Analisis: Ikhwan Muslimin, Ikhwan Alami dan IRC Part I

Ikhwan Muslimin, Ikhwan Alami dan IRC Part I

Dalam tulisan yang lepas, saya membuka lembaran sejarah ringkas kaitan gerakan jemaah yang ada berkait dengan sosok tubuh saudara Abu Urwah atau Nama sebenarnya Sa'ari Sungip (YB). Dalam tulisan kali ini, saya cuba untuk memberi gambaran ringkas tentang pergolakan yang berlaku di peringkat global sehingga membawa kepada datangnya dugaan di tanah air kita kesan dari pergolakan ini.

Umumnya kita mengetahui bahawa jemaah Ikhwan Muslimin (IM) diasaskan oleh Al-Imam Hassan Al-Banna (Asy-Syahid) pada tahun 1928. Kemudian beliau memimpin IM selama 20 tahun sehingga syahid ditembak pada tahun 1948. Perkembangan IM begitu pesat kerana kesungguhan Al-Imam Asy-Syahid dan rakan-rakannya untuk meniup semangat ISLAH dalam dunia ISLAM bermula di Mesir bagi mengembalikan khilafah atas manhaj Nubuwwah. Usaha Al-Imam Asy-Syahid dipanjangkan sehingga melangkaui Syria, Iraq dan lain-lain melalui hubungannya di Universiti Al-Azhar dan Darul Ulum yang diasaskan Oleh Syeikh Rashid Ridha dan rakan-rakannya. Dalam masa yang sama, terdapat usaha Al-Imam Asy-Syahid memanjang ke jazirah Arab apabila tiba musim haji di Mekah dan Madinah. Sehingga ada cerita menyebutkan Imam Hassan Al-Banna pernah berjumpa Malik Faisal untuk mewujudkan IM di jazirah Arab. Maka tidak hairanlah ketika mana ahli-ahli Ikhwan menjadi buruan di Mesir, Arab saudi menjadi antara tempat menerima pelarian Ikhwan seperti Ayeikh Said Hawwa', Syeikh Muhammad Qutb, Syeikh Abdul Rahman kisk, Syeikh Muhammad Al-Ghazali, dan banyak lagi tokoh tokog besar ilmuan yang berada dalam lingkungan IM.

Kesan pengaruh IM di Al-Azhar juga menyebabkan fikrah IM bertebaran di dunia Arab meliputi Syria, Iraq dan lain-lain. Namun dugaan yang dihadapi IM di Mesir cukup kuat sehingga tanzim IM di Mesir perlu bergerak secara rahsia. Disiplin yang ditanam cukup tinggi sehingga menatijahkan strategi-strategi yang pelbagai. Akhirnya terdapat ahli IM yang bergerak di luar lingkungan tanah Arab dan bergerak di Eropah terutama di UK dan lain-lain dengan menjadi pensyarah dan bekerja di Eropah. Malah, sehingga mampu mendirikan pusat pengajian ISLAM yang diiktiraf di UK sehingga hari ini. Pusat-pusat pengajian ISLAM di Leed, Ireland dan beberapa tempat hasil usaha yang dibuat oleh mereka yang ada simpati terhadap perjuangan ISLAM. 

Malah, penghijrahan ke Eropah dan US, menemukan mereka dengan gerakan-gerakan ISLAM dari Pakistan dan benua kecil India yang turut ditindas di dalam negara mereka. Dalam masa yang sama, kekejaman Saddam Hussim di Iraq, menyebabkan ramai tokoh Ikhwan dari Iraq keluar merantau ke seberang Eropah dan US seperti Taha Jaber Al-Wani dan lain-lain. PAS pernah menghantar pelajar-pelajar ke Iraq di akhir dekad 60-an yang akhirnya pulang ke Tanah Melayu menjadi tokoh seperti Ustaz Hassan Shukri (almarhum), Ustaz Hasim Jasin, Ustaz Dahlan Mohd Zain (almarhum), Syed Jaafar Albar (abang Datuk Syed Hamid Albar) dan beberapa nama lain.

Kerencaman ini telah menatijahkan sesuatu berlaku dalam gerakan jemaah ISLAM termasuklah IM. Maka, terwujudlah satu fraksi yang baru dari serpihan IM untuk membentuk Ikhwan Alami. Oleh kerana mereka semua ini pernah bersama dalam IM, mereka punyai metod tarbiyyah yang sama dan dibawa bersama untuk mengkaderkan orang baru. Maka dari sinilah terbit dan mulanya isu Taadud Jemaah yang akhirnya di bawa ke Tanah Melayu. Di Mesir, selain berlaku perebutan antara Umno dan PMRAM, berlaku juga perebutan rekrut antara ABIM, Ikhwan Alami dan jemaah yang lain. Di Eropah yang berpusat di UK, Islamic Representatives Council (IRC) yang mempunyai hubungan dengan tokoh-tokoh Ikhwan di sana turut membina jaringan. Saya pernah mendengar cerita dari Dr Yaakob Yusof (YY) tentang beliau pernah bergaduh dengan Dr Dzulkefly Ahmad ketika belajar di UK tahun 1970-an. Isunya adalah berkenaan gerakan pelajar di sana.

