JIhad di Jalan Allah: Terselamat Di Soal di Kubur

Orang-Orang Yang Tidak Ditanya Di Dalam Kuburnya




Abu Qasim as-Sa’di dalam kitab ar-Ruh menulis:

“Dalam beberapa hadis sahih disebutkan sebahagian orang yang meninggal dunia tidak mendapat ujian kubur dan malaikat Munkar dan Nakir tidak datang kepada si mati.
Hal ini dapat terjadi apabila: berhubung dengan amal perbuatan, berhubung dengan seksa yang datang ketika hendak meninggal dunia dan berhubung dengan zaman.

Jihad Di Jalan Allah

1- Imam an-Nasa’i dan Imam at-Tabrani dalam al-Ausath merekodkan bahawa Ayub melaporkan Rasulullah ShallaLlahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda:

“Barangsiapa bertemu dengan musuh lalu bersabar sehingga dia terbunuh ataupun menang, maka dia tidak diseksa di dalam kuburnya nanti.”

2- Imam Muslim merekodkan bahawa Saidina Salman melaporkan yang Rasulullah ShallaLlahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda:

“Berperang melawan musuh kerana Allah selama satu hari dan satu malam adalah lebih baik daripada berpuasa di siang hari serta solat tahajud di malam harinya selama satu bulan terus-menerus. Apabila dia meninggal dunia, pahala amal baiknya terus mengalir dan dia diberi rezeki serta dilindungi daripada ujian kubur.”

Ulasan: Ketika peristiwa Isra’ Mikraj, Baginda Nabi ShallaLlahu ‘Alaihi wa Sallam dihidangkan dengan sekumpulan yang menanam pokok kemudian pada petangnya ia menuai hasil tanamannya. Apabila ditanya Malaikat siapakah mereka itu, maka jawab Malaikat, mereka ialah orang yang berjihad di jalan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

3- Imam at-Tirmidzi merekodkan bahawa Saidina Fadhalah bin Ubaid meriwayatkan bahawa Rasulullah ShallaLlahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda:

“Apabila seseorang meninggal dunia, amal perbuatannya ditutup kecuali orang yang meninggal dunia kerana berperang di jalan Allah. Amal perbuatannya terus bertambah hingga hari kiamat dan dia terselamat daripada ujian kubur.”

4- Imam Abu Daud meriwayatkan dengan maksud, “Dan terselamat daripada kedua-dua penanya kubur.”

5- Saidina Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah ShallaLlahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda: “Barangsiapa meninggal dunia kerana berperang di jalan Allah, Allah mengalirkan pahala amal kebaikannya terus-menerus sebelum meninggal dunia, memberinya rezeki dan melindunginya daripada kedua-dua penanya kubur. Allah juga membangkitkannya dalam keadaan bebas daripada rasa takut.”
[Riwayat Imam Ibnu Majah dengan sanad yang sahih]

Imam al-Qurtubi mengatakan, “Dalam hadis ini dan hadis sebelumnya terdapat syarat iaitu meninggal dunia ketika berperang di jalan Allah sama ada dengan berjalan kaki atau pun menunggang kuda.”

6- Saidina Uqbah bin Amir meriwayatkan, beliau mendengar Rasulullah ShallaLlahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Setiap amalam orang yang meninggal dunia ditutup kecuali orang yang meninggal dunia kerana berperang di jalan Allah.  Pahala amal perbuatannya terus mengalir kepadanya hingga Allah membangkitkannya dan dia dilindungi daripada kedua-dua penanya kubur.” [Riwayat oleh Imam Ahmad dan at-Tabrani]

7- Saidina Uthman bin Affan meriwayatkan, Rasulullah ShallaLlahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Barangsiapa meninggal dunia kerana berperang di jalan Allah, pahala amal kebaikannya terus mengalir kepadanya, dia terus diberi rezeki, dilindungi daripada para penanya kubur dan Allah membangkitkannya pada hari kiamat nanti dalam keadaan aman daripada rasa takut.” [Riwayat oleh Imam al-Bazzar]

8- Saidina Abu Umamah meriwayatkan bahawa Rasulullah ShallaLlahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Barangsiapa berperang melawan musuh kerana Allah, Allah membuatnya selamat di dalam kuburnya.”

9- Saidina Abu Said al-Khudri meriwayatkan, Rasulullah ShallaLlahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Barangsiapa yang meninggal dunia dalam perang fi sabilillah, dia dilindungi daripada ujian kubur dan terus-menerus diberikan rezeki.”
[Riwayat Imam at-Tabrani dalam al-Ausath]

10- Saidina Salman meriwayatkan yang beliau mendengar Rasulullah ShallaLlahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Berperang di jalan Allah selama satu hari pahalanya seperti berpuasa di siang hari serta solat tahajud di malam harinya selama satu bulan. Barangsiapa meninggal dunia kerana berperang di jalan Allah maka pahala amal kebaikannya terus mengalir kepadanya, selamat daripada fitnah kubur dan dibangkitkan pada hari kiamat sebagai syahid.”

11- Saidina Ibnu Mas’ud meriwayatkan bahawa Rasulullah ShallaLlahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Barangsiapa berperang di jalan Allah selama satu hari, pahalanya menyamai pahala puasa dan solat malam selama satu bulan. Dia dilindungi daripada ujian kubur dan pahala amal kebaikannya terus mengalir kepadanya hingga datangnya hari kiamat. “ [Riwayat Imam Ibnu Asakir dalam Tarikhnya]

12- Saidina Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah ShallaLlahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Barangsiapa meninggal dunia kerana sakit, dia meninggal secara syahid, dilindungi daripada ujian kubur, diberi makan dan memperoleh rezeki dari Syurga.”
[Riwayat Imam Ibnu Majah dan al-Baihaqi]

Imam al-Qurtubi mengatakan bahawa hadis ini meliputi semua jenis penyakit tetapi ada hadis yang mengkhususkan pada satu penyakit iaitu, “Barangsiapa meninggal dunia kerana sakit perut dia tidak diseksa di dalam kuburnya.” [Riwayat Imam an-Nasa’ie dan ahli hadis lainnya]

Yang dimaksudkan oleh hadis ini adalah penyakit busung air. Pendapat lain mengatakan, pembuangan isi perut kerana cirit-birit. Rahsianya adalah kerana dia meninggal dunia dalam keadaan waras dan tetap mengenali Allah, sehingga tidak memerlukan pertanyaan di dalam kubur.

Lain halnya dengan orang yang meninggal dunia kerana penyakit lain, mereka hilang akal sihatnya. Imam al-Qurtubi menyatakan pengkhususan ini tidak bererti apa-apa kerana dalam sanad hadisnya terdapat pelapor yang salah. Yang betul adalah “man mata murabithan” yang bermaksud barangsiapa meninggal dunia kerana berperang di jalan Allah, bukan “man mata maridhan” yang bermaksud barangsiapa meninggal dunia kerana sakit. [Hadis ini dimasukkan oleh Imam Ibnu Jauzi dalam kitab Kumpulan Hadis-Hadis Dhaif]



Wallahu’alam.

Dipetik daripada kitab Rahsia Alam Kematian & Alam Barzakh, al-Hafiz Jalaluddin Abdurrahman as-Suyuti Rahimahullah.
 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sekularisme dan Umat Islam

TINGGALKAN PERKARA YANG TIDAK BERFAEDAH

Duduk dalam majlis zikir