Kefahaman Mengenai Dalil dan Nas Tahaluf Siyasi

Tahaluf siyasi PAS bersama Pakatan Rakyat
PARA ulama meriwayatkan bahawa Rasulullah ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam bersabda:
لقد شهدت في دار عبد الله بن جدعان حلفا لو دعيت به في الاسلام لأجبت.
السيرة النبوية لابن كثير - (ج / ص258 ).
"(Sesungguhnya aku pernah menyaksikan di rumah Abdullah bin
Jud’aan satu persefahaman, sekiranya aku diajak bersamanya dalam Islam nescaya
aku menerimanya)."
Peristiwa bersejarah ini berlaku di masa jahiliyah, ketika
Rasulullah ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam belum dilantik menjadi Rasul dalam usia dua puluhan.
Apabila bapa-bapa saudara baginda membawanya menyertai pertemuan
khusus dalam kalangan pemimpin utama Makkah. Rasulullah ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam diizinkan menyertai
perjumpaan khas itu dalam usia yang dianggap terlalu muda dan mentah,
tetapi diakui kebijaksanaanya yang luar biasa dan akhlaknya yang sangat
mulia.
Peristiwa ini berlaku apabila seorang pengunjung Makkah daripada Qabilah
Zubaid Yaman yang berniaga, dizalimi oleh seorang bangsawan Makkah
bernama Al ‘Aas bin Waael. Pendatang yang dizalimi gagal mendapat pertolongan
daripada rakan-rakan kenalannya, kerana kedudukan bangsawanan si zalim itu.
Lalu mangsa kezaliman mendaki bukit Qubais berhampiran Kaabah melaungkan rayuan
pertolongan dan mencabar bahawa kesucian Makkah dan keamanannya sudah tidak ada
lagi.
Apabila seruannya didengari oleh para pemimpin Makkah yang sedang berkumpul,
mereka merasa malu dan tercabar. Maka diadakan perjumpaan tergempar di rumah
Abdullah bin Jud’aan dengan membuat keputusan satu muafakat yang dinamakan Half
Al-Fudul bagi menentang kezaliman dan membela sesiapa yang dizalimi.
Rasulullah ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam bersabda tersebut di atas dengan huraiannya: "Kalaulah
persefahaman ini diajak sekarang, ketika berada dalam Islam pun nescaya
aku menerima dan menyertainya."
Rasulullah ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam juga bersabda secara umum:
الحكمة ضالة المؤمن فأنى وجدها وهو أحق بها .(ابن ماجه).
"Kebijaksanaan adalah barang tercicir kepunyaan seseorang
yang beriman, maka di mana sahaja dia mendapatinya, dialah yang berhak
memungutnya."
Di atas konsep inilah maka Rasulullah ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam menerima
persefahaman tersebut, walaupun mereka itu daripada kalangan
pemimpin jahiliyah. Banyak perkara baik daripada amalan zaman jahiliyah dan
kalangan yang berperikemanusiaan daripada berbagai bangsa bukan Islam,
seperti melayan utusan daripada negara luar termasuk negara musuh,
perlindungan keselamatan terhadap para diplomat, menghormati perjanjian
antarabangsa dalam perkara yang adil dan sebagainya diterima oleh Islam.
Rasulullah ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam juga menyatakan sempadan dengan sabdanya:
المسلمون على شروطهم إلا شرطا حرم حلالا وأحل حراما (البخاري وغيره).
"Orang-orang Islam itu hendaklah bertanggungjawab di atas
segala syarat yang mereka tetapkan, malainkan syarat yang mengharamkan yang
halal dan menghalalkan yang haram."
PAS adalah Parti Islam yang berpaksi dan berpandukan hukum
tertinggi mengikut undang-undang tubuhnya (Perlembagaan). Pelaksanaannya
dikawal oleh Majlis Syura Ulama, sehingga boleh membatalkan segala keputusan
dan langkah yang bertentangan dengan ajaran Islam. Maka PAS tidak boleh
disamakan dengan UMNO.
Begitu juga hubangan PAS dengan DAP dan kalangan bukan Islam, sangat berbeza
dengan hubungan di antara komponen Barisan Nasional yang tidak berdasar dan
berkonsepkan Islam daripada Al-Quran dan As-Sunnah, Ijma’ Ulama dan Qias.
Hubungan PAS dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat adalah hubungan
Tahaluf yang berpandukan nas tersebut di atas. Pakatan Rakyat adalah satu
muafakat politik dalam konsep Tahaluf Siyasi yang diluluskan oleh
Majlis Syura Ulama dalam skop hukum Feqah politik Islam.
Bekerjasama dalam titik persamaan menentang kezaliman politik dan pentadbiran
negara yang dialami oleh seluruh rakyat, seperti amalan demokrasi
yang tempang, pentadbiran negara yang tempang, pengurusan ekonomi yang penuh
dengan penyelewengan, mesyarakat yang jahil dengan kelemahan pendidikan dan
undang-undang yang tidak ada kehebatan, menyebabkan krisis moral yang parah
dengan kebanjiran maksiat dan jenayah.