Di balik perpecahan ini, apabila pulang ke Asia Tenggara, Ikhwan Alami dan IRC seakan-akan satu badan. Mereka boleh bekerjasama menyusupi jemaah yang sedia ada di Malaysia dan Indonesia. Ini boleh dikesan kerana murabbi-murabbi mereka dan generasi mereka mempunyai hubungan yang amat erat dalam kalangan masing-masing tetapi bergerak secara rahsia. Metodologi di Mesir masih dipakai di Tanah Melayu walaupun waqi'e dan realiti Malaysia tidak sebegitu teruk berbanding di Mesir, Iraq , Syria dan Pakistan.

Selepas tahun 1976, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (TGHH) pulang ke Malaysia dan terus berkhidmat dengan PAS. TGHH pernah bercerita bahawa beliau sempat berusrah dengan IM di sana dan menjadi rujukan kepada jemaah yang baharu berada ketika itu. Antara tokoh yang pernah disebut TGHH pernah bertemu di Mesir ialah Ustaz Zawawi Ali, Dr Parid dan beberapa yang lain lagi yang membuat usrah untuk pelajar di Malaysia. Selepas TGHH pulang ke Malaysia, berlaku pertembungan dalaman Ikhwan dan seterusnya berjangkit kepada pelajar Malaysia ketika itu. Yang berpengalaman berhadapan dengan isu ini ketika itu ialah Ustaz Dato' Harun Taib (almarhum) dan rakan-rakannya. Yang masih hidup yang boleh dirujuk ialah rakan baik Ustaz Dato' Harun Taib iaitu Ustaz Muhd Zain, Ketua Dewan Ulama PAS Selangor.

Tokoh-tokoh inilah apabila kembali ke Malaysia, mereka bergabung dengan kumpulan IRC yang pulang dari Eropah, akhirnya mereka membentuk satu jemaah Belakang Tabir yang berwadahkan IRC dan Ikhwan Alami yang ada sebelum ini. Usaha-usaha belakang tabir ini dikesan apabila pendedahan demi pendedahan dibuat antaranya oleh ayah Hassan Firdaus dalam buku kecilnya, kemudian rahsia dokumen Harakah Islamiyah Syumuliah (HIS) yang dijumpai di Shah Alam di zaman berlakunya krisis yang dimulakan oleh Mustafa kader yang ketika itu pimpinan PAS Shah Alam.

Sejarah gerakan ini, boleh sangat diketahui secara akademik melalui kajian PhD dan Master oleh Dr Ramlah Adam, Dr Badlihisham Mohd Nasir yang berfokus kepada ABIM dan PAS.

Era 1980-an sehingga 1990-an, tokoh-tokoh IRC juga mewarnai Lajnah Tarbiyah PAS apabila ketika itu, Universiti Malaya menjadi antara sumber utama kaderisasi yang bergerak dalam gerakan ISLAM. Malah kesan dari tarbiyyah di UM juga, membentuk satu lagi aliran yang boleh disebut sebagai aliran Republik ISLAM UM yang mewarnai politik kampus ketika itu sehingga mengisi kekosongan-kekosongan dalam Dewan Pemuda PAS di zaman tersebut. Tokoh-tokoh pelajar UM ketika itu seperti Dato' Paduka Husam Musa (YB), Ustaz Muhd Hussin, Ustaz Muhd Taib Ahmad, Datuk Shabery Cheek (YB) dan lain-lain. Namun, variasi-variasi ini dapat dikawal dan diselia dengan tokoh-tokoh yang wujud dan punyai karisma ketika itu seperti Ustaz Abdul Halim Arshat dan Ustaz Dato' Abu Bakar Chik (almarhum) yang mempunyai resume perjuangan di peringkat kampus yang cukup hebat dan tak tertanding oleh pihak yang lain.

Tokoh-tokoh IRC ini, dalam merangka objektif Jemaah mereka, mereka juga merangka disiplin disiplin dan kerangka kertas kerja yang boleh digunakan apabila menyusupi masuk dalam jemaah yang sedia ada ketika itu. Ketika era 1980-an , hanya ada dua Jemaah yang menjadi sasaran iaitu ABIM sebagai NGO dan PAS sebagai sebuah parti politik yang mana sebahagian kisah ini telah saya sebut dalam artikel sebelum ini.

Kemelut yang berlaku hasil kontreversi yang diwujudkan oleh IRC adalah kerana mereka mempunyai agenda sendiri dan tidak bertolak ansur dengan kepimpinan dalam jemaah yang mereka sertai. Inilah yang diluahkan oleh ayah Hassan Firdaus (seorang tokoh akedemik yang dirahsiakan nama) dalam buku kecilnya. Wujudnya JIM, adalah manifestasi awal untuk mereka mewadahkan perjuangan mereka secara terbuka. Namun, kumpulan-kumpulan ini tetap berpecah sehingga mewujudkan lagi serpihan-serpihan lain seperti ISMA dan IKRAM. Kemuncak pertelingkahan sesama sendiri ini boleh dilihat daripada NGO AMAN PALESTINE dan AQSA SYARIF bagi membantu perjuangan rakyat Palestin. Kalau difikirkan secara logik, kenapa perlu NGO yang banyak sedangkan tujuan yang sama? Tidak lain dan tidak bukan ialah berlaku perselisihan yang besar di kalangan mereka.

Cukup sekadar ini untuk kali ini, akan datang kita akan cuba belek pula hubungan Ikhwan Alami sehingga terdapat jaringan IIIT, WAMY dan lain lain.

Ahmad Hakimi Othman,
Kuala Selangor.

Ulasan

  1. Assalamu'alaikum WBT.

    Tumpang tanya.

    Kalau di Malaysia, siapa yer wakil Ikhwan Muslimin?

    BalasPadam

Catat Ulasan