinamakan JEMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM) yang diasaskan pada 27 Julai 1990. Pengerusi Penaja NGO ini, tidak lain dan tidak bukan ialah saudara Sa'ari Sungip yang seterusnya menjawat Jawatan Pengerusi JIM sehingga 1999.
JIM di bawah kepimpinannya juga cuba menyatukan dengan HALUAN pada tahun 1995 tetapi tidak berjaya.
kalau dilihat dari jalur waktu sejarah, tertubuhnya JIM serentak dengan kemenangan PAS di Kelantan pada tahun 1990. Pada masa itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) tengah memuncak karier politiknya di dalam UMNO. Malah, kalau dilihat dari jalur kesatuan pelajar, tokoh-tokoh pelajar MISG yang menyertai beliau ialah Wan Hasni Wan Sulaiman yang pernah menjawat Timbalan Ketua Pemuda UMNO Kelantan dan pengerusi ABRAR INC. Turut bersama Abdul Rahim Ghouse, Mantan Presiden MISG sebelum Wan Hasni yang menjadi Ketua Pemuda Pulau Pinang dan juga bersama Wan Hasni membina ABRAR INC. MISG dan IRC punyai hubungan yang agak erat di kalangan penggerak persatuan pelajar di luar negara. MISG yang berpusat di Illinois, US. Manakala kumpulan IRC bergerak di UK. Ramai juga, lepasan lepasan ABIM turut sama menyertai MISG lantas secara tak sedar membina jaringan langsung dengan UMNO di bawah pimpinan DSAI.
Maka tidak hairan ketika itu, tatkala DSAI berada di puncak kuasa UMNO, tokoh tokoh IRC menguasai di sektor pendidikan di UIA, USM Kubang kerian, UTM, UM dan lain-lain lagi. Dalam masa yang sama Sa'ari Sungip juga terlibat dalam bidang kejuruteraan mempunyai hubungan secara langsung dalam urusan perniagaan bersama agensi-agensi kerajaan yang ketika itu mendapat faedah bekerjasama dengan DSAI.
Pertembungan DSAI dan PAS ketika itu juga turut dibantu oleh JIM dalam menaikkan imej Islamisasi DSAI. Malah membantu DSAI untuk beliau merampas balik Kelantan dari PAS pada tahun 1995. Maka tidak hairan ucapan-ucapan DSAI, kosa kata yang digunakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti Masyarakat Madani, Maqasid Syariiah, Islamisasi turut diucap oleh pimpinan pimpinan IRC/JIM/IKRAM sehingga hari ini.
Tahun 1998, berlakunya reformasi apabila DSAI dipecat dari UMNO. Maka tatkala JIM/IRC sudah hilang kepentingan dalam UMNO. Mereka bangkit membela DSAI seterusnya bersama sama dengan PAS yang menggerakkan GERAK yang dipimpin oleh almarhum Tuan Guru Ustaz Fadhil Noor ketika itu. Permusuhan DSAI dengan Dr Mahathir Mohamad ketika itu menyebabkan beberapa tokoh IRC, PAS disumbat ke dalam tahanan ISA. Pengikut yang dahulu masuk UMNO kerana umpanan DSAI juga turut masuk ISA. Sa'ari Sungip, Abdul Malik Hussin, Ahmad Zahid Hamidi, Ezam Mohd Nor dan ramai lagi ditahan atas penglibatan mereka bersama DSAI ketika Reformasi 1998. Di saat itulah, nama-nama seperti Sa'ari Sungip, Dzulkefly Ahmad, Nizar Jamaluddin dan Zulkifly Omar muncul satu persatu dalam PAS.
Dalam PRU 1999, Sa'ari Sungip bertanding atas tiket Keadilan di Parlimen Paya Besar tetapi kalah. 2004, Sa'ari Sungip bertanding atas Tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) di parlimen yang sama iaitu Paya Besar, juga Kalah kepada Dato Seri Dr Hajjah Siti Zaharah Sulaiman. Akhirnya pada tahun 2008, Sa'ari Sungip bertanding atas tiket PAS selepas menyertai PAS dan menang di DUN Hulu Kelang dalam Parlimen Gombak. Mengulangi bertanding pada 2013 sehingga masih bergelar YB sehingga hari ini.
Kalau dilihat kisah ini, lihat betapa PAS memberi ruang dan kemaafan untuk Sa'ari Sungip dan kawan-kawannya bergerak dalam PAS. Namun madu yang diberi, tuba yang dibalasnya. Tindakan membelakangi keputusan PAS menerusi Presiden dan Majlis Syura langsung tidak diambil perhatian apabila baiah atas Nama ALLAH.
Malah, dengan bangganya hari ini menyebut dalam akhbar untuk mempersoalkan tindakan muktamirin PAS mendesak beliau diambil tindakan oleh Jemaah dan doa kepada ALLAH.
Lihatlah sejarah ini. Siapa Khianat Siapa?
Ahmad Hakimi Othman,
Kuala selangor.
Ulasan
Catat Ulasan