TPP tiada faedah: Pakar ekonomi
WARTAWAN SINAR HARIAN
SHAH ALAM - Pakar ekonomi menyifatkan perjanjian Perkongsian
Trans-Pasifik (TPP) tidak mempunyai kesan positif kepada pengguna sebaliknya
hanya memberi beban kewangan kepada golongan berpendapatan rendah.
Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Amir Baharuddin
berkata, walaupun perjanjian itu masih belum dimeterai, kerajaan perlu melihat
sejauh mana kesan TPP kepada orang ramai sebelum membuat keputusan muktamad.
"Saya tidak nampak perjanjian ini beri sebarang faedah kepada pengguna,
malah TPP lebih banyak beri kesan buruk kerana harga barang akan naik. Kerajaan
perlu lihat adakah kesan baik lebih banyak dari buruk atau sebaliknya sebelum
bersetuju menyertai perjanjian ini," katanya kepada Sinar Harian ketika
mengulas sama ada perjanjian TPP akan beri kesan secara langsung kepada
golongan berpendapatan rendah jika dilaksanakan.
Menurutnya, pengguna akan terima kesan akibat terma perjanjian tersebut yang
pastinya menguntungkan Amerika Syarikat (AS)sebagai kuasa utama ekonomi dunia
dan bukan negara lain.
"Kita perlu melihat sejarah lampau sebagai contoh dari perjanjian Pangkor
1874 sehingga perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), semuanya tidak
menguntungkan kita.
"Kita juga perlu ingat, jika AS tergesa-gesa untuk membuat sesuatu
perjanjian pastinya, perjanjian itu tidak akan beri kebaikan kepada orang
lain," katanya.
Selain Malaysia dan AS, sembilan lagi negara yang menyertai TPP adalah
Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan
Vietnam manakala Jepun dijangka menjadi negara ke-12 menyertai TPP semasa
rundingan seterusnya pada 15 hingga 25 Julai ini di Kuala Lumpur.
Perjanjian TPP dipercayai akan memberi kesan buruk kepada Malaysia terutama
dalam bekalan ubat-ubatan dan industri padi.
Amir berkata, kesan ke atas kedua-dua industri ini adalah yang paling ketara
kerana AS masih memegang autonomi terutama terhadap ubat-ubatan asli.
"Kesan terhadap padi pula adalah, jika AS menjual harga padi dengan murah,
ini akan memberi saingan hebat kepada syarikat tempatan. Kemungkinan
pengeluaran beras negara akan berkurangan," katanya.
Menurutnya, negara tidak dapat membeli barang yang lebih murah dari
negara-negara luar selain peserta TPP, dan kebanyakan barang keperluan pengguna
negara ini adalah produk AS.
Kajian Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menunjukkan TPP akan menaikkan
harga ubat-ubatan 60 hingga 80 peratus lebih tinggi berbanding sekarang.
Menurut laporan MTEM, AS mahu semua negara TPP bersetuju dengan hak Harta
Intelek (IP) yang hanya akan beri pulangan tinggi kepada syarikat farmasi
negara itu.
Difahamkan, penekanan kepada hak IP ini hanya memberi keuntungan kepada
syarikat gergasi kerana ubat generik, iaitu ubat lebih murah berbanding ubat
asli namun mempunyai kesan yang sama dalam perubatan, tidak akan dibenarkan
untuk dijual di pasaran negara peserta TPP.
TPP juga dijangka beri kesan buruk ke atas industri padi negara apabila beras
dari AS yang menerima subsidi tinggi kerajaan negara itu, turut dipasarkan di
Malaysia.
Bulan lalu, Kesatuan Kerjasama Pertanian Pusat Jepun turut menentang keputusan
kerajaan negara itu menyertai rundingan TPP kerana petani Jepun bimbang mereka
akan terpaksa bersaing dengan produk padi dari AS melalui penghapusan cukai
produk pertanian.
.jpg)
Ulasan
Catat Ulasan