Permasalahan dan Persoalan Berkaitan Hudud

Oleh
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
HUDUD adalah salah satu daripada cabang hukum jenayah
mengikut syariat Islam, wujudnya bersama Qisas dan Takzir. Hukum hudud adalah
hak ALLAH yang dinaskan dalam Al-Quran dan Hadith-Hadith Mutawatir yang
menjelaskan kesalahan dan hukumannya, dasar dan sebahagian huraiannya.
Bagi penganut Islam seluruhya maka tentulah wajib beriman dan beramal dengan
Islam yang menjadi agama cara hidup. Tuntutan untuk beriman dan beramal dengan
Islam adalah bukan sahaja wajib ke atas ahli PAS dan penyokongnya, bahkan juga
wajib kepada semua penganut Islam dalam NGO atau secara individu dan ahli
mana-mana parti politik, termasuklah ahli UMNO yang beragama Islam, walaupun
UMNO adalah sebuah parti kebangsaan yang membuka pintu keahlian kepada
bumiputra bukan Islam seperti orang asal dan Siam.
Seluruh majoriti penganut Islam dalam UMNO wajib beriman dan beramal dengan
Islam mengikut panduan Al-Quran dan As-Sunah, sama sahaja dengan ahli PAS dan
penyokongnya. Ayat-ayat Al-Quran yang menyatakan hukum dan perintahnya, antara
lain telah dinyatakan oleh ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala dalam Surah Al-Maidah dan Surah An-Nur, di
mana kedua-duanya adalah surah Madaniyyah (yang diturunkan di Madinah).
Adapun melaksanakan undang-undang syariat Islam seperti hudud, qisas dan takzir
ini pula wajib melalui proses kehakiman Islam dan sistemnya yang adil. Maka
haram dilaksanakan secara spontan oleh individu, atau keluarga atau JKK
peringkat kampung atau kumpulan atau penguasa daerah atau negeri, tanpa suatu
proses kehakiman.
Sistem kehakiman Islam pula dipayungi oleh kuasa politik sepenuhnya dengan
adanya Negara Berdaulat atau kerajaan yang berkuasa. Di sinilah maka Rasulullah
ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam tidak melaksanakan undang-undang Hudud ketika berdakwah di Makkah iaitu
ketika tidak mempunyai kuasa pemerintahan.
Pelaksanaannya berlaku di Madinah iaitu setelah adanya kuasa negara dalam
sistem politik dengan penubuhan kerajaan yang berdaulat dan mengadakan sistem
kehakiman melalui seluruh perjalan mahkamah. Adanya penganut bukan Islam dalam
masyarakat majmuk adalah tidak menjadi halangan, di mana banyak ayat-ayat dalam
surah Madaniyyah yang sebab turunnya adalah bagi menjawab kalangan bukan Islam
yang menentang hukum hudud dan sebagainya, dalam keadaan mereka berada bersama
masyarakat majmuk di-Madinah.
Pelaksanaanya pula tanpa menunggu seluruh rakyat faham atau bersetuju kerana
kefahaman berlaku dan terjadi melalui proses pelaksanaannya. Akhirnya seluruh
anggota masyarakat Madinah menerima hukum hudud, termasuklah bukan Islam secara
tanpa paksaan, setelah mereka melihat kesannya yang mampu mendidik masyarakat,
keadilannya yang menyeluruh dan wujudnya rasa selamat dari gangguan penjenayah.
Perlu juga kita fahami bahawa hukumannya adalah sangat menggerunkan tetapi
syarat menjatuhkan hukuman dan pelaksanaannya adalah sangat sukar atau ‘sangat
memayahkan’ dengan syarat-syaratnya yang sangat ketat. Ini berlaku apabila
individu yang dituduh atau wakil (peguamnya) mengadakan hanya sedikit alasan
yang kecil, maka hukuman hudud tidak boleh dijatuhkan, pilihannya sama ada
dibebaskan atau dikenakan hukuman takzir yang lebih ringan daripadanya.
Hujah bahawa hudud sangat sukar dikenakan akan menyebabkan penjenayah terlepas
adalah sama sekali tidak benar kerana hukuman takzir dalam kerangka hukuman
yang sedia ada seperti Penal Code pada waktu ini pula akan mengambil tempatnya.
Manakala tindakan bertaubat di luar mahkamah adalah lebih digalakkan daripada
diheret ke mahkamah.
