Niat Dalam Memilih Pasangan Hidup
بسم الله الرّحمن الرّحيم
Segala puji bagi Allah Ta’ala atas limpah dan kurnianya dapat lagi kita
meluangkan masa untuk membaca sedikit kisah para ulamak kita untuk kita ambil
peringatan dan juga muhasabah kepada diri kita. Sekadar berkongsi kisah yang
diceritakan oleh Murabbi Ustaz Yussaine Yahya di dalam kuliah beliau pada malam
tadi. Kisah ini dipetik daripada buku “Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia”
karya Ustaz Umar Muhammad Noor, terbitan Telaga Biru.
Kisah ini saya
ambil daripada kitab Tahzib al-Kamal fi Asma’ ar-Rijal karangan al-Hafiz
Jamaluddin al-Mizzi Radhiyallahu ‘Anhu apabila menceritakan kisah hidup seorang
pakar Hadis dan Fiqah pada abad kedua hijrah di Makkah, iaitu Abu Muhammad
Sufyan bin ‘Uyainah al-Hilali Radhiyallahu ‘Anhu atau digelar Sufyan bin ‘Uyainah.
Suatu hari,
seorang lelaki mendatangi Saidina Sufyan bin ‘Uyainah Radhiyallahu untuk
mengeluhkan keadaan hidupnya. Dia berkata, “Wahai Abu Muhammad! Aku mengeluh
sikap isteriku. Ia memperlakukanku dengan sangat buruk. Seolah-olah, aku adalah
orang yang paling hina dan tidak berharga di matanya.”
Apabila mendengar
keluhan lelaki ini, Imam Ibnu ‘Uyainah tertunduk diam. Beliau sekian lama tidak
mengucapkan satu kalimah pun. Lalu beliau mengangkat kepalanya dan berkata, “Apa
motivasi kamu apabila menikahi isterimu itu? Apakah engkau ingin mendapat
kemuliaan kerana status keluarganya?”
Lelaki itu
mengiyakannya.
Imam Ibnu ‘Uyainah
berkata, “Orang yang menginginkan kemuliaan, akan diberikan kehinaan. Orang yang
menginginkan kekayaan, akan diberikan kefakiran. Orang yang menginginkan
kesolehan, Allah Ta’ala akan menghimpunkan untuknya kemuliaan dan kekayaan.”
Lalu beliau
bercerita, “Saya memiliki tiga orang adik-beradik iaitu Muhammad, Imran dan
Ibrahim. Muhammad anak sulun, Imran anak bongsu, dan aku anak kedua.
Apabila Muhammad
hendak bernikah, ia menginginkan kemuliaan. Lalu ia mencari pasangan daripada
keluarga yang lebih tinggi status sosialnya. Akhirnya, ia diperlakukan dengan
sangat hina oleh isteri dan keluarga isterinya.
Imran menginginkan
kekayaan, maka ia mencari pasangan yang berasal daripada keluarga yang kaya. Akhirnya,
ia jatuh dalam kefakiran. Mereka merampas semua hartanya, dan tidak
meninggalkan sedikit pun untuk dirinya.”
Imam Ibnu ‘Uyainah
berkata lagi, “Beberapa lama kemudian, kebetulan Ma’mar bin Rasyid datang ke
negeri kami. Lalu aku meminta nasihat daripadanya sambil menceritakan kisah
kedua-dua saudaraku itu. Lalu beliau menyampaikan kepadaku hadis Saidina Yahya
bin Ja’dah, ‘Seorang wanita dinikahi kerana empat perkara, iaitu kerana
hartanya, kemuliaannya, kecantikannya dan amal solehnya. Maka carilah wanita
yang soleh, nescaya engkau akan beruntung.’
Hadis daripada Ummahatul
Mu’minin Saidatina ‘Aisyah Radhiyallahu ‘Anha, ‘Wanita yang paling besar
keberkatannya ialah orang yang paling sedikit pembiayaannya.’ Lalu aku mencari
untuk diriku seorang wanita solehah, serta yang paling ringan biaya
pernikahannya, untuk melaksanakan Sunnah Nabi ShallaLlahu ‘Alaihi wa Sallam. Akhirnya,
lalu Allah Ta’ala menghimpunkan bagiku kemuliaan, kekayaan dan kesolehan.”
Pengajaran
Kisah ini
mengajarkan sesuatu yang sangat berharga, “Niat amatlah penting dalam
menentukan hidup kita. Allah memperlakukan kita sesuai dengan niat kita.” Tidak
terkira berapa banyak orang yang sengsara di dalam mengharungi bahtera hidup
ini lantaran keliru memasang niat di awal perjalanan.
Orang yang
tersalah niat dalam mencari harta akan hidup bagai hamba sahaya. Ia melihat
wang dan kekayaan sebagai tujuan utama sehingga sentiasa dibayangi kefakiran
dan takut miskin.
Saidina Abu Hazim
Salamah bin Dinar berkata, “Allah mewahyukan kepada dunia bahawa sesiapa yang
melayanimu, maka penatkanlah dirinya. Sesiapa yang melayani-Ku, maka layanilah
dia.” Diriwayatkan oleh al-Imam al-Baihaqi Radhiyallahu ‘Anhu dalam az-Zuhd
al-Kabir.
Orang yang tersalah niat dalam belajar, menghabiskan hidupnya untuk perkara sia-sia. Ia membuang tenaga untuk mengejar ijazah, bukan untuk menimba ilmu. Padahal selembar kertas hanya memberikan kemuliaan palsu, bukan hakiki.
Kaum Muslimin khususnya, dan masyarakat dunia umumnya, memuliakan seseorang kerana sumbangan yang diberikan, bukan kerana ijazah yang dipegang.
Orang yang tersalah niat dalam berdakwah akan hidup dalam kebencian. Masyarakat membencinya dan ia membenci mereka. Hakikat dakwah ialah simpati yang lahir dalam hati seseorang lalu mendorongnya untuk menyelamatkan manusia daripada kesesatan dan kebinasaan. Jika dakwah berakhir dengan kebencian, mesti ada yang salah dalam motif dan niat awal dakwah tersebut.
Wallahu’alam.
al-Faqir IlaLlah Ibnu Selanjuuri,
Khadim al-'Ilm wal ulama',
7 Oktober 2013 bersamaan 2 Zulhijjah 1434 Hijrah.


Ulasan
Catat Ulasan