Penyelamat daripada Azab Kubur
Penyelamat daripada
Azab Kubur
1- Saidina Anas Radhiyallahu ‘Anhu melaporkan bahawa
Rasulullah ShallaLlahu ‘Alihi wa Sallam bersabda:
“Ada orang yang meninggal dunia
dan dia tidak pernah membaca al-Quran selain surah Tabaraka. Setelah diletakkan
di dalam kubur, malaikat datang kepadanya. Surah itu menjadi marah maka
malaikat mengatakan kepadanya, ‘Kamu adalah salah satu bahagian daripada yitab
Allah dan saya tidak mahu menyakitimu, sedangkan saya sendiri tidak mempunyai
kuasa memberi manfaat ataupun mudarat kepadamu, kepadanya, bahkan kepada
diriku. Apabila kamu mahu dia tidak diseksa, pergilah menghadap Allah Subhanahu
wa Ta’ala dan mohonkanlah syafaat untuknya.’
Maka dia pun pergi menghadap
Allah Subhanahu wa Ta’ala dan berkata, ‘Wahai Tuhanku, antara surah dalam
kitab-Mu si fulan sengaja memilih aku; dia mempelajari dan membacaku. Apakah setelah
itu Engkau membakarnya dengan api dan menyeksanya, sedangkan aku berada di
dalam tubuhnya? Sekiranya Engkau benar-benar melakukannya maka hapuskanlah aku
daripada kitab-Mu.’
Allah Subhanahu wa Ta’ala
menjawab, ‘Aku lihat kamu benar-benar marah.’
Surah Tabaraka menjawab, ‘Aku berhak
berasa marah.’
Maka Allah berkata, ‘Pergilah,
dia sudah Ku berikan kepadamu dan Aku memberi izin kepadamu bagi memberi
syafaat kepadanya.’
Lalu dia datang semula ke kubur
dan malaikat tidak berani lagi menengking. Malaikat keluar dengan wajah yang
lesu. Surah Tabaraka datang lalu meletakkan mulutnya ke dalam mulut orang itu
seraya berkata, ‘Selamat datang mulut ini, dia sering membacaku. Dan selamat datang
dada ini, dia sering membacaku. Dan selamat datang kedua kaki ini, keduanya
sering berdiri dan berjalan keranaku.’
Lalu surah itu menemaninya di
dalam kubur supaya dia tidak berasa takut ketika sendirian.
Ibnu Asakir mengatakan, “Setelah
Rasulullah menceritakan hadis ini kepada orang ramai sama ada orang yang muda
ataupun tua, merdeka ataupun hamba sahaya, semuanya berlumba-lumba
mempelajarinya dan Rasulullah ShallaLlahu ‘Alaihi wa Sallam sendiri
menamakannya sebagai si penyelamat.”
[Direkodkan oleh
Ibnu Asakir dalam Tarikhnya dengan sanad yang lemah]
2- Saidina Ibnu Mas’ud
Radhiyallahu ‘Anhu berkata bahawa apabila seseorang meninggal dunia, api
dinyalakan di sekelilingnya. Api ini akan memakan apa sahaja yang ada di
sampingnya sekiranya dia tidak mempunyai amal kebaikan yang dapat melindunginya.
Sekiranya seseorang yang meinggal
tetapi tidak pernah membaca al-Quran kecuali suarah Tabaraka, maka surah itu
mendatanginya melalui kepala dan berkata, “Dia selalu membacaku.”
Surah ini mendatangi kedua
kakinya dan berkata, “Dia berjalan hanya keranku.”
Ia mendatangi perut si mati dan
berkata, “Dia memeliharaku.”
Maka surah itu menyelamatkan si
mati daripada seksa kubur.
[Direkod dalam
Abu Ubaidah dalam al-Fadha’il dan Imam Baihaqi dalam Dala’ilu an-Nubuwwah]
3- Khalid bin Ma’dan (antara Tabi’en yang terkenal) dan
berkata bahawa beliau diberitahu surah Alif Lam Mim Tanzilun (Surah as-Sajdah) akan
membela pembacanya di dalam kubur.
Surah ini akan berkata, “Wahai Allah,
sekiranya saya memang termasuk kitab-Mu maka izinkanlah saya memberi syafaat
kepadanya, dan sekiranya saya tidak termasuk kitab-Mu, maka hapuskanlah saya.”
Surah itu seperti seekor burung yang mengepakkan
kedua sayapnya lalu memberikan syafaat dan melindungi si mati daripada seksa kubur.
[Direkod oleh ad-Darimi dalam Musnadnya]
4- Saidina Jabir Radhiyallahu ‘Anhu melaporkan bahawa setiap
kali Rasulullah ShallaLlahu ‘Alaihi wa Sallam hendak tidur, Baginda terlebih
dahulu membaca surah Alif Lam Mim Tanzilun (Surah as-Sajdah) dan Tabaraka
(Surah al-Mulk).”
