Hubungan Kerajaan Uthmaniyyah dengan Kerajaan Melayu
Ada dua wanita dari Kerajaan Uthmaniyyah yang dihantar ke kerajaan Melayu untuk menjalinkan hubungan diplomatik ialah Khadijah Hanum dan Ruqayyah Hanum.
Khadijah Hanum berkahwin dengan Sultan Abu Bakar bin Temenggong Daeng Ibrahim dari Johor manakala Ruqayyah Hanum berkahwin dengan adiknya Sultan, Engku Abdul Majid bin Temenggong Daeng Ibrahim.
Peranan Ruqayyah Hanum lebih besar, kerana beliau berkahwin 3 kali. Selepas Engku Abdul Majid beliau berkahwin dengan Menteri Besar pertama Johor iaitu Dato' Jaafar Muhammad, dan kemudian dengan seorang usahawan berjaya Syed Abdullah al-Attas.
Hasil dari perkahwinan dengan Engku Abdul Majid muncul dari keturunannya, individu-individu seperti seorang ilmuan Professor Diraja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abd Majid (28 Januari 1922 - 15 Disember 2020) dan anaknya Tan Sri Dr Zeti Ungku Abd Aziz yang merupakan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia.
Manakala hasil perkahwinan bersama Syed Abdullah al-Attas pula munculnya dari keturunannya ilmuan-ilmuan gergasi seperti Almarhum Prof Dato' Dr Syed Hussein al-Atas (17 September 1928 - 23 Januari 2007; abang kepada Naquib al-Attas) dan Prof. Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, dan anak-anak mereka seperti Dr Syed Farid al-Attas (Profesor di Jabatan Sosiologi Universiti Nasional Singapura), Dr Sharifah Munirah Binti Syed Hussein Alatas (Pensyarah Sains Sosial & Kemanusiaan UKM) dan Dr Ali Tawfiq al-Attas bin Syed Muhammad Naquib (bekas Ketua Pengarah IKIM; 1 Jun 2005 - 1 Jun 2009).
Mereka juga adalah kaum kerabat bersama ulama dan Imam masjid Ba'alawi Singapura, Habib Hasan al-Attas.
Dari perkahwinan bersama Dato' Ja'afar Muhammad pula lahirnya Dato' Onn Ja'afar, pengasas UMNO, Tun Hussein Onn, dan Dato' Seri Hishammuddin Tun Husein (kini: Menteri Luar Negeri).
Jadi kesan dari hubungan yang terjalin antara Turki dan kerajaan Melayu sangat besar yang melahirkan individu-individu yang memberi sumbangan besar pada umat Islam pada peringkat nasional dan antarabangsa.
Dengan ini juga melihat dekatnya hubungan intelektual-intelektual negara dengan kerajaan Diraja Johor.
Khadijah Hanum
Baginda merupakan isteri keempat Sultan Abu Bakar ibn Temenggong Ibrahim. Baginda dilahirkan di Istanbul, Turki. Nama sebenar baginda ialah Khadijah Hanum. Baginda bertemu jodoh dengan Sultan Abu Bakar pada tanggal 22 September 1893. Baginda ditabalkan sebagai Sultanah Johor di Istana Zahra pada 28 Februari 1894. Baginda berketurunan Circassian dan berasal dari Istanbul. Selepas kemangkatan Sultan Abu Bakar, baginda berkahwin sekali lagi dengan H.E Muhammad Kiamil Bey, Ottoman Konsul Jeneral di Batavia, Singapore dan Liverpool pada 27 Disember 1898 di Singapura. Baginda mangkat di Woodneuk, Tanglin Singapura pada 1 Februari 1904 dan dimakamkan di Makam Temenggong, Teluk Belanga. Baginda mempunyai seorang puteri iaitu YAM Tunku Fatimah Binti Almarhum Sultan Abu Bakar.
Tulisan asal oleh Tun Mamat dengan sedikit olahan.


Ulasan
Catat Ulasan