Piawaian Jemaah Islam Contoh
(Petikan dari buku Sheikh Mustafa Mashyur)
http://ibnuirfadzil.blogspot.com/2010/11/piawaian-jemaah-islam-contoh.html
Oleh : Us Din Tantawi
Seperti kata-kata Saidina Ali Karamallahu Wajhah Radhiyallahu 'Anhu 'Alaihis Salam, "Janganlah kamu
kenali sesuatu kebenaran itu kerana orangnya, sebaliknya kenalilah kebenaran
tersebut dahulu, nanti kamu akan kenali orangnya."
Hatta, dengan jemaah juga, seseorang itu harus mengetahui
terlebih dahulu ciri-ciri jemaah tersebut sebelum menggabungkan diri
ke dalamnya.
Artikel ini adalah berdasarkan huraian Sheikh Mustafa
Mashyur dalam bukunya, 'Contoh Tauladan Sepanjang Jalan Dakwah' dan 'Dakwah
Fardiah'. Perkara-perkara yang dihuraikan hendaklah diambil sebagai panduan
atau rujukan bagi sesiapa sahaja yang ingin membuat pilihan dan menggabungkan
diri dalam sesebuah jemaah untuk menunaikan tanggungjawab dakwah yang
diwajibkan keatasnya.
Pilihan seseorang itu memerlukan perincian yang halus,
hikmah, penjelasan yang terang dan meyakinkan dan tidak terburu-buru. Dalam
medan dakwah masakini, terdapat banyak jemaah-jemaah yang mempunyai ciri-ciri
tersendiri, dan huraian ini juga tidak bertujuan untuk menimbulkan perbezaan
dan persengketaan antara jemaah yang sedia ada, tetapi sebaliknya mengharapkan
ianya dijadikan sebagai titik tolak bagi sesebuah jemaah tersebut untuk kembali
kepada hakikat kesatuan ummah sejagat berdasarkan ciri-ciri haraki Islam yang
dihuraikan.
Dua puluh (20) perkara asasi yang perlu ada pada sebuah
Jemaah Islam contoh ialah:
1) Tujuan menegakkan jemaah ini ialah kerana Allah dan
memiliki segala ciri-ciri Rabbani, serta mencari keredhaanNya (mardhatillah).
Jemaah ini jauh dari matlamat keduniaan seperti mencari kemasyhuran, kedudukan
atau suka menonjol diri. Jemaah ini hendaklah juga jauh dari dorongan-dorongan
Jahiliyyah seperti taa'sub kelompok (assabiyah), batas-batas geografi atau
kenegaraan (nationalisma), dan seumpamanya.
Perkara seperti ini akan merosakkan amalannya dan membawa
jemaah ini kearah kegagalan.
2) Jemaah Islam ini hendaklah menggunakan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber rujukan, dan menjaga dirinya supaya ia tidak tunduk
dibawah kehendak orang tertentu, kerajaan ataupun apa sahaja, sekiranya ia
memberi kesan buruk kepada kepada gerakan dakwahnya atau mempengaruhi mesej
dakwahnya.
3) Jemaah itu dibangunkan atas tujuan yang menyeluruh
dan bersepadu yakni untuk menegakkan agama Allah dibumi ini dengan mendirikan
Daulah Islamiah Alamiyyah (Negara Islam Sedunia). Manhajnya (methodologi)
adalah berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW untuk mencapai
tujuan ini, dan juga apa yang disyariatkan oleh Islam (ijmak atau qias). Jemaah
tidak sepatutnya mengongkong dirinya dalam 'perkara-perkara juzuk' dalam Islam
seperti ekonomi, politik, ibadah dan sebagainya.
4) Kefahaman jemaah ini terhadap Islam hendaklah
menyeluruh (kesyumulan Islam) dan pendekatan dakwah yang digunakan juga adalah
bersifat menyeluruh (syamil). Kefahaman Islam, cara dan mesej dakwah yang
dibawa mesti bertepatan dengan Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah SAW, dan bersih
dari sebarang kesamaran, penyelewengan dan perbezaan pendapat yang boleh
memecah-belahkan orang-orang Islam.
5) Jemaah ini mestilah bersifat universal (alamiyyah)
dan tidak tertakluk pada batas-batas negeri dan suku bangsa, kerana dakwah
Islam adalah ditujukan kepada sekelian alam. Jemaah ini juga menekankan bahawa
orang-orang Islam semuanya adalah umat yang satu (wahdatul ummah) dan sentiasa
bergerak kearah kesatuan ummah. Dengan sifat alamiyyahnya, jemaah ini berjuang
untuk menegakkan Negara Islam Alamiyyah dengan menggunakan Kaedah Sulbah, bukan
Negara Islam Geografi sahaja. (sila rujuk karangan Ustaz Said Hawa, 'Durus Fil
Amal AlIslami')
6) Jemaah ini mestilah mengikut kaedah perjuangan yang
digunakan oleh Rasulullah SAW ketika baginda mendirikan Negara Islam. Kaedah
yang digunakan oleh Rasulullah SAW adalah berperingkat (marhalah),
beransur-ansur (tadarruj), kejelasan risalah dakwah, kemampuan ahli,
melaksanakan hikmah dan kewaspadaan dalam setiap langkah, serta mengambil kira
faktor persekitaran (waqi').
