Nasihat Ulama' kepada Khalifah
[Gambar Hiasan] Mantan Mufti Mesir, al-'Allamah Dr Ali Jum'ah Hafizohullah berucap dalam satu majlis bersama barisan para Masyaikh
Nasihat Imam
al-Auzaie kepada Khalifah Abu Jaafar al-Mansur
Al-Imam
Abdul Rahman bin Amru al-Auzaie yang terkenal dengan jolokan Allamah al-Syam
atau Faqib al-Syam. Pernah menceritakan tatkala beliau dijemput bertemu dengan
Amirul Mukminin Abu Jaafar al-Mansur. Dalam pertemuan, Imam al-Auzaie tidak
melepaskan peluang untuk berkongsi mutiara berharga. Beliau membuka bicaranya
dengan hadis yang bermaksud:
“Sesiapa
yang didatangi nasihat daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam urusan
agamanya, maka sesungguhnya ia merupakan nikmat daripada Allah Subhanahu wa
Ta’ala yang dikirimkan untuknya, sekiranya ia menerima dengan penuh kesyukuran.
Jika tidak sedemikian, ia akan menjadi hujah Allah Subhanahu wa Ta’ala ke
atasnya untuk menambahkan dosa dan menambahkan kemurkaan Allah Subhanahu wa
Ta’ala ke atasnya.”
[Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’bu al-Iman no. 7410, Ibn Asakir no. 15/202 dan
Ibn Abi ad-Dunya dalam Mawa’izh al-Khulafa]
Beliau
meneruskan lagi, “Wahai Amirul Mukminin, sesiapa yang membenci kebenaran maka
sesungguhnya ia membenci Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sedangkan Allah Subhanahu
wa Ta’ala itulah kebenaran yang nyata. Sesungguhnya hanya Allah Subhanahu wa
Ta’ala yang melembutkan hati-hati rakyat kamu tatkala menyerahkan urusan
pemerintahan ini kepada kamu. Disebabkan dekatnya kamu dengan Rasulullah
ShallaLlahu ‘Alaihi wa Sallam kerana Rasulullah ShallaLlahu ‘Alaihi wa Sallam
sangat berlemah lembut dan menyayangi serta sangat mengasihi mereka yang di
sekelilingnya. Padahal Baginda ShallaLlahu ‘Alaihi wa Sallam sangat terpuji di
sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala dan di sisi manusia. Oleh yang demikian, menjadi
kewajipan kamu untuk menegakkan dan menyempurnakan hak Allah Subhanahu wa
Ta’ala serta menegakkan keadilan dalam rakyatmu dan menutup keaiban mereka.”
“Oleh itu,
janganlah kamu mengunci pintu-pintu rumah kamu dan janganlah kamu jadikan
sesuatu penghalang daripada rakyatmu berjumpa denganmu. Bergembiralah dengan
nikmat kurniaan Allah Subhanahu wa Ta’ala bersama rakyatmu dna bersedihlah
bersama mereka terhadap bencana yang menimpa.”
“Wahai
Amirul Mukminin”, seru Imam al-Auzaie:
“Sesungguhnya kamu lebih menyibukkan
dirimu dan mengutamakan kepentingan peribadimu berbanding kepentingan dan
urusan menusia keseluruhannya. Kamu menguasai seluruh manusia sama ada mereka
yang berkulit merah atau berkulit hitam, mereka yang Muslim ataupun mereka yang
kafir, yang mana sudah menjadi kewajipan kamu terhadap mereka untuk menegakkan
keadilan. Bagaimanakah dengan keadaan kamu nanti jika segolongan daripada mereka
bangkit dan diikuti golongan lain yang sama turut bangkit? Tiada perkara yang
ingin mereka bangkitkan kecuali penyelewengan yang berlaku dalam pentadbiran
atau kezaliman yang dilakukan terhadap rakyat.” Penuh ketegasan.
“Wahai
Amirul Mukminin, jikalau sebuah kerajaan sebelum kamu itu kekal bagi mereka,
nescaya ia takkan sampai kepadamu hari
ini. Demikianlah juga, kerajaan kamu tidak akan kekal sebagaimana tidak
kekalnya sebelum kamu. Wahai Amirul Mukminin, sampai kepadaku pesanan Sayyiduna
Umar al-Khattab Radhiyallahu ‘Anhu yang bermaksud: “Sekiranya seekor anak
kambing mati di tebing Sungai Furat disebabkan kelalaianku, sesungguhnya aku
takut jika ditanya tentang ini.”
“Maka
sebagaimana mereka yang menidakkan keadilanmu sedangkan ia berada dalam
hamparanmu (pemerintahanmu).” Kesempatan ini dimanfaatkan dengang sebaiknya. Sesungguhnya
Sayyiduna Umar al-Khattab Radhiyallahu ‘Anhu berkata: “Pemerintah tergolong
kepada empat golongan:
Pertama: Pemerintah
yang kuat, ia dapat mengawal dirinya dan juga pegawainya. Mereka seperti
seorang mujahid yang sedang berjihad di jalan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sedangkan
pertolongan Allah Subhanahu wa Ta’ala terbentang luas dengan penuh rahmat
kepadanya.
Kedua:
Pemerintah yang lemah dan gagal mengawal dirinya, sedangkan pegawainya
bermewah-mewah dan bertindak sewenang-wenangnya disebabkan kelemahannya. Maka ia
berada di jurang kebinasaan melainkan Allah Subhanahu wa Ta’ala merahmatinya
(menyelamatkannya).
Ketiga:
Pemerintah yang dapat menguasai pegawainya, namun dirinya bermewah-mewah. Itulah
al-hutamah. Sebagaimana sabda Rasulullah ShallaLlahu ‘Alaihi wa Sallam yang
bermaksud: “Pemimpin-pemimpin hutamah (satu
nama daripada nama-nama neraka, kerana ianya akan memecahkan barang yang
dicampak ke dalamnya), kerana dia sedang membinasakan dirinya.” [Riwayat
al-Baihaqi dalam Syu’bu al-Iman no.7419 dan Muslim no.3411, dengan sedikit
perbezaan]
Keempat: Pemerintah
dan pegawainya yang bertindak sewenang-wenangnya, maka mereka semuanya akan
binasa.
Seterusnya beliau
berkata lagi, “Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya perkara yang paling susah
ialah menegakkan dan menunaikan segala hak Allah Subhanahu wa Ta’ala sedangkan
yang paling mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala ialah ketakwaan. Sesungguhnya
sesiapa yang mencari kemuliaan dengan melakukan ketaatan kepada Allah Subhanahu
wa Ta’ala, nescaya Allah Subhanahu wa Ta’ala akan menaikkan martabatnya dan
memuliakannya. Sebaliknya bagi mereka yang mencari kemuliaan dengan melakukan
maksiat, penderhakaan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, nescaya Allah Subhanahu
wa Ta’ala akan menghinakannya dan merendahkan kedudukannya. Inilah nasihatku kepadamu
dan salam sejahtera ke atasmu.
Setelah itu
beliau pun bangun dan meninggalkan majlis tersebut. Pada masa yang sama,
khalifah ingin memberikannya hadiah penghargaan kepadanya tetapi dengan tegas
beliau menolaknya dan menjawab: “Aku tidak memerlukannya, dan aku tidak
sesekali menjual nasihatku ini dengan harta perhiasan dunia ini!”
Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Ulasan
Catat Ulasan