Hukuman hudud tidak dijatuhkan ke atas penjenayah oleh beberapa khalifah Islam,
bukan kerana meninggalkannya, tetapi kerana syaratnya tidak mencukupi. PAS hanya berkuasa di peringkat negeri Kelantan dan pernah di Terengganu melalui
sistem demokrasi dan federalisme.
UMNO pula melanggar adab dan akhlaknya apabila tidak menghormati konsep
demokrasi dan federalisme ini dengan mendera rakyat negeri Kelantan dan
Terengganu yang menolak UMNO-BN dalam pilihan raya itu. Walaupun berdepan
dengan kekangan ini, PAS tetap secara konsisten melangkah menunaikan
kewajipannya melaksanakan Islam sebagai Ad-Din.
Akhirnya, Undang-undang Jenayah Islam bersama undang-undang yang lain telah
dibentang dan diluluskan melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipilih
melalui pilihan raya umum. Peringkat pertama, PAS menang di Kelantan di awal
90-an bersama Semangat 46.
Dalam melaksanakan amanah ini, Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS dengan
berpandukan bidang kuasa kerajaan negeri, di antaranya melaksanakan beberapa
aspek hukum Islam di bawah kuasa Majlis Perbandaran dan Daerah seperti
menghapuskan lesen premis perjudian serta mengawal penjualan arak bagi rakyat
bukan Islam sahaja serta membenarkan perkara yang diizinkan oleh agama
masing-masing, termasuk dalam perkara hak penganut agama bukan Islam yang wajib
dilindungi.
Bagi undang–undang jenayah Syariat, kerajaan negeri terlebih dahulu menyusun
daripada nas Al-Quran dan Hadis. Ia disusun secara terkini oleh kalangan para
ulama dan pakar undang-undang daripada kalangan PAS bersama ahli-ahli akademik
daripada pusat pengajian tinggi.
Setelah selesai maka ianya dibawa kepada umum sebelum dibentang ke dalam DUN Kelantan. Draf cadangannya pula telah terlebih dahulu dibentangkan dalam satu
seminar yang diadakan di Hotel Concorde Kuala Lumpur di mana semua parti
politik dan NGO Islam dan bukan Islam telah dijemput. Proses yang sama
dilakukan di Terengganu semasa pemerintahan PAS bersama rakan-rakan yang lain.
PAS juga menerima kunjungan para diplomat asing bukan Islam dan NGO human rights
antarabangsa yang datang meminta penjelasan, dengan semua persoalan yang
dibangkitkan telah dijawab dengan baik oleh pimpinan PAS di negeri Kelantan dan
Terengganu. Ahli Parliman PAS juga pernah cuba membawa usul pindaan
perlembagaan beberapa kali dalam tahun 90-an, tetapi dihalang oleh proses
peraturan mesyuarat Dewan Rakyat dan sengaja diletakkan dalam senarai yang
akhir tanpa kesempatan dibahas, apatah lagi untuk ke peringkat kelulusan.
Semuanya menunjukkan bahawa PAS hingga kini, dan akan datang, akan terus
mempertahankan matlamat dan cita-citanya secara terbuka, menerusi ruang
demokrasi yang ada. PAS akan terus berpegang kepada batas kerjasama tahaluf
siyasi (persefahaman) mengikut batas hukum Islam yang menjadi hukum tertinggi
mengikut undang-undang tubuh PAS.
Dalam masa yang sama PAS juga menghormati dan mengakui akan perbezaan pandangan
dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) dalam beberapa perkara, tetapi
semuanya tidak menghalang untuk PAS kukuh bersama dengan rakan-rakan PR ini
untuk bergerak di atas 'common policy platform' yang telah dipersetujui dan
kebersamaan untuk memerangi salah guna kuasa, rasuah, ketirisan, demokrasi
songsang amalam BN sejak sekelian lama, dasar ekonomi pincang yang menekan
rakyat dan sebagainya.
Ternyata sejak lebih 50 tahun berada di tampuk kuasa, UMNO-BN tidak menunjukkan
minat untuk melakukan perubahan yang dinyatakan di atas, di mana mereka hanya
berminat membolot kuasa politik dan pemerintahan untuk meneruskan kerakusan
mereka sahaja.
Perlu juga kita ingat, bahawa UMNO adalah parti paling besar menguasai kerajaan
Negeri dan Pusat serta memimpin Barisan Nasional kerana berjaya memujuk bangsa
melayu Islam mengundinya setiap kali pilihan raya umum. Kerajaan UMNO-BN ini
mempunyai kuasa Negeri dan Pusat berlipat kali ganda lebih daripada PAS.