UMNO yang mewakili Melayu Islam dalam Barisan Nasional mencalarkan Islam dan
merosakkan imejnya. Sangat malang bagi sesiapa yang tidak mebezakan di antara
Islam dan Melayu, seperti Arab yang tidak membezakannya dengan Islam. Islam
pernah memperkasakan Arab dan Arab tumbang setelah menjadikan Islam hanya
kebanggaan sejarah tanpa amalan yang sempurna, walaupun memiliki kekayaan
melempah ruah.
Begitulah maknanya, tegakkan Islam bersama PAS Melayu selamat dan semua kaum
selamat. Tegakkan Melayu bersama UMNO, Islam hanya menjadi jenama yang ditampal
pada kotaknya sahaja, tanpa isinya yang sebenar. Samalah seperti meletakkan
ubat batuk pada kotak yang berjenamakan ubat gatal.
Cukuplah menegakkan Islam ala UMNO yang bergantung dengan politik wang, pangkat
dan tawaran mewah bersamanya tanpa jati diri yang sebenar. Hanya menjadi
penyakit yang memakan diri laksana pemelihara hantu yang menjadikan
tuannya, makan tidak kenyang walaupun makan sebanyak-sebanyaknya.
Melayu yang perkasa bersama UMNO, hanya sekadar bertempik menghunus keris
taming sari sesama sendiri sehingga negeri dijajah. Merekalah baka yang
menyerah diri kepada penjajah dahulu dan mewarisi kemerdekaan yang
diletak di atas dulang emas dan menerimanya dengan melalui hamparan
permaidani dan taburan bunga. Sejarah tetap tidak boleh dibohongi bagaimana
golongan Islam bermandi darah dan air mata menentang penjajah walaupun
disembunyikan di bawah tikar yang hina.
PAS ditubuhkan menjadi mata rantai kumpulan Islam terdahulu yang pernah
diharamkan silih berganti. PAS tetap Istiqamah dengan Islamnya menyatakan Islam
adil terhadap semua manusia. Bukan hanya Arab dan Melayu sahaja atau hanya
penganut Islam sahaja. Islam adalah rahmat Allah kepada seluruh alam. PAS boleh
bekerjasama dengan semua pihak dan tegas berpegang kepada dasarnya dan boleh
bertasamuh mengikut batas-batas Allah.
PAS pernah bersama UMNO di tahun 70-an dan menubuhkan Barisan Nasional
bersama UMNO dan rakan-rakannya. Penyertaannya dengan keputusan Muktamar
Khas supaya teguh membawa mesej Islam secara tahaluf siyasi. Ketika
bersama UMNO, PAS memecat sesiapa kalangan ahlinya, termasuk ahli
parlimennya yang berjoget dan minum arak bersama UMNO.
Kemudian PAS dihalau keluar daripada Barisan Nasional tahun 1978 dan selepas
itu kerajaan PAS Kelantan dijatuhkan dengan perisytiharan darurat yang
diluluskan oleh UMNO dan rakan-rakannya melalui sidang khas parlimen dan
pilihan raya khas selepas itu. Lalu PAS bersendirian mara ke hadapan
dengan cita-cita Islamnya. PAS adalah tersendiri, tidak sama dengan UMNO.
Maka PAS tidak perlu berkiblat ke arah UMNO dan berimam mengikut arah
kiblatnya, kerana kiblat politiknya salah. Tegasnya PAS tidak menghalang ahli
DAP minum arak, makan babi, berjudi dan sebagainya. Tetapi PAS memecat kalau
ahlinya melakukan perkara yang sama.
PAS pernah mengadakan tahaluf siyasi dengan Parti Melayu Semangat-46 yang
berpecah daripada UMNO. Parti Semangat-46 pula mengadakan kerjasama dengan DAP.
Parti ini tidak ada lagi dan gagasan yang dinamakan Angkatan Perpaduan Ummah
yang menggabungkan PAS, Parti Melayu Semangat-46, Berjasa dan Hamim sudah
tamat. Akhirnya PAS mengadakan tahaluf siyasi bersama Parti
Keadilan Nasional yang juga berpecah daripada UMNO. Kemudian diiikuti pula
tahaluf siyasi dengan DAP.
PAS mengucapkan terima kasih kepada UMNO dan media yang menjadi
khadamnya, kerana sangat bersimpati terhadap PAS, kerana kononnya
bimbang PAS akan menjadi parti melukut di tepi gantang.
Percayalah orang Melayu Islam tidak akan hilang jati dirinya bersama-sama
dengan PAS selagi PAS tidak meminda kedudukan Islam sebagai dasar dalam
perlembagaannnya, seperti Melayu bersama UMNO sehingga tidak bermaya di
Singapura, Pulau Pinang dan lain-lain.
Kaum lain dalam kalangan bukan Islam pula jangan takut bersama PAS, kerana kumpulan
dan gerombolan yang mengapi-apikan semangat perkauman dan fanatik buta agama
berada dalam UMNO atau bersekongkol bersama UMNO.