[Direkodkan oleh Imam ad-Darimi dan
at-Tirmidzi]
5- Seorang penduduk Yaman yang soleh melaporkan bahawa
seseorang meninggal dunia lalu dikuburkan. Apabila orang ramai pulang, beliau
mendengar dari dalam kubur suatu bunyi pukulan yang keras kemudian seekor anjing
berwarna hitam keluar dari situ.
Orang soleh itu bertanya kepadanya, “Siapakah
kamu?”
Anjing itu menjawab, “Saya adalah amal
perbuatan si mayat.”
Orang soleh itu bertanya lagi, “Pukulan
yang ku dengar tadi, kepadamu ataupun kepada si mayat?”
Anjing itu menjawab, “Kepadaku. Aku mendapati
dalam dirinya ada surah Yasin dan saudara-saudaranya; mereka menghalang aku
daripada masuk kemudian aku dipukul dan diusir.”
[Direkodkan oleh Yafi’i dalam Raudhu
ar-Rayyahim]
6- Saidina Ibnu Abbas Radhiyallahu ‘Anhuma melaporkan bahawa
Rasulullah ShallaLlahu ‘Alaihi wa Sallam berkata:
“Barangsiapa yang mengerjakan solat dua
rakaat selepas solat maghrib pada malam Jumaat; dalam setiap rakaatnya dia
membaca Fatihatul Kitab satu kali dan Iza Zulzilat lima belas kali, maka Allah
mempermudahkan untuknya semasa sakaratul maut, melindunginya daripada seksa kubur
dan mempermudahkan untuknya menyeberangi titian sirat pada hari kiamat nanti.”
[Direkod oleh al-Isbahani dalam at-Targib]
Komentar: Guru
kami berkata, “al-Imam al-Isbahani tidak akan meriwayatkan hadis di dalam kitab
at-Targib wa Tarhib melainkan hanya hadis yang sohih sahaja.
7- Saidina Anas Radhiyallahu ‘Anhu meriwayatkan bahawa
Rasulullah ShallaLlahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda:
“Barangsiapa
meninggal dunia pada hari Jumaat, dia dilindungi daripada seksa kubur.” [Direkodkan
oleh Abu Ya’la]
Ulasan:
Sebahagian
Ulamak Hadis mengatakan bahawa, orang yang mati pada hari Jumaat terselamat
daripada seksa kubur hanya pada malam itu sahaja.
Berkata Sayyid
al-Habib Musa Kazim Ja’far as-Seggaf Hafizohullah, “Tiada orang fasik dan
munafiq mati pada hari Rabu melainkan hanya para Wali-wali Allah Ta’ala.”
8- Ikrimah bin Halid al-Mahzumi berkata:
“Barangsiapa meninggal dunia pada hari
Jumaat ataupun malam Jumaat, dia diberi iman dan dilindungi daripada seksa
kubur.”
[Direkodkan oleh Imam al-Baihaqi]
9- Saidina Anas bin Malik Radhiyallahu berkata bahawa seksa
kubur diberhentikan sepanjang bulan Ramadhan.
[Direkodkan oleh Imam al-Baihaqi dan
Ibnu Rajab merekodkan dengan sanad yang lemah daripada Anas bin Malik]
10- Yafi’i merekodkan dalam Raudhu ar-rayyahin bahawa
sebahagian wali berkata, “Saya memohon kepada Allah supaya diperlihatkan kepada
saya beberapa darjat penghuni kubur. Maka pada suatu malam saya melihat
beberapa kubur terbelah; antara mereka ada yang tidur di atas sutera yang
nipis, ada yang tidur di atas sutera yang tebal, ada yang tidur di atas
tumbuh-tumbuhan yang berbau harum, ada yang tidur di atas katil; antara mereka
ada yang menangis dan ada yang tertawa.”
Wali itu berkata, “Wahai Tuhan,
adakah Engkau mahu menyamakan kemuliaan mereka?”
Maka terdengar suara dari dalam
kubur, “Wahai fulan, ini adalah beberapa darjat amal perbuatan. Adapun pemilik
sutera nipis adalah mereka yang berakhlak mulia, pemilik sutera tebal adalah
para syhuada’, pemilik tumbuhan yang harum adalah para ahli puasa manakala
pemilik katil adalah orang-orang yang saling mencinta kerana Allah. Orang-orang
yang menangis pula adalah mereka yang berdosa sedangkan yang tertawa adalah
mereka yang bertaubat.”
Wallahu’alam.
Dipetik daripada kitab Rahsia
Alam Kematian & Alam Barzakh, al-Hafiz Jalaluddin Abdurrahman as-Suyuti
Rahimahullah.

Ulasan
Catat Ulasan