Baginda mementingkan perkara-perkara seperti kemantapan
aqidah, iman dan ibadah, mengutamakan kekuatan persaudaraan dan penyatuan umat
Islam, mengambil kira prinsip jihad dan ketenteraan, tarbiyyah, dan lain-lain
lagi.
Jemaah ini mesti menekankan Kaedah Sulbah yakni, membina
individu Islam, keluarga Islam, masyarakat Islam, negara Islam dan baharulah
Dunia Islam. Perlu ditegaskan bahawa penggunaan kekuatan senjata sebelum
aqidah, tarbiyyah dan penyatuan umat Islam akan membawa kepada perpecahan umat
Islam dan kemudharatan yang besar. Sesungguhnya, pembinaan yang membesar secara
tabii (Kaedah Sulbah) itu bermula dari dasar (individu) dan bukan dari puncak
(negara).
7) Jemaah ini hendaklah menjaga amalannya dari mencari
propaganda dan menunjuk-nunjuk, kerana ini boleh menghilangkan sifat keikhlasan
dan ganjaran pahala. Setiap anggota jemaah itu hendaklah mengutamakan dirinya
untuk terus berdakwah dan bekerja untuk Islam dan menghindarkan dirinya dari
sebarang sifat tercela (mazmumah), perdebatan, prasangka, menabur fitnah dan
'tajassus' dan apa sahaja yang boleh menimbulkan perselisihan dan kurang daya
produktif dalam berdakwah.
Firman Allah SWT: "Hai orang-orang yang beriman,
janganlah sesuatu kaum itu merendah-rendahkan kaum lain kerana mungkin kaum
lain itu adalah lebih baik... jauhilah prasangka... janganlah kamu mencari-cari
kesalahan atau mengumpat orang lain; sukakah kamu memakan daging saudaramu
yang telah mati? Hai manusia, Allah telah mencipta kamu lelaki dan perempuan,
bangsa-bangsa, suku-suku supaya kamu saling berbaik. Sesungguhnya, orang yang
paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa
di antara kamu." (Surah Hujurat:11-13)
8) Jemaah ini bekerja mengikut perancangan yang
sempurna dan realistik. Segala tindakan yang diambil bukanlah secara spontan
ataupun hanya reaksi yang tidak dikaji terlebih dahulu kerana ini boleh
mengakibatkan risiko atau natijah yang buruk. Membangunkan individu, keluarga,
dan masyarakat dalam semua lapisan umat Islam dilakukan atas dasar taqwa
sebagai persediaan sebelum mendirikan Negara Islam.
9) Jemaah ini mengambil berat tentang semua aspek
pendidikan dan pekerjaan yang dikehendaki, yakni aspek rohani, jasmani, mental,
dan ilmu. Dari segi politik, jemaah ini hendaklah melahirkan suara Islam dengan
jalan kesedaran politik, dan tidak semestinya dengan cara berparti dan jauh
sekali dari mengamalkan putar-belit ataupun kemelut parti sekular. Dari segi
komunikasi, jemaah ini mementingkan peranan sebaran am, akhbar, penulisan serta
apa jua cara yang dapat menyebarkan dakwah serta menolak kekeliruan yang
boleh timbul dari fitnah musuh atau sesiapa sahaja.
10) Jemaah contoh ini jangan sekali-kali meninggi diri
serta sentiasa membuat perbandingan dengan jemaah-jemaah Islam yang lain dan
tidak menganggap jemaahnya sahaja yang sempurna dan benar, sementara jemaah
lain adalah sesat. Jangan memperkecil-kecilkan usaha jemaah-jemaah lain atau
melihat jemaah lain sebagai saingan atau lawan, tetapi sebaliknya carilah
ruang-ruang untuk bekerjasama.
Hendaklah dia sentiasa berusaha kearah penyatuan (wehdatul
ummah) dengan jemaah-jemaah lain dan sentiasa bersabar, berlapang dada dan
menerima segala kritikan dengan baik. Dengan izin Allah SWT kita semua
mengharapkan akan tiba masanya, hilanglah semua nama-nama, gelaran dan
perbezaan teknikal antara semua jemaah yang ada sekarang dan akan digantikan
dengan satu Jemaah Muslimin.
