Adab-adab dan Tuntutan Ahli

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Firman Allah Ta’ala:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” [Surah An-Nisa’ ayat 59]

Apabila dikatakan Gerakan Islam, sudah terang lagi jelas bahawa rujukan tertinggi kita ialah Al-Quran dan As-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas. Jelas di dalam perlembagaan kita bahawa rujukan tertinggi kita jemaah ialah Al-Quran. Sudah tentu untuk merujuk kepada Al-Quran ini memerlukan kepada kepakaran dan keahlian dalam memahami Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas. Maka kepimpinan yang ada perlulah mereka yang menjadi Ahlul Ijtihad (Ahli Ijtihad).

Di dalam ayat tadi, Allah Ta’ala mengajar bagaimana adab dan sikap ahli terhadap pimpinan Gerakan Islam. Apabila berlaku khilaf (perselisihan) dalam kalangan kamu, maka Allah Ta’ala mengajarkan kita agar kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Bahkan Sayyiduna Nabi ShallaLlahu ‘Alaihi wa Sallam berpesan kepada umatnya (yang bermaksud),
“Hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnah Khulafa’ Ar-Rasyidin yang terpimpin dengan hidayah dan hendaklah kamu gigit dengan gigi geraham.” [aukamaqol An-Nabiy ShallaLlahu ‘Alaihi wa Sallam]

Dalam melayari bahtera Gerakan Islam ini, maka kekuatan Iman dan Ukhuwah Islamiyah perlu diterapkan.

Baginda Nabi mengajarkan kepada umat Islam mengenai adab-adab yang perlu diberikan kepada pimpinan. Maka, inilah yang perlu dipegang dengan teguh oleh ahli-ahli Gerakan Islam secara khususnya. Dalam satu hadis, Nabi bersabda, “Allah pilih aku dan Allah pilih untuk bersama dengan aku ini para Sahabat.”

Lantas para Sahabat bertanya kepada Baginda Nabi atas apakah kami hendak berbai’ah kepada kamu? Maka jawab Nabi, “Ada 5 perkara kamu kena berbaiah kepadaku iaitu:

i) Kamu kena menjadi sahabat yang sentiasa mendengar dan taat samada dalam keadaan rajin atau malas, suka atau benci.
ii) Kamu hendaklah menginfakkan harta samada dalam keadaan kamu senang dan susah.
iii) Kamu hendaklah memainkan peranan dalam mengajak manusia membuat ma’aruf dan mencegah kemungkaran.
iv) Kamu hendaklah bersama-sama untuk bangkit menegakkan agama Allah dan tidak takut kepada celaan-celaan manusia.
v) Kamu hendaklah membantu aku apabila aku sampai di Madinah sebagaimana kamu membela diri kamu, isteri-isteri, anak-anak kamu.

Apabila kamu melakukan kelima-lima perkara ini, kamu akan diberikan ganjaran pahala.

Suka ingin saya memetik kisah yang berlaku mengenai pemecatan panglima perang, Saidina Khalid Al-Walid Radhiyallahu ‘Anhu oleh Amirul Mukminin Saidina Umar Al-Khattab Radhiyallahu ‘Anhu. Masyhur kita mengetahui bahawa Saidina Khalid memasuki perang yang banyak dan semua peperangan yang disertainya tentera Islam mengecapi kemenangan. Lalu, apabila melihat kepada keyakinan dan kebergantungan kepada Allah Ta’ala menjadi semakin nipis kerana kekuatan yang ada pada Saidina Khalid, maka Amirul Mukminin mengambil keputusan untuk menggantikan panglima tentera perang Islam. Lalu berperanglah tentera Islam dengan dipimpin oleh panglima yang baharu. Ditakdirkan Allah, tentera Islam mengalami kekalahan lalu diangkat Saidina Khalid mengetuai peperangan lantas tentera Islam mengecapi kemenangan.

Dalam peristiwa Isra’ Mikraj yang baru kita menyambutnya, maka ada banyak pengajaran yang boleh diambil oleh ahli-ahli Gerakan Islam iaitu, “Jangan mendahulukan hujah akal daripada wahyu.” Dalam mendepani keputusan yang dibuat oleh kepimpinan Gerakan Islam, maka dahulukan dengan wahyu yang menjadi panduan dalam Gerakan Islam.

Firman Allah Ta’ala:  

“Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.” [Surah Al-Hujurat ayat 1]

Ibnu Selanjuuri,
1 Sya’ban 1434 Hijriyah bersamaan 10 Jun 2013,
Taman Subang Baru.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sekularisme dan Umat Islam

TINGGALKAN PERKARA YANG TIDAK BERFAEDAH

Duduk dalam majlis zikir