Di sepanjang kerjasama PAS dalam tahaluf siyasi tidak pernah rugi. Walaupun
ditendang dan dipandang lekeh. Kerjasama PAS dalam BN di awal tahun 70-an dan
sehingga akhirnya tidak rugi dengan kehilangan Kelantan setelah PAS ditendang
keluar.
Pengaruh PAS dalam kerajaan berjaya masuk ke dalam jasad jentera kerajaan dan
institusi pengajian dalam negara dan luar negara dan bertunjang sehingga hari
ini dan mereka adalah bakal menjadi jentera pentadbiran PAS dalam Pakatan
Rakyat sekiranya berjaya.
Kerjasama PAS bersama Angkatan perpaduan Ummah (Parti Melayu Semangat-46 dan
DAP) tahun sembilan puluhan berjaya menawan Kelantan sehingga hari ini.
Kerjasama PAS dengan Barisan Alternatif dan kemudiannya Pakatan Rakyat berjaya
menawan Terengganu pada tahun 1999 walaupun hanya satu penggal kerana
ditumbangkan dengan zalim.
Tahun 2008 pula berjaya menawan lima negeri dan PAS memimpin tiga negeri iaitu
Kelantan, Kedah dan Perak. Manakala Selangor dipimpin Parti Keadilan
Rakyat dan DAP memimpin Pulau Pinang. Walaupun dijatuhkan begitu rupa di
Perak. Inilah sinario tahaluf siyasi yang dilaksanakan selama ini.
Kerjasama tahaluf siyasi mutakhir ini berjaya memecahkan tembok yang melindungi
pandangan bukan Islam terhadap Islam. Usaha media berbagai bahasa termasuk
bahasa Melayu beragama Islam bagi mengelirukan menemui kegagalan.
Sehingga akhirnya mendedahkan kepura-puraan UMNO berjuang menegakkan hukum
Hudud laksana ayam jantan kukuk berderai pada hal ekornya
bergelimang tahi sejak lebih lima puluh tahun. Sebenarnya UMNO adalah penghalang
besar kepada perlaksanaan Islam kerana telah berkuasa di peringkat negeri dan
pusat.
Ketahuilah bahawa pengajian politik bukan sahaja tersurat dalam tulisan buku
dan pengajian akademik di bilik kuliah. Terpenting juga ialah ijtihad
dengan Istiqamah di tengah medan perjuangan. PAS mempunyai semua aspek ini
dengan beristiqamah kepada ajaran Islam yang menjadikan Akidah dan teras kepada
semua amalannya.
Negeri Kelantan adalah satu-satunya negeri paling lama diperintah oleh PAS
sejak tahun 1959 sehingga 1977 dan kali kedua 1990 sehingga kini adalah
penyumbang besar kepada kejayaan Melayu Muslim dalam bidang pendidikan,
perkhidamatan awam, keselamatan dan ekonomi.
Diikuti pula Terengganu Tahun 1959 sehingga 1961 dan kali kedua 1999 sehingga
2004 dan Kedah 2008 sehingga kini. Apabila giliran PAS dikurniakan kemenangan
di negeri-negeri ini maka secara automatik menjadi sasaran UMNO bagi
melemah dan menjatuhkannya di atas nama Melayu dan Islam. Paling malang
menggunakan kedudukannya menguasai kerajaan pusat dan melanggar konsep
demokrasi dan federalisma.
Mengepung media dan menyusahkan pentadbiran dan kewangan negeri-negeri ini,
sehinggalah merampas royalti petroleum di Terengganu dan menafikan hak
Kelantan. Namun perkara ini tidak pernah dilakukan kepada Singapura
ketika dalam Malaysia, Pulau Pinang di bawah Parti Gerakan sebelum BN dan Sabah
dibawah PBS. Inilah hakikat UMNO dengan Melayu dan Islam anutannya.
Kepada semua pihak yang bersimpati dengan PAS, saya tegaskan, percayalah kepada
kami dengan semua pengalaman yang tersebut dan hilangkan khurafat beriman
kepada UMNO parti Maha Esa.
Kepada ahli dan penyokong PAS saya nasihatkan supaya merujuk kepada sumber ilmu
Islam yang ada dalam PAS, bukannya belajar melalui media yang bersukan dengan
Islam dan berniaga dengan politik. PAS tetap berpegang bahawa politik adalah
amanah terbesar daripada Allah. Bahagialah mereka yang menunaikannya dengan
istiqamah dan celakalah mereka yang mengkhinatinya. Pikul amanah ini secara
berjamaah jangan berseorang diri dan memencilkan diri.
Pesanan Rasulullah ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam, “Sesiapa yang memencilkan diri daripada
jamaah akan ditawan syaitan, laksana serigala yang menawan kambing yang
terpencil daripada kawanannya.”
Maka amat bodoh kalau ditipu oleh syaitan yang
dikenali.
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS.
Ulasan
Catat Ulasan