DISIPLIN DAN ASAS ILMU ISLAM


  
SEMINAR THAQAFAH: ILMU DAN PEMIKIRAN ISLAM

DISIPLIN DAN ASAS ILMU ISLAM 
oleh:
Al-Fadhil Ustaz Mohd Nazrul bin Abd Nasir, 
Pemegang ijazah mengajar di Masjid Azhar, Kaherah.

Ada beberapa Disiplin dan Sistem (Manhaj) yang perlu bagi seseorang tersebut dalam menimba ilmu terutama ilmu-ilmu Islam yang sangat luas.

Sistem Pertama : Isnad al-Riwayah

Di dalam sistem ini, ditekankan kepentingan pengambilan sesuatu sumber ilmu tersebut mestilah mempunyai mata rantai yang menyambung dengan guru dan seterusnya sehinggalah berakhir pada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.

Disebabkan pentingnya sistem ini, maka para ulama sangat mengambil berat terhadap ketulenan sumber dan kepercayaan yang tinggi kepada yang menyampaikan sumber tersebut.

Hasilnya, kita dapat melihat para ulama berpusu-pusu menulis dan mengumpulkan sumber-sumber ini demi untuk berkhidmat kepada Allah taala dan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.

SISTEM KEDUA : ISNAD Al-DIRAYAH

Ini merupakan kesinambungan daripada sistem yang pertama.

Jika sistem pertama lebih kepada penelitian sumber, maka sistem kedua ini adalah lebih kepada bagaimana memahami sumber tersebut dengan sebenar-benar fahaman.

Maka ini memerlukan kepada penguasaan yang mendalam terhadap pembacaan sumber. Serta memerlukan kepada guru yang berkelayakan untuk membimbing pemahaman tersebut.

Sistem pembinaan ilmu ini memerlukan kepada rukun yang kukuh dan kuat. Para ulama menyebut bahawa rukun ilmu ini ada 5 perkara :

1) Guru
2) Murid
3) Sistem (Manhaj)
4) Alat
5) Persekitaran yang membina

Jika gugur salah satu rukun ini maka akan ternafilah ilmu seseorang tersebut. Seseorang yang gugur salah satu daripada rukun ilmu ini, tidak akan memperolehi ilmu. Tetapi dia hanya akan memperolehi maklumat sahaja.

PERINGATAN: Perlu dibezakan dengan baik antara ilmu dan maklumat. Disebabkan tidak cermat dalam perbezaan dua perkara inilah berlakunya kecelaruan di dalam pemikiran pada zaman sekarang.

Hasil daripada sistem kedua ini, maka para ulama mula menghasilkan karya-karya mereka dengan mensyarahkan kembali teks hadis dan kalam-kalam Allah taala di dalam al-Quran. Maka terbitlah syarah-syarah bagi sekalian kitab Hadis dan Tafsir-tafsir bagi al-Quran.

SISTEM KETIGA : ISNAD al-TAZKIYAH

Sistem ketiga ini akan mendidik seseorang yang telah memperolehi dua sistem sebelum ini agar sentiasa berjiwa besar.

Di dalam sistem ini, seseorang akan diajarkan pelbagai adab dan akhlak di dalam ilmu.

Seseorang yang punya sistem ketiga ini akan memandang bahawa perbezaan pandangan itu adalah sesuatu yang rahmat (jika mengikut kepada syarat-syaratnya).

Kematangan di dalam berhujah dan mengeluarkan pandangan adalah salah satu ciri-ciri seseorang yang mempunyai Isnad al-Tazkiyah.

Disebabkan tiadanya Isnad al-Tazkiyah inilah menyebabkan seseorang itu sentiasa memandang bahawa semua yang berbeza dengan pandangannya maka perlu ditentang. Maka lahirlah faham Takfir, Tabdi' (Membid'ahkan), dan lain-lain fahaman songsang.

KEPENTINGAN KETIGA-TIGA SISTEM TERSEBUT

Ketiga-tiga sistem ini sangat penting untuk diterapkan semula di dalam sistem pengambilan ilmu sekarang.

Musuh-musuh islam mengetahui bahawa sistem sebeginilah yang menguatkan umat Islam, maka mereka mula mencari-cari jalan untuk meracuni pemikiran umat Islam bahawa sistem sebegini telah ketinggalan.

Maka mereka mula menaruh racun terhadap rukun yang paling besar di dalam ilmu Islam iaitu disebarkan faham buruk sangka terhadap para ulama.

Mereka menyerang jantung bagi ummat iaitu para ulama. Maka perlulah para pemuda dan pemudi memahami perkara ini sebaiknya. Agar kita tidak termakan dengan tipu daya musuh ini.

KESIMPULAN

Ilmu adalah warisan para Nabi. Perkara warisan ini sudah tentu mempunyai sistem yang tersendiri dalam menyampaikan dan mendapatkannya.

Maka, sewajibnya bagi kita selaku penuntut ilmu melihat bahawa sistem yang berkat ini mesti dan wajib dipertahankan dan diperkasakan kembali.

Sistem yang berkat ini telah terbukti berjaya melahirkan para pejuang yang ikhlas dan penuh dengan keberkatan.

Disediakan oleh :

Ustaz Mohd Nazrul Abd Nasir,
Tanah di bawah Tapak Kaki Para Ulama.




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sekularisme dan Umat Islam

TINGGALKAN PERKARA YANG TIDAK BERFAEDAH

Duduk dalam majlis zikir