11) Jemaah ini hendaklah bercampur-gaul dengan semua
orang dari segenap lapisan tidak kira bangsa, warna kulit, bahasa ataupun
pangkat, demi mematuhi konsep alamiyyah yang disarankan. Mereka adalah ladang
dakwah dan tapak semaian yang perlu disediakan terlebih dahulu sebelum
mendirikan Negara Islam.
12) Jemaah ini mempunyai peraturan yang kemas serta
organisasi (tanzim) yang tersusun, yang menentukan tujuan kerja dan cara-cara
berdakwah. Anggota jemaah adalah terdiri daripada mereka yang telah dididik
(tarbiyyah) sepenuhnya, membentuk barisan-barisan yang terpilih dan
berkeperibadian Islam, dan tidak dicampuri anasir-anasir yang tidak sihat, demi
menjamin penerusan serta mesej dakwah yang dibawanya.
13) Konsep syura hendaklah diamalkan dalam setiap
peringkat dan menggalakkan ahlinya supaya terus berbincang dan mengeluarkan
pendapat serta kritikan yang membina kepada orang-orang yang memegang
tanggungjawab tertentu atau pimpinan. (muhasabah) Konsep ketaatan dan kepatuhan
dalam perkara yang bukan maksiat sentiasa ditekankan
14) Jemaah ini sentiasa bersifat sederhana dan tidak
melampau, samada dalam aspek pemikiran seperti isu kafir-mangkafir dan isu
perbezaan jemaah-jemaah Islam; atau dalam aspek gerakan seperti menggunakan
kekerasan dalam tindakan, mengeluarkan kecaman-kecaman, dan fitnah dengan
sewenang-wenangnya, yang mana boleh membuatkan orang Islam lari ataupun benci
kepada Islam. Segala tindakan yang diambil hendaklah berteraskan kasih sayang
(mahabbah), waqii (persekitaran) semasa, tawazun (keseimbangan), hazar
(waspada) dan tasawwur (prospek) amal yang jelas. Dari segi aqidah dan ibadah,
jemaah ini tidak bertolak-ansur sedikit pun..
15) Sentiasa memeriksa tanggungjawab serta mengikuti
isu-isu semasa yang dihadapi oleh umat Islam seluruh dunia dan sama-sama
memberi sumbangan sekadar mampu. Sentiasa menyeru orang-orang Islam agar sama-sama memberi sumbangan bagi tujuan menghidupkan semangat perpaduan serta
sama-sama merasa tanggungjawab terhadap apa yang berlaku pada umat Islam
keseluruhannya.
16) Jemaah ini sentiasa berwaspada dengan tipu-helah
musuh Islam, sentiasa bersabar, tetap bekerja, berkorban dan banyak bermunajat
kepada Allah apabila menanggung penderitaan dan kecaman semasa berdakwah.
17) Jemaah ini sentiasa menekankan kepentingan dakwah
dan penegakan Negara Islam Alamiyyah kepada anggotanya. Kegiatan dakwah yang
dilakukan adalah sebagai saham yang berharga kepada generasi akan datang.
Ganjaran daripada Allah akan datang kepada mereka yang beriman dan bersabar,
di dunia ini dan juga di akhirat sebagaimana firman Allah SWT dalam surah
Al-Hadid ayat 28:
"Hai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan
berimanlah kepada RasulNya, nescaya Allah akan memberi rahmatNya kepada kamu
dua bahagian, dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu
dapat berjalan, dan Allah SWT akan mengampunimu."
18) Jemaah ini sentiasa memikirkan langkah-langkah masa
depan serta bergerak (muharriq) untuk menyediakan kemahiran dalam berbagai
bidang seperti pendidikan, ekonomi, perundangan, dakwah, kesihatan,
ketenteraan, sosial dan lain-lain lagi.
19) Jemaah ini hendaklah mengambil kesempatan dalam
setiap penerokaan baru samada dalam bidang pemikiran, pengalaman-pengalaman
dakwah, ataupun kajian sains selagi ia tidak menyalahi prinsip Islam.
20) Jemaah ini sentiasa menketakutan yang dialami.
Mereka ini akan terus beribadat kepada Allah dengan tidak mempersekutukanNya
dengan apa sekalipun. Dan ingatlah, sesiapa yang kufur atau engkar sesudah itu,
maka mereka itulah orang-orang yang derhaka".
Demikianlah penjelasan yang terperinci mengenai marhalah
ini. Apa yang baik itu sesungguhnya bersumberkan dari Allah SWT, dan
segala kekurangan itu adalah merupakan kelemahan diri saya sendiri.
http://ibnuirfadzil.blogspot.com/2010/11/piawaian-jemaah-islam-contoh.html
Ulasan
Catat Ulasan