Imam al-Ghazali dan Falsafah
PENGLIBATAN IMAM AL-GHAZALI DALAM FALSAFAH
Menurut Azizah Zakaria (2004), kepakaran
al-Ghazali dalam bidang falsafah adalah dalam konteks benar-benar menepati
makna ilmu falsafah itu sendiri iaitu ilmu pengetahuan yang mencari hakikat
segala yang ada atau seperti definisi yang diberikan oleh al-Farabi iaitu
falsafah ialah ilmu pengetahuan tentang alam maujud dan bertujuan menyelidiki
hakikat yang sebenar. Bahkan menurut beliau, al-Ghazali sendiri secara jujur
mengakui bahawa telah menjadi kedahagaannya sejak dari usia remaja untuk
mengkaji hakikat ilmu pengetahuan dan beliau telah berusaha dengan segala
keupanyaan untuk mencapai matlamatnya itu demi mencapai kedudukan di puncak
kebenaran dan ‘ilm al-Yaqin, oleh itu beliau secara ekstrem menolak
amalan taklid.
Menurut Azizah Zakaria (2004) lagi, kepakaran
al-Ghazali dalam bidang falsafah telah memaksa beliau untuk mengkritik dan
membongkar kelemahan dan kerosakan pemikiran ahli-ahli falsafah serta teori-teori
mereka yang bertentangan dengan ajaran dan akidah Islam, khususnya dalam
persoalan-persoalan tentang ketuhanan dan beberapa aspek dalam sains tabii. Al-Ghazali
telah membuat kritikan terbuka terhadap ahli-ahli falsafah dalam karyanya al-Tahafut
al-Falasifah yang mana beliau telah memberikan kritikan terhadap ahli
falsafah Greek seperti Aristotle, Socrates dan Plato berasaskan pandangan Islam.
Kritikan-kritikan al-Ghazali terhadap beberapa
aliran falsafah membuktikan bahawa beliau benar-benar menguasai bidang ilmu
ini, malah menurut Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi, al-Ghazali adalah tokoh pertama
yang telah mendalami bidang sains kenegaraan dan falsafah sehingga berjaya
menghasilkan Maqasid al-Falasifah. Dalam karyanya ini, al-Ghazali
menjelaskan teori-teori, aliran falsafah dan tujuan ahli-ahli falsafah secara
terperinci dan bersifat terbuka.
Menurut Khairul Bariah Md Khair (1999)
menukilkan daripada daripada Sulayman Dunya bahawa karya al-Ghazali mencapai
jumlah 300 buah kesemuanya yang mana sebahagian besarnya musnah akibat serangan
orang Monggol yang telah membakar kota Baghdad pada abad ke-13. Beliau
menyatakan bahawa karya al-Ghazali dalam falsafah ialah:
a) i) Maqasid al-Falasifah (Tujuan Ilmu Falsafah)
Ini merupakan karya pertama al-Ghazali ketika
usia mudanya sekitar 25 – 28 tahun. Hasil karya ini mendapat mendapat perhatian
di Sepanyol dan eropah pada abad ke-12 dan ke-13.
ii) Hasil karya al-Ghazali ketika berada di
Baghdad sewaktu usianya menjangkau 35 - 38 tahun. Karya ini menunjukkan
al-Ghazali berusaha membuktikan kebebasan mutlak Tuhan dan keterbatasan akal
manusia untuk mengetahui masalah-masalah ketuhanan.
c) iii) Ma’rifah al-Aqliyah (Ilmu Pengetahuan yang Rasional)
Buku ini pula mengungkapkan asal-usul ilmu
yang rasional seterusnya berkaitan matlamat dan tujuan ia menghasilkannya.
Sukar untuk dinafikan bahawa karya-karya yang
dihasilkan oleh al-Ghazali begitu masyhur kerana perbahasannya baik dan
bersistematik di samping curahan ilmunya yang luas (Khairul Bariah Md Khair, 1999).
Menurut Mohd Zaki Ahmad (2013) al-Ghazali
membahagikan golongan yang membahaskan falsafah kepada tiga iaitu ateis,
nautral dan teologi. Golongan ateis ialah golongan yang mengingkari wujudnya
pencipta yang mentadbir seluruh alam ini. Manakala golongan natural ialah
golongan ilmuan yang banyak mengkaji berkaitan dengan tabiat, kejadian dan
anatomi manusia, tumbuhan serta haiwan. Golongan teologi pula membincangkan
soal-soal ketuhanan seperti Plato, Aristotle dan Socrates. Golongan ini
membahaskan perkara-perkara berkaitan tuhan dengan bersumberkan akal.
Al-Ghazali merupakan individu pertama yang
mengklasifikasikan ilmu falsafah kepada enam iaitu matematik, mantik, fizik,
ketuhanan, siasah dan akhlak. Metodologi yang diasaskan oleh al-Ghazali ini
adalah jelas dan dan terperinci.
Pengajaran
Menurut Mohamad Kamil Hj. Ab. Majid, Rahimin
Mohd Affandi Abd Rahim & Ridzuan Ahmad (2007) penting kepada para ulamak
untuk menerapkan paradigma proaktif apabila berhadapan dengan sesuatu masalah
yang timbul di dalam masyarakat. Ianya membabitkan penyelidikan lapangan
ataupun content analisis (analisis kandungan) terhadap sesuatu masalah
pilihan. Hal ini boleh dilihat dari dua contoh yang utama;
Penggunaan tiga bentuk Ta’lil (usaha
intelektual untuk menemukan alasan ataupun maksud) sesuatu perintah Allah iaitu:
a) i) Takhrij al-manat: Kajian sebab utama penetapan hukum daripada nas.
b) ii) Tanqih al-manat: Memilih dan menguji hipotesis yang terhasil daripada usaha
c) iii) Tahqiq al-Manat: Memastikan ketepatan sebab (‘illah) hukum dengan masalah sebenar yang timbul dalam masyarakat.
Beliau telah melakukan penyelidikan ilmiah
(lapangan) terhadap gerakan Batiniah dan golongan yang terpengaruh dengan
falsafah Yunani secara melampaui, dengan mengkaji dan meneliti bahan sumber
kedua golongan tersebut, yang seterusnya diikuti dengan ulasan dan jawapan
ilmiah yang mendedahkan kesilapan pegangan kedua golongan tersebut.
Menurut mereka lagi zaman moden kini, kita
patut menerima pakai pendekatan yang diletakkan oleh al-Ghazali bagi menolak
pendekatan ala tradisionalis yang memusuhi segala elemen pemodenan Barat,
termasuklah globalisasi yang kononnya ciptaan musuh Islam yang boleh merosakkan
akidah umat Islam. Dalam soal ini, Wan Mohd. Nor Wan Daud telah menempelak
hebat sesetengah sarjana Islam sendiri yang telah dijangkiti penyakit westophobia,
sikap takut dan benci yang tidak rasional terhadap barat. Secara asasnya,
penyakit ini adalah serpihan daripada penyakit akal, xenophobia yang
menyebabkan penghidapnya sentiasa takut kepada unsur-unsur luar.
Menurut Mohd Zaki Ahmad (2013) al-Ghazali dapat
menyelamatkan akidah umat Islam daripada terus direntap oleh fahaman falsafah
ketuhanan Yunani yang tidak bertauhid dengan agama Islam yang suci. Al-Ghazali
berjaya mempertahankan kemurnian Islam sekali gus dapat mengelak amalan
mengagungkan falsafah Yunani tanpa menyedari ia bertentangan dengan akidah
Islam.

Ulasan
Catat Ulasan