Mereka berkuasa ke atas Institut Kefahaman Islam Malaysia, Jabatan Kemajian
Islam Malaysia, Majlis Fatwa Kebangsaan, Jabatan Agama di banyak negeri dan
Pusat Pengajian Tinggi berbagai bidang. Hingga kini UMNO turut juga mempunyai
mantan pemimpin PAS yang tidak sabar bersama PAS kerana terlalu lambat mendapat
kuasa di peringkat pusat, lalu bergayut dengan UMNO yang lebih banyak kuasanya
di peringkat negeri dan pusat walaupun mereka tetap tidak melaksanakan tuntutan
Islam ini.
Hakikatnya ialah UMNO wajib meletakkan pelaksanaan syariat Islam seperti hudud
ini di atas kepala dan bahu mereka, bukannya disepitkan di bawah ketiak untuk
hanya dipergunakan bila melawan PAS atau untuk mendapat undi pilihan raya
semata-mata.
Setelah lebih 50 tahun diberikan kuasa, maka UMNO wajiblah mempengaruhi
rakannya dalam BN bagi melaksanakan syariat Islam dan seluruh hukum Islam yang
diperintahkan oleh ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala. PAS pula tentulah wajib menyokong segala usaha
melaksanakan hukum ALLAH, termasuklah melaksanakan perubahan menyeluruh
terhadap sistem ekonomi dan keadilan dalam masyarakat, membenteras rasuah,
salah guna kuasa dan sebagainya daripada semua pihak.
Maka berdosalah PAS kalau tidak menyokong dan menolong jika ada usaha ikhlas
dan langkah daripada UMNO atau mana-mana pihak yang benar-benar menegakkan
hukum Islam. Malangnya hingga kini tidak ada tanda dan alamat ke arah itu.
Bahkan, seorang Perdana Menteri dari kalangan pimpinan tertinggi.
UMNO yang menghantar surat rasmi kepada Kerajaan PAS Kelantan suatu masa
dahulu untuk diambil tindakan sekiranya kerajaan Kelantan berkeras ingin
melaksanakan hukum Islam ini. Perlu difahami oleh kita semua, bahawa hukum
ALLAH adalah amanah daripada ALLAH, kepada sesiapa sahaja yang mengaku Islam
apabila menjadi pemimpin yang memegang kuasa pemerintahan, bukan hanya khusus
kepada PAS sahaja.
Kalau tidak menunaikan amanah ini bermakna khianat, dan sesiapa yang menyokong
dan mendukungnya juga adalah pengkhianat terhadap ALLAH dan Rasul-Nya ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam.
Laknatnya lebih besar apabila melihat kemungkaran dan jenayah merebak di
hadapan mata kerana gagalnya undang-undang ciptaan manusia, namun tetap
mempertahankan undang-undang yang nyata lemah dan sesatnya.
Malangnya UMNO hanya memalu gendang kosong melalui gendang media yang
dikuasainya supaya PAS bersilat dengan DAP dan ramai yang menjadi pemerhati dan
menunggu PAS keletihan, atau dipersalahkan, lalu tarikh pilihan raya pun
diumumkan.
UMNO tidak menjawab apabila MCA berkata UMNO jangan hilang akal dengan hukum
hudud. Malangnya UMNO terus mengulit orang Melayu Islam dengan gendang dan alat
medianya supaya terus menjadi bangsa khayal dengan janji, bangsa pelupa dan
mudah lupa terhadap kesalahan, tenggelam dalam jahil murakkab (tidak tahu, buat
macam tahu).
Kepada sesiapa yang berkemampuan dan berkenaan pula, termasuklah pengamal media
arus perdana, jangan selama-selamanya menjadi tukang sapu UMNO dan pembawa
sampahnya, jagalah maruah diri dan agama sebelum pintu taubat ditutup.
PAS tetap istiqamah dan menerima setiap pandangan yang membina dan menentang
tanpa berganjak terhadap semua penghalang, yang datang daripada segenap penjuru
dan semua kalangan, sama ada kerajaan, bukan kerajaan, dalam negara dan luar negara,
kerana yakin kepada Islam adalah daripada ALLAH Pencipta Alam seluruhnya.
Datuk Seri Tn.Guru Hj Abdul Hadi Awang,
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Ulasan
Catat Ulasan